Oleh: AZMAN HUSSIN
SEBENARNYA tahap celik politik sebahagian daripada anda sebagai orang-orang Melayu begitu teruk.
Anda seolah-olah tidak dapat membaca apa yang sedang dan akan berlaku dalam politik Malaysia hari ini.
Seumpama anda hampir tenggelam lemas, tetapi anda masih tidak menyedarinya. Ia sepatutnya perkara yang mudah difahami tanpa perlu diperjelaskan lagi.
Contohnya, tindakan-tindakan Dr Mahathir mutakhir ini. Ia sepatutnya tidak perlu diperjelaskan lagi jika anda memiliki akal yang sihat.
Adakah perlu dijelaskan lagi bagaimana beliau telah berubah prinsip?
Anda mungkin berkata beliau mahu menyelamatkan negara.
Logiknya, adakah menyelamatkan negara dengan cara bersekongkol dengan DAP?
Kita tidak boleh mendakwa kita berniat melakukan kebaikan, sedangkan tindakan kita membawa kepada keburukan.
Beliau dihormati dan disokong kerana prinsip dan perjuangannya untuk agama, bangsa dan tanahair. Tetapi apabila beliau berpaling daripada prinsip-prinsip itu, adakah kita patut mengikuti beliau lagi?
Adakah prinsip-prinsip itu yang perlu ditentang untuk menyesuaikan dengan tindakan beliau hari ini?
Sudah tentulah tidak.
Apabila diterangkan berkenaan bahaya DAP, iaitu apa perjuangan dan agenda DAP, anda menganggap itu satu propaganda dan perang saraf murahan untuk menakut-nakutkan rakyat agar terus menyokong Barisan Nasional.
Apa yang akan anda katakan?
Anda berkata, adakah DAP yang menjual negara selama ini? Tentulah soalan ini tidak dapat dijawab kerana DAP belum pernah memerintah negara, setakat Pulau Pinang.
Kita tidak boleh membandingkan dua keadaan yang berbeza. Jika benar pun UMNO menjual negara, ia tidak boleh dijadikan hujah untuk menafikan bahaya DAP. Ia dua konteks yang berbeza.
Anda akan berkata lagi, bagaimana dengan MCA? Bukankah MCA juga selalu bersikap keras dalam hal-hal berkaitan orang-orang Melayu-Islam?
Soalan ini nampak benar.
Tetapi, ia sekadar suara burung kakak tua yang mengajuk percakapan orang, sedangkan ia sendiri tidak faham apa maksudnya.
Ya, anda seolah-olah tidak faham bahawa MCA berada di bawah kuasa UMNO yang mengetuai Barisan Nasional (lantaran itulah majority orang-orang Cina tidak lagi menyokong MCA).
Dan, adakah sama keadaan ini dengan DAP yang mengawal dan mendominasi Pakatan Harapan?
Anda tidak dapat memahami bagaimana pilihanraya ini sedang dimanipulasi oleh DAP untuk menguasai negara ini.
Apakah salahnya DAP?
Soalan ini seolah-olah anda langsung buta pada perjuangan dan agenda DAP ke atas negara.
Ambil contoh, DAP mahu menyamaratakan semua bangsa.
Apa yang anda fahami daripada pernyataan ini?
Jika anda tidak tahu, biar saya terangkan. Maksudnya secara tersirat adalah DAP akan menghapuskan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu.
Fikirlah apa risiko-risikonya ke atas orang-orang Melayu dan negara ini jika ia berlaku.
Sebaliknya, anda berkata DAP tidak mempunyai kerusi yang cukup untuk menguasai kerajaan baru Pakatan Harapan.
Anda silap. DAP tidak perlu memiliki kerusi parlimen terbanyak dalam Pakatan Harapan untuk menguasai kerajaan. Cukuplah jika Barisan Nasional tumbang.
Dengan mengemukakan tuntutan-tuntutan dan mengugut untuk keluar daripada kerajaan jika tuntutan-tuntutan itu tidak dipenuhi, bukankah itu sudah bermakna DAP menguasai kerajaan?
Malangnya, pada PRU13 kerusi parlimen pembangkang yang terbanyak adalah kerusi DAP. Ini lebih memungkinkan DAP paling berkuasa.
Bahkan sebagai contoh terkini, Selangor memerintah dengan kawalan DAP, dan Perak juga pernah memiliki kerajaan boneka DAP.
Pilihanraya bagi anda adalah perkara biasa. Jika kerajaan sedia ada kalah, kerajaan baru pula mentadbir.
Isu-isu yang anda bawa adalah remeh-temeh sehingga mengabaikan isu pokok yang lebih besar.
Anda fikir jika kerajaan baru tidak berkhidmat dengan baik, PRU akan datang, tukarlah semula.
Sesingkat itu anda berfikir. Anda begitu cetek memahami politik. Seolah-olah anda hanya memikirkan berkenaan perut anda semata-mata dan memuaskan apa kehendak-kehendak anda, sedangkan anda tidak melihat kesan daripada pertukaran kerajaan.
Pemikiran politik anda adalah tidak realistik. Anda mengharapkan dengan menukar kerajaan, harga barang akan turun.
Jika anda berfikir, mengundi adalah untuk menghapuskan GST atau menurunkan harga barang, itu semuanya silap.
Anda mengulang-ngulang berkenaan GST. Berapa banyakkah anda bayar GST sehari sebenarnya?
Apakah harapan anda ketika mengundi?
Adakah anda mengharapkan harga barang-barang menjadi murah?
Jika anda fikir begitu, ia adalah suatu kesilapan dan kekeliruan. Tidak ada negara yang dapat menetapkan harga semua barang. Ia bergantung kepada permintaan dan penawaran. Harga ditentukan oleh pasaran. Ia tidaklah sepenuhnya berkaitan dengan politik.
Di negara-negara maju lain, adakah isu harga barang dijadikan topik dalam kempen pilihanraya mereka?
Hapuskan GST harga barang akan turun?
Logiknya, semua negara di dunia ini mempunyai cukai seperti ini. jika tidak ada cukai GST, bagaimanakah kerajaan baru akan menguruskan negara? Dari manakah mereka akan mendapatkan sumber kewangan?
Jadi, kembali kepada SST sebanyak 10%?
Semua ini adalah cakap-cakap yang merepek.
Jika ada parti-parti politik membicarakan isu-isu ini, ia hanya bermaksud mengelirukan dan kemudian meraih sokongan anda agar mengundi mereka. Sebenarnya, apa yang ingin saya katakan adalah, pembangkang hanyalah mahu memanipulasi anda agar memilih mereka.
Kehidupan anda tidak akan berubah jika kerajaan bertukar kerana isu-isu yang dibawa oleh mereka adalah tidak realistik. Ia hanyalah untuk mempengaruhi pemikiran anda yang tidak mahu berfikir secara mendalam.
Bahkan, apa yang paling ditakuti adalah keadaan huru-hara dan ketidakstabilan mungkin akan berlaku apabila Pakatan Harapan berkuasa.
Orang yang waras tentu mengakui kerjasama parti-parti dalam Pakatan hanyalah sementara dan bukan atas asas-asas yang kukuh.
Melihat keadaan hari ini, persamaan pembangkanglah hanyalah matlamat sementara mereka, iaitu menumbangkan kerajaan. Selain itu mereka tidak ada banyak persamaan. Mereka hanya saling mengeksploitasi sesama mereka.
Tidak ada ketua yang jelas dalam pimpinan mereka. Persepakatan politik mereka hanyalah atas kepentingan bersama, bukan untuk rakyat dan negara.
Di saat-saat bangsa lain mengundi untuk kepentingan dan kelangsungan bangsa mereka, anda masih lagi terkepung dalam pemikiran sempit, yang mengharapkan harga barang murah, GST dihapuskan, subsidi dan perkara-perkara lain yang percuma.
Malangnya, semua perkara itu adalah tidak realistik untuk diharapkan.
Apabila orang menyarankan perkara-perkara seperti ini sudah tentu dia akan dianggap menerima bayaran untuk menjalankan kempen menyokong kerajaan.
Tetapi, cubalah berfikir sedikit dengan membuang prasangka dan fahaman politik anda, adakah perkara-perkara yang saya katakan ini salah atau penipuan.
Berubahlah dirimu, Melayu; bukannya melakukan perubahan.
Rujukan:
https://www.mysuara.net/berita/berubahlah-melayu/