Akan tiba satu zaman, manusia tidak mempedulikan hal ehwal halal dan haram sama ada dalam bentuk makanan atau minuman, harta yang diperoleh, kelakuan dan percakapan.
Perkara ini berdasarkan sabda Baginda Nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA maksudnya: "Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram? (Hadis Riwayat al-Bukhari, Hadis no: 2083)
Hadis di atas mengisyaratkan akan wujud pergeseran nilai-nilai yang dipegang teguh oleh generasi awal umat Islam yang akan berusaha mencari perkara halal dan sedaya upaya menjauhi perkara yang haram.
Situasi ini merujuk kepada keadaan manusia akhir zaman yang lebih mementingkan sumber kewangan, kekayaan semata-mata tanpa melihat pertimbangan yang sebaik mungkin berdasarkan agama dan moral. Terdapat jenis pekerjaan dan sumber pendapatan yang haram melibatkan ramai umat Islam yang terlibat seperti:
Pertama: Arak
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Al-Maidah, ayat 90)
Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram." (Hadis Riwayat Ahmad, hadis no: 17995)
Justeru bagi seorang Mukmin hendaklah dia bertakwa kepada Allah SWT dengan menghindari diri daripada terlibat dengan apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadis Anas bin Malik RA maksudnya: "Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan iaitu pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya." (Hadis Riwayat Imam al-Tirmidzi, hadis no: 1295)
Kedua: Riba
Daripada al-Sha'bi RA berkata maksudnya: "Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, saksinya dan penulisnya." (Hadis Riwayat al-Nasa'i, Hadis no: 5105)
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (daripada mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." (Al- Baqarah, ayat 278-279)
Ketiga: Rasuah
Pengharaman rasuah jelas sama ada dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman maksudnya: "Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)." (Al-Maidah, ayat 42)
Firman Allah SWT maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Al-Baqarah, ayat 188)
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr RA,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Laknat Allah kepada pemberi rasuah
dan penerima rasuah." (Hadis Riwayat Ahmad, hadis
no: 6984)
Keempat: Menggadai maruah
Salah satu pekerjaan yang diharamkan adalah bekerja di tempat-tempat yang boleh menggadaikan maruah diri sebagai seorang Muslim.
Pekerjaan tersebuat seperti pelacur, teman sosial (di kelab malam), penari, penyanyi dan pemain alat muzik di kelab malam (terdapat hidangan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan), bonser (pengawal keselamatan untuk tempat maksiat), tukang urut untuk berlainan jenis (lelaki mengurut wanita atau wanita mengurut lelaki), menjadi model pakaian atau iklan yang mendedahkan aurat dan menjadi tontonan orang ramai dan mendapat habuan (wang ringgit atau projek) kerana merancang konspirasi bertujuan mengaibkan seseorang Muslim dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV), membuat video atau mengambil gambar dan sebagainya.
Kelima: Perkara yang haram dihalalkan dan yang haram dihalalkan
Sebagaimana yang diketahui umum, binatang yang diharamkan secara tetap dari sudut daging, kulit, darah dan semua berkaitan denganya adalah babi. Allah SWT berfirman maksudnya: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi." (Al-Baqarah, ayat 173)
Memakan makanan yang halal lagi baik adalah satu tuntutan di dalam Islam. firman Allah SWT maksudnya: "Dan makanlah daripada rezeki yang sudah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik." (Al-Maidah, ayat 88)
Pada ayat lain, Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk." (Al-A'raf, ayat 157)
Oleh itu, tiada keringanan untuk menggunakan semua yang berkaitan babi walaupun ada kelebihan seperti dinyatakan oleh pihak barat.
Selain daripada itu, bersetubuh dengan isteri ketika haid adalah haram berdasarkan firman Allah SWT maksudnya: "Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri." (Al-Baqarah, ayat 222)
Maka, suami hendaklah menahan diri ketika fatrah atau tempoh yang dilarang daripada melakukan persetubuhan.
Justeru itu, umat Islam perlu memastikan setiap perkara yang dilakukan setiap hari perlu berlandaskan kepada syariat Islam dan memastikan hanya perkara yang halal sahaja dilaksanakan dan menjauhi segala yang diharamkan.