1. Tidak peduli soal halal, haram pada harta mereka
Baginda Rasulullah menyatakan bahawa manusia pada waktu itu mereka tidak mempedulikan lagi soal halal dan haram dalam urusan perniagaan mereka.
Sabda Rasulullah: Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli dari mana ia mendapatkan harta, dari yang halal atau yang haram. - [HR Nasai' 4378].
Jika kita perhatikan pada zaman ini, ramai dalam kalangan kita yang mahu cepat kaya tetapi dengan melanggar hukum hakam dan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi kesenangan di dunia yang sementara.
Islam tidak menghalang seseorang itu mencari harta ataupun untuk
hidup dalam kemewahan tetapi Islam melarang seseorang itu mendapatkan
harta dengan cara melanggar hukum Allah.
2. Berperangai buruk
Islam mengambil berat soal akhlak, budi pekerti yang baik serta ihsan sesama manusia. Akan tetapi akan datang jenis-jenis manusia yang buruk perangai mereka sehingga digambarkan oleh Baginda Rasulullah mereka itu di pagi dan petang hari dalam keadaan kemurkaan Allah.
Sabda Rasulullah: Akan muncul beberapa orang dari umat ini di akhir zaman di pagi hari mereka berada di dalam kemurkaan Allah dan di petang hari mereka berada di dalam kemarahan Allah. - [HR Ahmad 21129].
Hadis ini menunjukkan bahawa mereka tidak ada langsung perasaan takut
pada Allah bahkan mereka tidak ada perasaan malu di hadapan Allah
sehingga sanggup melakukan maksiat dan dosa.
3. Orang-Orang bodoh yang menguruskan urusan umum
Kata para alim ulama mengenai manusia akhir zaman nanti mereka tidak lagi jujur dalam berbicara sehinggakan seorang pendusta dipercayai dan seorang yang berkata benar dianggap berbohong. Ini semua disebabkan kerana kurangnya ilmu pengetahuan dan jauh daripada ajaran Islam.
Sabda Rasulullah: Akan datang tahun-tahun penuh dengan pendustaan yang menimpa manusia, pendusta dipercayai, orang yang jujur didustakan, amanat diberikan kepada pengkhianat, orang yang jujur dikhianati, dan Ruwaibidho turut bicara. Lalu Baginda ditanya apakah Ruwaibidho itu? Baginda menjawab: Orang-orang bodoh yang mengurusi urusan perkara umum. - [HR Ibn Majah 4026].
Umat Islam diminta supaya sentiasa berhati-hati dengan pendusta yang berada di sekeliling mereka.
Adalah menjadi kewajipan umat Islam pada waktu itu untuk tidak
mengikut apa yang dikatakan oleh mereka serta perlu sentiasa mencari
kebenaran dan jangan sesekali meninggalkan mereka tanpa nasihat-nasihat
yang baik supaya mereka tidak melakukan pendustaan.
4. Ilmu akan diangkat
Ilmu dapat membezakan antara perkara yang hak dan yang batil. Dengan adanya ilmu maka seseorang itu akan sentiasa selamat daripada sebarang perkara yang memudaratkannya. Kerana itu pada akhir zaman nanti ilmu akan diangkat dengan kematian para alim ulama yang bersungguh-sungguh dalam menyampaikan ilmu.
Rasulullah telah bersabda tentang tanda-tanda kiamat: ilmu agama dicabut, banyaknya bencana, kebakhilan bermaharajalela dan banyaknya Al-Harj. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah itu Al Harj? Rasulullah menjawab: Pembunuhan. - HR Muslim 4827].
Oleh yang demikian kita diminta untuk sentiasa berpegang teguh dengan
Al-Quran dan Sunnah yang mana manusia sudah mula jauh daripada
kedua-duanya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa
mempersiapkan diri agar tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh
meruntuhkan tahap keimanan kita.
Jadikan doa sebagai senjata terbaik dalam memelihara iman.
Antara doa yang boleh kita amalkan ialah; Maksudnya: “Ya
Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur,
daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah
mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”. - [HR Muslim
588].