Jumaat, 19 April 2019

HUKUM PEGUAM MEMBELA KES YANG SALAH ATAU ZALIM?

Oleh:
Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin (Dr MAZA)

Mufti Negeri Perlis

Ada beberapa peguam bertanya saya mengenai kerjaya mereka yang kadang-kala membela atau mempertahankan kes-kes yang mereka tahu sebenarnya pihak yang dibela itu berada di pihak yang salah ataupun zalim. Namun, dengan kepakaran atau kepandaian peguam di sudut teknikal, mereka membela kes-kes tersebut kerana upah guaman yang dibayar. Apakah kedudukan mereka dalam hal ini. Berikut adalah jawapan saya;

1. Menjadi prinsip Islam, menyuruh kita membela yang benar dan mengharamkan kita membela yang salah ataupun yang dosa. Kebenaran dan kesalahan itu diukur dengan pengetahuan seseorang mengenai hakikat sesuatu perkara yang dibela tersebut. Jika dia percaya itulah yang benar berdasarkan keilmuannya yang mencukupi pada keyakinannya maka pembelaan itu menjadi pahala untuknya. Sekalipun kemungkinan pada ijtihad orang lain pendapat itu salah.

2. Demikian juga kesalahan atau kebatilan. Jika seseorang itu tahu bahawa perkara yang dibela itu salah, atau dia percaya tidak benar namun dia tetap membela kerana kepentingan dirinya atau ketaksubannya, atau sikapnya yang tidak adil maka dia berdosa. Seseorang itu di samping ilmu yang dimiliki, dia hendaklah bertakwa kepada Allah dengan bertanya dirinya apakah tindakan membela atau menentang dalam sesuatu kes itu diredhai oleh Allah.

3. Atas asas ini, maka seseorang peguam patut menilai kes-kes yang dia ambil untuk dibela. Jika kes yang seorang peguam itu ambil pada keyakinannya berada di pihak yang benar, maka tindakannya itu diterima dan berpahala di sisi syarak. Jika dia tahu bahawa kes itu berada di pihak yang salah tetapi dia membelanya atas bayaran anak guamnya, maka itu adalah dosa dan wang guaman itu merupakan rezeki yang haram. Dosa wang yang diambil itu lebih buruk dari pelacur kerana dosa pelacur antara dia dengan Allah sahaja. Sementara dosa wang guaman yang batil merupakan kezaliman ke atas pihak yang lain.

4. Al-Quran dalam Surah al-Nisa ayat 105 mengingatkan kita agar adil dan jangan membela golongan yang khianat dalam hal ini:

إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيما

(maksudnya) Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah tunjukkan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi pembela orang-orang yang khianat.

5. Nabi s.a.w menyebut dalam hadis tentang mereka yang memenangi kes kerana kepetahan hujah padahal berada di pihak yang salah:

وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ وَأَقْضِيَ لَهُ عَلَى نَحْوِ مَا أَسْمَعُ فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا فَلَا يَأْخُذْ فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنْ النَّارِ

"Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bayangkan, jika kemenangan itu diberikan oleh Nabi s.a.w atas kepandaian dan kepetahan hujah di hadapan penghakiman baginda tetap dihukum neraka, apatah lagi kes-kes yang dimenangkan oleh hakim-hakim selain Nabi s.a.w. Ini kerana mahkamah sebenar ialah di akhirat kelak. Segala kes akan dibicarakan semula dengan seadil-adilnya.

6. Cenderung jiwa kepada golongan yang zalim merupakan satu dosa dan membawa kepada neraka. Apatahlagi menyediakan hujah dan bertindak membela perbuatan yang zalim. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 113:

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

(maksudnya) “Jangan kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan tiada bagi kamu pelindung-pelindung selain Allah dan kamu tidak akan ditolong”

Maka tindakan para peguam yang membela kes-kes yang mereka tahu zalim atau salah, merupakan perbuatan yang membawa kepada neraka.

7. Sabda Nabi s.a.w dalam hadis yang lain:

مَنْ أَعَانَ عَلَى خُصُومَةٍ بِظُلْمٍ، أَوْ يُعِينُ عَلَى ظُلْمٍ، لَمْ يَزَلْ فِي سَخَطِ اللَّهِ حَتَّى يَنْزِعَ

Sesiapa yang menolong sesuatu pertelingkahan dengan cara yang zalim, atau menolong atas satu kezaliman maka dia sentiasa dalam kemurkaan Allah sehingga dia meninggalkannya (bertaubat).

(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah -lafaz di atas lafaz Ibn Majah-, al-Hakim dalam al-Mustadrak. Al-Hakim menilai sahih ini sebagai sahih, disetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menilai sebagai sahih)

Hadis ini jelas menyatakan menolong pihak yang batil atau zalim dengan penghujahan yang batil atau zalim menyebabkan kemurkaan Allah. Hanya taubat yang dapat menghilangkan kemurkaan itu. Jika penghujahan itu telah menyebabkan kezaliman kepada pihak yang lain, maka hendaklah peguam itu memohon kemaafan pada pihak yang dizalimi. Ini kerana syarat taubat yang membabit kezaliman kepada pihak lain ialah dengan memohon maaf atau meminta halal.

8. Segala pendapatan yang diperolehi untuk membela kes-kes yang diketahui salah atau batil atau zalim adalah pendapatan yang haram. Janji Allah kepada mereka seperti yang disebut dalam hadis Nabi s.a.w riwayat al-Imam al-Bukhari:

إِنَّ رِجَالًا يَتَخَوَّضُونَ فِي مَالِ اللَّهِ بِغَيْرِ حَقٍّ، فَلَهُمُ النَّارُ يَوْمَ القِيَامَةِ

“Sesungguhnya lelaki-lelaki yang terlibat dengan harta Allah tanpa cara yang benar, maka bagi mereka itu nereka pada Hari Kiamat”

9. Maka, para peguam hendaklah sentiasa ingat akan perintah Allah dalam al-Quran yang melarang tolong menolong dalam dosa dan permusuhan. Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

(maksudnya) “Dan bertolong menolonglah atas kebaikan dan takwa. Jangan kamu tolong menolong atas dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras balasanNYA”.

10. Para peguam hendaklah ingat, sesungguhnya pembelaan yang batil itu mungkin memenangkan pihak yang diwakili tetapi menzalimi pihak yang ditentang. Kezaliman itu akan dituntut dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Jika ia membabitkan harta atau nyawa atau maruah atau apa sahaja, maka doa pihak yang zalim akan memburu para orang yang zalim. Kehidupan itu bukan sahaja di mahkamah, tetapi di luar mahkamah masih ada kehidupan peguam itu sendiri. Demikian kehidupannya di akhirat. Allah tidak lupa kepada orang yang zalim. Maka berhati-hati bagi setiap kes yang diambil dan dibela agar tidak menzalimi pihak yang lain.