Ahad, 17 Januari 2021

Al-Quran mampu menyatukan umat Islam dan umat manusia

 

Kitab Suci Al-Quran inilah satu-satunya Kitab Mukjizat yang mampu menyatukan umat Islam dan umat manusia dengan jaminan di sisi Allah SWT. Allah SWT menjamin dengan iman dan Islam umat Islam boleh hidup bersatu padu, harmoni dan bertoleransi melalui aplikasi ajaran Al-Quran dalam kehidupan umat Islam.

Untuk itu Islam menggariskan beberapa manhaj atau mekanisme kesatuan dan perpaduan ummah sejagat, antaranya ialah:

1. Ukhuwah dengan iman.

Al-Quran menegaskan bahawa setiap umat Islam yang beriman itu adalah bersaudara, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (SurahAl-Hujuraat, ayat 10)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seorang dari kamu sehingga dia menyukai bagi saudaranya apa yang dia sukai untuk dirinya”. (HR Imam al-Bukhari)

2. Berpegang teguh dengan tali Allah, yakni agama Islam.

Berpegang teguh dengan Islam adalah syarat ukhuwah, persaudaraan, penyatuan dan perpaduan ummah yang sebenar-benarnya. Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara…”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 103)

3. Ta’aruf atau saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

Islam sebagai agama rahmat, universal dan sejagat memperkenalkan manhaj dan acuan
terbaik dalam mengukuhkan kesatuan dan perpaduan ummah merentasi suku, kaum dan bangsa, firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramahmesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwa nya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 13)

4. Hidup dalam Kasih sayang.

Islam adalah agama kasih sayang yang sentiasa menganjurkan umatnya supaya hidup berkasih sayang, rukun damai dan saling membantu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang pengasih dan penyayang dikasihi dan disayang oleh Ar-Rahman (Allah Yang Maha Penyayang), kasihilah yang ada di bumi, nesccaya kamu dikasihi oleh yang ada di langit”. (HR Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang beriman di dalam saling kasih sayang danbelas kasihan seperti satutubuh, apabila kepala sakit, maka seluruh tubuh tidak boleh tidur dan demam”. (HR Muslim)

5. Menjauhi budaya berbantah-bantah dan permusuhan.

Islam agama yang sangat melarang berbantah-bantah serta permusuhan sesama umat, apatah lagi sesama Islam, kerana ia boleh melemah dan menghilangkan kekuatan ukhuwah dan kesatuan ummah, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah, kalau tidak nescaya kamu mmenjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar”. (SurahAl-Anfaal, ayat 46)

Dalam Hadithnya Rasulullah SAW melarang tiga perkara yang boleh menjejas ukhuwah, kesatuan dan perpaduan ummah, daripada Anas bin Malik RA katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling dengki-mendengki dan janganlah kamu sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)

Allah SWT amat benci kepada orang yang suka bermusuhan. Dari Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan”. (HR Imam Bukhari)

“Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”. (Surah An-Nisaa’, ayat 59)

Semoga kita semua, menjadi umat yang sentiasa bersatu padu, hidup bersaudara, harmoni dan saling kenal-mengenal antara satu sama lain dan terselamat daripada segala bencana kesesatan aqidah yang boleh memecahbelahkan kesatuan dan perpaduan ummah.