Selasa, 5 April 2016

PAS MENUNTUT PERUBAHAN YANG DEMOKRATIK



Sekali lagi Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang menegaskan bahawa perubahan kepimpinan perlulah melalui proses demokrasi dan tidak sebaliknya. Pilihan menurut proses demokrasi yang ada bagi menjatuhkan mana-mana pimpinan adalah samada melalui undi tidak percaya di Parlimen ataupun melalui pilihanraya.

Beliau memberikan reaksi berkenaan apabila ditanya pemberita di bangunan Parlimen sebentar tadi.

Mengulas tindakan bekas PM Tun Dr Mahathir yang mahu rakyat menandatangani Deklarasi Rakyat supaya ianya dapat disembahkan kepada Raja-Raja Melayu bagi memaksa PM Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan Tuan Guru menjelaskan pihak yang tidak sepatutnya dilibatkan dalam proses ini jangan dikaitkan.

Ternyata Tun Dr Mahathir begitu tertekan untuk menjayakan agendanya, lebih-lebih lagi apabila sambutan yang diterima setakat ini sungguh hambar. Bagi beliau Najib apa hal sekalipun wajib diturunkan, dan kalau perlu beliau menyembah petisyen ke Raja-raja Melayu, institusi yang pernah beliau serang dan perlekeh semasa beliau berkuasa dahulu, beliau sanggup lakukan demi memuaskan nafsunya. Demikinalah bersungguh benar Tun demi memastikan Umno terus hidup berketuakan kroni dan anaknya.

Penegasan Tuan Guru ini membuktikan bahawa PAS juga inginkan perubahan namun demikian, proses perubahan itu mestilah berjalan secara tertib dan paling penting bertepatan dengan proses undang-undang dan Perlembagaan Negara.

Memang kita kecewa dan hilang kepercayaan pada Najib namun itu tidak memberikan kita lesen untuk turun ke jalanan sehingga mencetuskan huru-hara dan mengancam kehidupan rakyat jelata dan kestabilan negara.

PAS punya rekod lebih 60 tahun menyertai politik di Malaysia. Ia pernah menang dan pernah kalah, pernah berkuasa dibeberapa negeri dan pernah menjadi pembangkang. Namun sepanjang usianya itu ia terus berkerja dengan penuh kesabaran kerana ia yakin perubahan total akan berlaku yang penting ianya mesti dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab.

PAS belajar dari kegagalan kaedah di negara-negara lain khususnya gelombang “Arab Spring” yang rupanya tidak kekal lama.

Dalam pada Tun dan konco-konconya sibuk dengan kempen tandatangan dan demonstrasi, disaat ini diseluruh negara, jentera PAS bergerak memenangi hati dan fikiran rakyat. Program-program kemasyarakatan diatur dan dipertingkatkan, kempen-kempen penambahan ahli dan pendaftaran pengudi dipertingkatkan.

Melihatkan suasana yang ada ahli-ahli PAS semakin yakin dan keras berkerja kerana mahu mencetuskan perubahan sebagaimana ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden melalui proses demokrasi, iaitu pilihanraya yang bakal tiba bila-bila masa.

Biarlah Tun ke hulu ke hilir dengan deklarasinya, kami mahu mantapkan jentera dan kekuatan kami, kami mahu menyantuni rakyat agar bersama perjuangan Islam ini.

Kami taat pada arahan pimpinan kami dan bukannya pemimpin yang sarat dengan agenda peribadi yang sedia bersekongkol dengan siapa pun asal mimpinya tercapai.

ikuti ROSLAN SMS di
http://n32.blogspot.com/