ISLAM adalah satu agama yang komprehensif dan moderate. Islam menggalakkan umatnya bekerja untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Setiap individu Islam mempunyai peranan dan tanggungjawab tertentu tanpa mengira jawatan dan latar belakang. Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam adalah:
Pertama, tanggung jawab terhadap Allah.
Setiap individu Islam wajib mematuhi dan melaksanakan hukum-hakam dan perundangan Allah dalam setiap aspek kehidupan. Manusia sebagai hamba Allah oleh itu hanya Allah sahaja yang layak disembah selaku Pencipta makhluk dan alam semesta. Sebagai hamba Allah manusia wajib mematuhi segala perintah-Nya secara ikhlas. Firman-Nya dalam Surah 98 (al-Bayyinah) ayat 5 bermaksud: “Padahal mereka tidak disuruh, kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya, dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.”
Menunjukkan sikap tanggungjawab kepada Allah satu amalan yang paling menguntungkan manusia. Allah tidak memerlukan sebarang jasa perkhidmatan manusia untuk-Nya. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ja’far Shadiq seperti berikut; “Sesungguhnya Allah SWT tidak menciptakan hamba-Nya dengan sia-sia, dan tidak membiarkannya tanpa guna, melainkan Dia menciptakan mereka untuk menampakkan kekuasaan-Nya, dan untuk membebani mereka dengan kewajipan ketaatan kepada-Nya, supaya dengan itu mereka layak mendapat keredaan-Nya. Allah Swt tidak menciptakan hamba-Nya dengan tujuan mendapat manfaat daripada mereka atau untuk menolak bahaya dengan perantaraan mereka, melainkan Dia menciptakan mereka dengan tujuan supaya mereka mendapat manfaat dan menyampaikan mereka kepada kenikmatan abadi.”
Kedua, tanggungjawab terhadap diri sendiri.
Setiap individu wajib memenuhi kewajipannya sendiri bagi membentuk keperibadian Islam yang sejati. Iman yang dimiliki bersifat naik turun atau dalam istilah Islam disebut sebagai yazidu wa yanqushu (kadang-kadang bertambah atau kuat dan kadang-kadang kurang atau lemah).
Kecuaian dalam mengimbangi keimanan kadang-kadang boleh menyebabkan umat Islam lalai dan leka dalam kehidupan mereka sehingga sanggup melakukan sesuatu yang merugikan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.
Allah menyeru umat Islam supaya merenung dan meneliti setiap pergerakan kehidupan di dunia ini bertepatan dengan konsep dan prinsip ajaran Islam. Kejahilan dalam aspek ini boleh menyebabkan umat Islam berterusan melakukan kesalahan dan dosa yang perlu dipertanggungjawabkan di depan Allah di hari akhirat.
Ketiga, tanggungjawab terhadap keluarga.
Wajib bertanggungjawab terhadap keluarga berkaitan dengan kewibawaan, kesejahteraan, keselamatan, pendidikan dan kehidupan. Tanggungjawab terhadap keluarga juga sebahagian daripada tanggungjawab diri kerana memelihara diri sendiri berkaitan dengan perintah memelihara iman keluarga.
Allah menyebut dalam al-Quran perkataan quu anfusakum wa ahlikum naara (peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka). Perkara ini dinyatakan oleh Allah dalam Surah 66 (Al-Tahrim) ayat 6 yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman peliharalah diri mu dan keluarga mu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
Hubungan anak dan ibu bapa adalah satu kewajipan dalam tanggungjawab kekeluargaan. Ibu bapa adalah individu yang perlu diutamakan dalam kehidupan anak-anak. Keberkatan kehidupan anak-anak bergantung kepada keredaan ibu bapa. Menghormati dan mengambil berat hal ehwal ibu bapa adalah satu kewajipan yang utama dalam sistem kehidupan kekeluargaan umat Islam.
Islam menggalakkan umatnya supaya memelihara hubungan kekeluargaan dan bantu-membantu antara satu sama lain sebagai ahli keluarga sendiri. Ini konsep kehidupan yang perlu dilaksanakan oleh masyarakat Islam. Rasulullah SAW memperingati umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud; “Aku berpesan kepada umatku baik yang hadir mahupun yang tidak hadir, mahupun yang kini mereka masih berada dalam tulang sulbi ayah atau rahim ibu mereka hingga hari kiamat, hendaklah mereka menjalin silaturahim dengan sanak-saudara dan kerabat mereka, karena silaturahim merupakan sebahagian dari agama.”
Rasulullah SAW orang yang paling baik dengan ahli keluarganya. Perkara ini dijelaskan oleh baginda dengan sabdanya yang bermaksud; “Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarga, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.”
Keempat, tanggungjawab terhadap masyarakat.
Setiap individu memerlukan bantuan di antara satu sama lain sesuai dengan kedudukannya sebagai makhluk bersosial. Umat Islam digalakkan supaya tolong-menolong sesama manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Konsep kehidupan kemasyarakatan dalam Islam adalah berbentuk universal di mana setiap kebaikan dan keindahan dikongsi bersama dengan makhluk Allah.
Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan maksudnya; “Seluruh makhluk adalah keluarga Allah. Maka sebaik-baiknya makhluk di sisi Allah adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada keluarga Allah dan membahagiakan mereka.” Sabda baginda lagi; “Sebaik-baik manusia adalah orang yang bermanfaat bagi manusia.”
Berdasarkan kepada penjelasan di atas maka setiap individu Islam perlu membentuk dirinya menjadi orang yang bertanggungjawab dan diberkati oleh Allah.
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).