Khamis, 29 Ogos 2019

MENGAPA DR. ZAKIR NAIK MAHU DIHALAU?

Minda Presiden PAS

Soalan “Mengapa Dr. Zakir Naik mahu dihalau?” ditujukan kepada kalangan yang masih berputar belit kenyataannya walaupun sudah ada kenyataan rasmi, tetapi masih ada lidah yang membuat kenyataan berbelit. Ia menandakan hatinya lebih menyimpan rasa mahu tetap bermusuh tanpa mengenang budi dan bersyukur kepada jasa orang kepadanya. Kita diajar bahawa orang yang tidak bersyukur kepada manusia adalah tidak bersyukur kepada Tuhannya.

Kepada mereka dan penyokongnya, Allah telah berfirman bagi menyatakan penyelesaian Islam:

﴿وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ  ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ٦﴾ [التوبة: 6]

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik (bukan Islam) meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar Kalam Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh keamanan. Perintah tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).” (Surah At-Taubah: 6)

Inilah petunjuk Al-Quran kepada umat Islam yang dijadikan konsep umum supaya melindungi manusia yang dizalimi, walaupun seorang bukan Islam atau seberapa banyak jumlahnya seperti pelarian dan pendatang yang meminta perlindungan di atas sifat kemanusiaan dan konsep kebebasan beragama supaya mereka mengetahui tentang hakikat Islam dan penganutnya yang sebenar.

Alhamdulillah sejahil-jahil orang Melayu yang beragama Islam ini, boleh menerima berbagai bangsa bukan Islam yang sengaja dibawa oleh penjajah dahulu dan menerima mangsa Perang Vietnam suatu ketika dahulu di Pulau Bidong, walaupun mereka bukan Islam, bukan saudara seagama dan sebangsa, tetapi saudara satu kemanusiaan.

Maka Islam mendahului Perkara 14 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan bahawa “Semua orang mempunyai hak untuk mendapatkan dan menikmati perlindungan politik dalam negara lain daripada sebarang aniaya”, konvensyen yang berhubungan dengan Status Pelarian 1951 dan Protokol yang berhubungan dengan Status Pelarian 1967 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memberikan panduan terhadap undang-undang negara mengenai suaka politik.

Islam meneruskan konsep negara bertamadun yang adil di zaman awal dan mewarisi ajaran para Rasul di zaman masing-masing, seperti Kerajaan Nabi Sulaiman A.S. dan Raja Zulqarnain yang dipuji oleh Allah di dalam Al-Quran dan adanya kerajaan di zaman dahulu yang adil diambil teladannya.

Saksikan betapa amalan ‘double standard’ ditunjukkan di hadapan mata, betapa tiada harga dirinya tanpa bersyukur kepada sesama manusia dengan model yang nyata, apabila Dr. Zakir Naik kepada kami bukan hanya suaka politik, tetapi saudara seagama yang tiada sempadan bangsa dan negara lain, apatah lagi beliau seorang ilmuwan dan pendakwah mengikut penilaian kalangan agamawan, bukannya kalangan sasterawan dan politikus yang hanya pandai berbahasa dan menyusun kata.

Kalau orang bukan Islam sekalipun wajib kami lindungi daripada diperlakukan di negara mereka sewenang-wenangnya, apatah lagi saudara seagama kami. Inilah sebahagian daripada konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang nyata daripada Islam.

Apa yang menakjubkan ada yang berfikir bahawa Dr. Zakir Naik tidak boleh dilindungi, tetapi boleh pula melindungi Harimau Pembebasan Tamil Eelam (Liberation Tigers of Tamil Eelam, LTTE) yang nyata berperang dan mengganas di Sri Langka? Sila rujuk berita terdahulu dengan insaf.

Lebih menakjubkan lagi ada pula kalangan Melayu Islam tidak membenarkan Dr. Zakir Naik dilindungi atau Melayu yang berpenyakit was-was teragak-agak untuk membelanya atau tidak dengan kata yang berseni silat. Ini spesis baru dalam masyarakat kita yang berlegar-legar dalam gelanggang politik Malaysia kini.

Saya membaca dalam Kitab Pengembaraan Ibnu Batutah yang mencatatkan kedatangannya ke Nusantara ini bahawa ucapan Kalimah Syahadah sudah cukup berkat untuk menjadi rakyat secara automatik di zaman itu yang tanpa pasport dan visa, sehingga boleh memegang jawatan dalam kerajaan kerana keilmuannya. Masyarakat Melayu berbagai agama ketika itu pula tidak dipaksa menganut Islam, tetapi mereka memilih Islam secara rela hati yang ikhlas dan tidak munafik.

Islam mengharamkan sikap melampau terhadap penganut bukan Islam khususnya para paderi dan sami yang tidak terlibat dengan peperangan dan permusuhan terhadap Islam dan umatnya.

Firman Allah:

﴿ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا  ﴾ [الحج: 40]

“Kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya).” (Surah Al-Hajj: 40)

Sehingga kini masih ada saki baki penganut bukan Islam di seluruh negara majoriti Islam dan rumah ibadat mereka masih bertaburan untuk penganutnya. Bandingkan penganut Islam di negara majoriti bukan Islam yang dilayan secara tidak berperikemanusiaan terhadap umat Islam.

Islam memerintah penganutnya supaya mengadakan hubungan baik terhadap bukan Islam dengan melaksanakan perintah Al-Quran bukan kenyataan media.

Firman Allah:

﴿لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ  إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ٨﴾ [الممتحنة: 8]

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil).” (Surah Al-Mumtahanah: 8)

Ayat ini menegaskan bahawa Islam melaksanakan konsep persaudaraan kemanusiaan yang berbeza agama yang tidak melampau, walaupun adanya penganut agama lain yang bersikap melampau terhadap bukan penganutnya. Malangnya Islam pula difobiakan, lebih malang lagi ada penganut Islam juga terjerat pemikirannya dengan menyerah kalah kepada kenyataan yang salah.

Ternyata isu Dr. Zakir Naik ini laksana batu besar yang dihempas ke dalam lubuk yang tenang airnya dalam kehidupan bermasyarakat majmuk yang dominasi umat Islam di negara kita. Apabila perkara tersebut dicetuskan, tiba-tiba timbullah ikan kecil, ikan besar yang boleh dimakan, ular yang licin berbelit, buaya ganas dan tongkol kayu yang sesuai dijadikan sampah sarap sahaja.

Soalannya, apakah perbezaan di antara Dr. Zakir Naik dengan kumpulan Tamil Eelam?

Sangat nyata lagi bersuluh, Dr. Zakir Naik tidaklah menimbulkan isu sehangat Tamil Eelam, tetapi kerana marahkan hujah dan pendekatan beliau yang tidak mampu dijawab dengan hujah oleh pihak lain, maka dilakukan tindakan sembarangan. Berbeza dengan orang Melayu Islam yang tidak sebising mereka dalam isu Tamil Eelam dahulu.

Bagaimana pula kalau hujah mereka sekadar melepaskan geram dengan memasang bendera Jalur Gemilang terbalik, meletakkan bulan sabit, bintang dan warnanya ke bawah, walaupun ramai yang tidak peka betapa anak bulan yang melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan seperti yang telah tertakluk di bawah Perlembagaan Malaysia. Bintang pecah 14 itu melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang melambangkan warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Jangan membaling batu menyembunyikan tangan, dalam keadaan badannya yang besar itu nyata dilihat.

Adakah mereka yang sama melakukan perkara tersebut atau tidak, adalah menandakan sikap yang tidak setia kepada negara dan tidak menghormati masyarakat majmuk dan apakah lagi tindakan mereka di sebaliknya yang tidak didedahkan.

Mudah-mudahan peristiwa yang menggempar dan menggempurkan perasaan ini dapat membersihkan masyarakat majmuk dan negara yang aman supaya menjadi lebih aman dan sejahtera bersama Islam serta menyedarkan semua pihak supaya berlaku bijak dan adil. Percayalah tanpa ragu dan bimbang bahawa Islam mengikut hakikatnya yang sebenar telah berjaya menangani masyarakat majmuk dengan aman sejahtera kerana rahmatnya bagi seluruh alam dan adil untuk semua.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 27 Zulhijah 1440 / 28 Ogos 2019