⚫ Kelebihan Umat Muhammad.
Nabi telah memohon kepada Allah:
سألت ربي أن لا يهلكنا بما أهلك به الأمم فأعطانيها
"Aku telah memohon kepada Tuhanku, agar kita tidak dihancurkan seperti apa yang telah berlaku ke atas umat terdahulu. Maka Dia menerima permintaanku" - hr Tirmizi.
Baginda meminta agar Allah tidak memupuskan umatnya sekaligus seperti pupusnya umat terdahulu. Sebagai rahmat, Allah memberi peluang yang luas untuk umat Muhammad agar tidak berhenti bertaubat. Namun demikian, ini tidaklah bermakna kita terlindung dari bala bencana. Ia tetap datang menimpa.
⚫ Fungsi Bala.
Allah mencipta bala sebagai peringatan bagi golongan yang beriman dan balasan buruk ke atas golongan yang ingkar. Ia berfungsi menyentap kelalaian manusia.
أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ • أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ
"Maka apakah penduduk kampung itu merasa aman ketika ditimpa ke atas mereka seksaan kami, sedangkan mereka sedang tidur. Atau apakah penduduk kampung itu merasa aman ketika ditimpa ke atas mereka seksaan pada waktu pagi, sedangkan mereka sedang lalai bermain" - al-A'raf 97-98.
⚫ Muhasabah.
Sewajarnya apabila datangnya bala, orang-orang yang beriman pasti terduduk. Merasa gerun lantas terus meneliti kembali apakah dosa yang telah dilakukan oleh mereka hingga Allah menurukan bala.
Hanya taubat yang layak dijadikan sebagai reaksi langsung dari bala yang menimpa. Allah menyatakan beberapa punca yang menjadi faktor turunnya bala:
• Enggan beriman:
وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
"Tetapi mereka mendustakan ajaran Allah, maka kami timpakan ke atas mereka seksaan, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan" - al-A'raf 96.
• Dosa yang menjahanamkan dunia:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
"Munculnya kerosakan di daratan dan di lautan, kesan dari apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia" - al-Rum 41.
Rumusan dari dua ayat ini, bala datang sebagai balasan apabila Islam tidak dihiraukan. Bersikap angkuh terhadap Allah dan hilang sifat bertanggungjawab untuk mengurus dunia dengan panduan Allah, lantas muncullah pelbagai kerosakan.
⚫ Sindrom Penafian.
Perkara yang perlu dielakkan adalah, jangan sama sekali menafikan bala sebagai bala. Berasa lega, kononnya ia hanyalah bencana alam yang tiada kaitan dengan kemurkaan Allah.
Jika ini berlaku, maka kita gagal berinteraksi dengan bala. Sepatutnya terus insaf bertaubat, tetapi malangnya tetap selesa dengan keadaan sedia ada yang serba lalai. Allah mengingatkan golongan yang tidak sedar diri, tidak beringat dengan bala adalah orang-orang yang rugi.
فَلا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلا الْقَوْمُ الْخَاسِرُون
"Maka tiada siapa yang merasa aman dengan balasan azab Allah, melainkan mereka adalah golongan yang rugi" - al-A'raf 99.
⚫ Bukan Bahan Ejekan.
Kita tidak sewajarnya menjadikan bala bencana sebagai bahan ejekan, meskipun ia menimpa ke atas musuh. Bala bukan perkara yang boleh dibuat sendaan main-main.
Kita perlu mengambil pengajaran ketika berlakunya banjir di Kelantan 2014, pelbagai tohmahan bernada angkuh dikeluarkan oleh Lim Guan Eng untuk menyah-kreditkan kerajaan Kelantan. Perlakuan tersebut amat tidak wajar dalam keadaan ketika itu suasana sedih, tergamam dan insaf menyelubungi mangsa dan masyarakat.
Kini giliran Pulau Pinang ditimpa bala. Jika Lim Guan Eng mengejek banjir di Kelantan dahulu, padanlah memandangkan dia seorang kafir. Barangkali tidak faham sifat musibah, ujian bala bencana itu bagaimana. Namun apakah tergamak kita meniru sikapnya sedangkan kita sedar bala itu adalah bala. Bukan bahan 'troll'.
Yang lebih menakutkan, wujud cara berfikir jika bala menimpa ke atas diri sendiri maka ia hanyalah fenomena alam. Sebaliknya jika bala menimpa ke atas musuh, maka barulah ia dianggap bala.
Kepercayaan bebal sedemikian menyebabkan kita merasa kebal dari sebarang muhasabah. Inilah mentaliti yang mendorong sikap golongan yang kufur untuk terus kufur. Sedangkan orang beriman tetap beringat dan berasa gerun dengan bala, tidak kira menimpa sesiapa pun.
⚫ Islam Mesti Dominan.
Sedarlah, kita terlalu lalai dalam kehidupan. Terlalu banyak kesalahan yang telah kita lakukan tanpa sedar. Menyebabkan Allah timpakan bala. Beruntunglah mereka yang beringat. Celakalah mereka yang terus lalai terus menafikan peringatan Allah.
Apa pun, kita perlu berusaha agar golongan yang sihat iman mereka untuk mendominasi masyarakat. Jika pendukung kebatilan dominan, sementara pendukung iman berpeluk tubuh, berwaspadalah dengan peringatan Allah:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
"Dan takutlah terhadap ujian yang tidak menimpa ke atas golongan yang zalim di kalangan kamu secara spesifik. Dan ketahuilah, Allah Maha Dahsyat balasanNya" - al-Anfal 25.
Apabila manusia gagal bertugas sebagai khalifah, iaitu tidak bertanggungjawab menegakkan Islam dan mengurus dunia dengan Islam, maka Allah turunkan bala sebagai amaran.
Abdul Mu'izz Muhammad
24 Oktober 2017.