KHUTBAH JUMAAT - 24 JAMADIL AKHIR 1440 / 1 MAC 2019
BAHAYA ADU DOMBA DALAM ISLAM
Khutbah Pertama
الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ ﴿١٨﴾ (Surah Qaf : Ayat 18)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mimbar berpesan kepada yang empunya diri dan hadirin yang dimuliakan, marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Carilah bekalan di dunia dan di akhirat, dan sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah.
Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia dan kita dapat mengambil manfaat daripada khutbah hari ini. Khatib Jumaat hari ini akan membicarakan tajuk: "Bahaya Adu Domba Dalam Islam".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Adu domba atau Namimah merupakan satu perbuatan yang sangat tercela kerana tujuan daripada adu domba itu ialah menyebar luaskan berita yang tidak benar agar antara individu atau masyarakat muslim tidak saling menyukai satu sama lain dan akhirnya terjadi pertikaian dan peperangan. Dengan kata lain, adu domba merupakan suatu perbuatan rekaan yang sengaja dilakukan untuk merosak, memfitnah, atau menghancurkan orang lain serta punca terjadinya permusuhan. Hal ini sangat bertentangan dengan syariat Islam, di mana tujuan bermasyarakat dalam Islam ialah membangun individu dan masyarakat yang berlandaskan iman dan taqwa serta peribadi yang menghubungkan jalinan cinta dan kasih sayang sesama muslim.
Dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 6:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam Islam, hukum namimah atau adu domba ialah haram. Antaranya firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Qalam ayat 10 hingga 11:
وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَّهِينٍ ﴿١٠﴾ هَمَّازٍ مَّشَّاءٍ بِنَمِيمٍ ﴿١١﴾
Maksudnya: "Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah, lagi hina, yang banyak mencela, yang kesana kemari menghambur fitnah".
Oleh kerana itu, siapa sahaja yang melakukan adu domba, bererti dia telah melakukan apa yang telah dilarang oleh Allah s.w.t dan telah berbuat dosa, maka nerakalah baginya sebagai balasan. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidina Huzaifah bin Al-Yaman bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَتَّاتٌ
Maksudnya: "Tidak akan masuk syurga bagi tukang adu domba". (Hadits riwayat Al-Bukhari)
Ibnu Katsir kemudian menjelaskan bahawa Al-Qotatu ialah orang-orang yang suka mencuri dengar pembicaraan orang lain tanpa pengetahuan mereka, kemudian disebar luaskan pembicaraan itu kepada orang lain atau masyarakat dengan tujuan untuk mengadu domba. Dengan kata lain, apa yang disampaikan kepada masyarakat mungkin sama seperti apa yang dibicarakan tetapi ditambah-tambah dengan sesuatu perkara yang tidak benar atau berbeza sama sekali hingga benar-benar menjadi sebuah fitnah yang sangat besar. Oleh sebab itu, adu domba juga merupakan punca hilangnya rasa kepercayaan terutama kepada mangsanya.
Untuk lebih jelas, yang dimaksudkan dengan perilaku adu domba ialah sebagai berikut:
Orang yang sedang mengadu domba pasti memiliki niat atau maksud yang tidak baik terhadap mangsanya (orang yang diadu domba), misalnya agar orang itu dikeji, dibenci dan dipecat dari pekerjaannya.
Seorang pengadu domba ialah mereka yang suka menyebabkan pertikaian dan perbalahan atau menjadi provakator yang menyebabkan berlakunya pergaduhan. Ini disebabkan perasaan iri hati, hasad dengki dan dendam kesumat terhadap seseorang hingga muncul keinginan untuk membuat buruk atau menghancurkan orang tersebut. Caranya ialah dengan menyebarkan berita palsu atau memfitnah sehingga orang lain juga turut membenci orang yang ia benci.
Orang yang suka mengadu domba juga biasanya merupakan orang yang munafik atau talam dua muka, sehingga di hadapan orang yang ia adu domba ia akan tetap terlihat baik padahal dibelakangnya tanpa pengetahuan orang itu, ia bersikap jahat dengan memburuk-burukkan orang yang ia adu domba.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Bahaya adu domba dalam Islam sangat besar. Islam mengharamkan perbuatan namimah atau adu domba. Ada pun bahaya adu domba dalam Islam ialah seperti berikut:
1. Adu domba merupakan perbuatan dosa yang mana syurga diharamkan baginya, dengan kata lain neraka adalah balasan daripadanya.
2. Bahaya utama adu domba ialah akan menyebabkan terjadinya kebencian dan permusuhan sesama muslim.
3. Adu domba merupakan punca terputusnya tali silaturrahim dan tali persaudaraan. Perbuatan ini juga menyebabkan keresahan, kekecohan dan mengganggu ketenteraman masyarakat di mana akhirnya berlaku perbalahan dan huru hara.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Lalu bagaimanakah kita sebagai seorang muslim dapat menghindari atau mengelak perbuatan adu domba tersebut. Antaranya adalah:
1. Meningkatkan taqwa kepada Allah s.w.t.
2. Berfikir kesan dan akibat buruk bahawa adu domba merupakan perbuatan tercela yang berdosa yang boleh merosakkan keharmonian dalam masyarakat dan huru hara.
3. Menghindarkan diri sikap melaga-lagakan orang.
4. Menjalin silaturrahim yang baik sesama muslim.
5. Biasakan diri bersikap ramah dan jujur.
6. Selalu meminta perlindungan Allah s.w.t agar terhindar daripada perbuatan keji dan mungkar.
Mengakhiri khutbah hari ini, mimbar ingin berkongsi satu nasihat kepada sidang Jumaat sekalian. Apabila kita mendapati seorang membawa berita fitnah atau berniat menyebar luaskan adu domba kepada kita, maka lakukanlah seperti yang diucapkan oleh Imam Nawawi Rahimahullah Ta'ala:
"Dan setiap orang yang disampaikan kepadanya perkataan namimah (adu domba), dikatakan kepadanya: Fulan telah berkata tentangmu begitu begini atau lakukan itu dan ini terhadapmu, maka lakukanlah perkara berikut:
1. Jangan langsung mempercayai perkataan daripada mereka yang berniat untuk mengadu domba.
2. Berikan nasihat agar ia tersedar perbuatan adu domba yang ia lakukan adalah salah.
3. Orang yang melakukan adu domba adalah orang yang dibenci Allah s.w.t. Sebagai hamba Allah yang beriman dan bertaqwa kita juga membenci orang yang berbuat dosa kerana Allah s.w.t.
4. Jangan berprasangka buruk pada orang yang menjadi mangsa adu domba.
5. Jangan mencerugai, mengintip-intip, mahupun mencari-cari aib orang yang menjadi mangsa adu domba.
6. Jangan terikut-ikut melakukan adu domba.
Marilah kita sama-sama menghayati firman Allah s.w.t dalam Surah Qaf ayat 18:
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ ﴿١٨﴾
Maksudnya: "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)".
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.
Khutbah Kedua
الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.
Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan menjaga hubungan baik sesama manusia dan sentiasa bermuhasabah diri agar dapat memperbaiki amalan-amalan kita setiap hari.
Khatib menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian agar kita bersama-sama mendidik diri kita untuk memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma:
صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَالُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: "Solat berjamaah adalah lebih afdal berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Muslim)
قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾
Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.
Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.
Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.
Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu Timbalan Yang Dipertuan Agong, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.
Dihantar oleh Dewan Ulamak PAS Perak
http://dewanulamakpasperak.blogspot.com/2019/02/khutbah-jumaat-24-jamadil-akhir-1440-1.html