Tuan Guru Presiden PAS telah menulis dalam surat terbuka dengan nada seorang negarawan dengan ungkapan yang sangat jelas dan nyata;
"Kejayaan penjajah menjatuhkan kerajaan Melayu Islam Melaka apabila adanya sekelompok tertentu yang menjemput penjajah supaya menjatuhkan kerajaan..."
"Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau mebuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita."
"Saya yakin bahawa mereka yang mengundang pihak asing untuk mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihanraya, moral mereka paling tidak beriman dan budiman, kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman."
Saya tertanya-tanya, maksud dari perenggan mana merujuk kepada surat terbuka Presiden PAS yang didakwa oleh pihak Pakatan Harapan telah menunjukkan PAS bersekongkol dengan penyelewengan 1MDB serta ada sesuatu kepentingan PAS dalam 1MBD yang ingin disembunyikan bersama Umno!
Apabila Tuan Guru telah meletakkan asas pendirian PAS dengan begitu jelas dan cantik, maka tugas kepimpinan PAS yang lain terutama Pimpinan PAS Pusat adalah untuk mempertahankan pendirian PAS dan memberikan penjelasan kepada khalayak dari pelbagai sudut yang berbeza. Saya tak nampak kecelaruan di kalangan pimpinan PAS dalam isu ini.
Yang mencelarukan keadaan ialah DAP, PAN, PKR dan yang sewaktu dengannya. Kita jangan terperangkap dalam kecelaruan mereka apabila menulis secara terbuka di media maya kononnya pimpinan PAS tak sepakat dalam isu 1MDB dan DOJ padahal kita sendiri adalah seorang aktivis dan juga ahli PAS yang sepatutnya bersama mengambil peranan untuk hadam sebaiknya kenyataan Presiden dan seterusnya bersama mempertahankannya. Jangan jadi terlalu rapuh pendirian sehingga jatuh terperangkap dengan rentak dan gendang tari PH. Ada juga yang menulis dengan nada mengeluh. Kenapa perlu jadi lemah dan mengeluh? Teruskan istiqamah dengan rentak kita. Bukan kita tak tahu bahawa hobi pusing dan spin adalah kerja PH.
Pendirian PAS sangat jelas dalam isu penyelewengan, salah laku, rasuah, pembaziran, penipuan dan pengubahan wang haram termasuk isu dalam 1MDB.
Dari awal lagi PAS mendesak supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan salahlaku 1MDB secara menyeluruh dan telus.
Tiada siapa yang boleh dilindungi dan pesalah wajib diheret ke muka pengadilan. Kita ada BNM, SPRM, Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan Institusi Kehakiman sendiri untuk melaksanakan fungsi menegakkan keadilan dan undang-undang supaya negara dibersihkan dari dakwaan skandal kewangan terbesar ini.
Dari dulu lagi PAS diburukkan dengan tohmahan dan fitnah menerima dana dari 1MDB. Ini adalah wirid harian pimpinan PH untuk menyerang PAS. Apa saja ruang yang boleh spin serta pusing, mereka akan guna.
Mereka dengan kerja mereka. Kita tetap berdiri teguh mempertahankan pendirian Presiden PAS.
Dr Azman Ibrahim.
2 Julai 2017