Khamis, 10 November 2011

Yusuf al-Qaradawi dan pandangannya Tentang Fiqh Minoriti dan Maslahah


PDF Print E-mail
Oleh Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali ;

Menurut al-Qaradawi, antara ciri istimewa syariat ini tidak diciptakan di dalam khayalan dan di dunia idea sehingga melalaikan realiti manusia dan persoalan-persoalan  mereka di muka bumi ini. Akan tetapi, syariah Islam ini merupakan syariat realiti yang menyingkap realiti manusia dan kelemahannya dari desakan pelbagai kepentingan dan keperluan.Oleh itu, perubahan hukum dapat berubah dengan perubahan unsur-unsur zaman, tempat, keadaan dan tradisi. Hukum-hukum syariah adalah mulia, mudah, toleran dan sederhana. Ia bukanlah hukum-hukum yang keras atau yang tidak dapat berubah, yang mengharuskan  semua golongan untuk mengamalkannya tanpa memperhatikan keadaan dan kemampuan mereka. Akan tetapi, syariat diterapkan sesuai dengan keadaan yang sedang mereka hadapi. Dalam setiap persoalan yang sedang terjadi, syariah mampu memberikan penyelesaian alternatif yang terbaik dari nilai-nilai yang terkandung di dalamnya sendiri. Al-Qaradawi menjelaskan tujuan beliau menulis buku ini adalah permintaan dari Rabitah Alam al-Islami 9 Liga dunia Islam) yang meminta beliau menulis mengenai fiqh minoriti dengan meletakkan kaedah asas dalam berinteraksi dengan golongan minoriti umat Islam yang berada dalam kelompok besar orang-orang bukan Islam di Eropah, China , India dan Amerika Syarikat.

Al-Qaradawi membahagikan kaum muslimin dari segi negara-negara yang mereka tinggal kepada dua iaitu :
1. Mereka yang tinggal dalam negara yang majoritinya umat Islam atau dikenali oleh ulama klasik sebagai Darul Islam. Mereka dapat melaksanakan perintah ajaran dengan bebas.

2. Mereka yang hidup di luar negara Islam , jauh dari majoriti masyarakat umat Islam. Bahagian kedua ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu :pertama; penduduk negara asli yang memeluk agama Islam sejak dahulu, namun mereka dianggap sebagai golongan minoriti oleh penduduk lain yang tidak memeluk agama Islam seperti di India yang jumlah orang Islam lebih 150 juta tapi dianggap masih lagi majoriti, di China dan Amerika Utara. Kedua mereka yang behijrah yang datang dari negara –negara Islam menuju negara-negara bukan Islam dengan tujuan bekerja, berhijrah, belajar atau sebab-sebab yang lain. Ada di kalangan mereka yang telah mendapatkan kerakyatan yang membolehkan mereka mengundi dan berpolitik.

Keadaan hubungan minoriti muslim dengan Islam terutama di Eropah seperti di Bosnia, Albania,Kosovo hanya tinggal pada kalimah syahadah sahaja. Mereka tidak mengenal Islam secara mendalam akibat tekanan daripada pihak pemerintah yang menyingkirkan ajaran agama Islam dalam kehidupan mereka. Mereka tidak memahami Islam dari segi akidah dan pemikiran. Mereka benar-benar buta tentang nilai-nilai moral dalam agama Islam. Banyak persoalan yang timbul sama ada dari segi ibadat, sosial, kebudayaan dan ekonomi yang timbul yang tidak pernah dinyatakan oleh ulama terdahulu yang memerlukan ijtihad semasa dalam konteks kehidupan mereka pada hari ini. Namun, bagi kita di Malaysia keadaan fiqh ini juga amat penting kerana penduduk bukan Islam hampir sama dengan Islam dan persoalan-persoalan yang hampir sama juga berlaku terutama persoalan perkahwinan dan kemasyarakatan.

Al-Qaradawi menyebutkan tujuan  penulisan fiqh minoriti iaitu :

1. Fiqh ini diharapkan dapat membantu kaum minoriti Islam untuk menghidupkan agama mereka dengan kehidupan yang mudah tanpa menyulitkan dalam mengamalkan ajaran agama,
       
2. Fiqh ini diharapkan dapat membantu mereka dalam menjaga keperibadian Islam yang baik dalam semua bidang dan kemudiannya diikuti oleh keturunan mereka.
       
3. Fiqh ini diharapkan dapat membantu minoriti melaksanakan kewajipan dakwah kepada masyarakat bukan Islam yang hidup di sekitar mereka.
      
4. Fiqh ini dapat memberikan sumbangan pemikiran terhadap golongan minority dengan nilai-nilai toleran dan keterbukaan untuk berinteraksi dengan masyarakat lain.
       
5. Fiqh ini dapat menyedarkan dan memberi pendidikan, serta menjawab persoalan yang timbul. Di samping itu, ia memudahkan golongan minoriti untuk menjalankan kewajipan-kewajipan mereka dengan baik.

Ciri-ciri Fiqh Minoriti ini ialah :


1. Menggabungkan khazanah silam dengan keadaan –keadaan semasa dalam menetapkan sesuatu hukum.
       
2. Mengaitkan keuniversalan Islam dengan realiti masyarakat kini  sehingga ia dapat menjawab persoalan masyarakat dengan baik.
       
3. Keseimbangan antara teks-teks syariat yang  bersifat cabangan dengan tujuan-tujuan syariat. Ia menggabungkan antara kedua-duanya sekalibagi menggambarkan kesyumulan ajaran Islam.
       
4. Memperhatikan setiap perkara yang telah diputuskan oleh ulamak terdhulu bahawa fatwa akan berubah dengan perubahan zaman, masa dan tempat.
       
5. Menjaga keperibadian muslim bagi setiap individu untuk berinteraksi dengan masyarakat sekeliling  sehingga mereka dapat mempengaruhi mereka.

Al-Qaradawi juga menyebutkan bahawa fiqh ini bersumberkan kepada sumber-sumber yang digunakan oleh para fuqaha secara umumnya iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan qias. Di samping kaedah-kaedah lain seperti mengamalkan sesuatu hukum berdasarkan kepentingan umum (masalih al-Mursalah), kaedah mencegah kemudaratan, (sadd al-dhara'i) tradisi masyarakat setempat (al-uruf) dan perkataan sahabat. (qaul al-sahabat).

Al-Qaradawi menjelaskan teras kepada membangunkan fiqh minoriti ini ialah :

1. Membuka pintu ijtihad bagi orang yang layak berijtihad dalam isu-isu semasa.
       
2. Memperhatikan kaedah-kaedah fiqh yang telah ditetapkan oleh ulamak seperti  segala perkara itu bergantung kepada tujuan-tujuannya (al-Umur bi maqasidiha), adat kebiasaan itu diakui sebagai dasar hukum (al-Adab muhakamat), hak-hak umat lebih didahulukan daripada hak-hak individu dan sebagainya.
       
3. Memperhatikan fiqh realiti yang sedang berlaku. Seorang ulamak yang berwibawa adalah seorang yang mampu memadukan hal yang wajib dengan realiti kerana ia tidak hidup dalam hal yang diwajibkan sahaja melainkan juga hidup dalam realiti yang dihadapinya. Inilah yang ditetapkan oleh ulamaka bahawa perubahan hukum dengan berubahnya zaman, tempat dan keadaan. Antara kewajipan fiqh realiti ini ialah ahli fiqh sentiasa mengetahui hakikat minoriti muslim sebelum memberi fatwa kepada mereka sebab keadaan minoriti dari satu wilayah ke satu wilayah yang lain adalah berbeza.
       
4. Memperhatikan keperluan umat secara keseluruhannya dan bukan terbatas kepada individu dengan adil dan saksama.
       
5. Membangunkan ijtihad di atas dasar kemudahan yang dapat memberi jalan keluar bagi setiap persoalan. Para sahabat lebih mirip memilih manhaj mempermudah dan meringankan sesuatu.
       
6. Memperhatikan kaedah  fatwa akan berubah dengan perubahan zaman, tempat , tradisi dan keadaan.
       
7. Menggunakan pendekatan secara bertahap  dalam rangka memperbaiki berbagai keadaan dan jauhnya mereka dari masyarakat majoriti Islam.  Metode bertahap ini merupakan hukum alam dan sunnatullah.
       
8. Mengenali keperluan dan kemudaratan masyarakat dengan melihat realiti yang berlaku bukan melihat persoalan-persoalan  dengan pandangan idealistic yang hanya bergantung di dunia mimpi. Di antara ciri syariat yang realistik ialah mengakui terhadap kemudaratan yang menimpa kehidupan manusia baik individu datau masyarakat.
       
9. Membebaskan diri daripada keterikatan terhadap satu mazhab tertentu dan agar seorang mufti tidak memaksa masyarakat untuk berpegang teguh terhadap satu mazhab. Ia harus melihat pelbagai pandangan dan yang kuat dalilnya serta memberi kemudahan dan keluasan walaupun berbeza dengan mazhab yang dianutinya.



Inilah merupakan asas-asas dan ciri –ciri dalam membangunkan fiqh minoriti supaya tidak tergelincir dari landasan syariat Islam yang sebenar. Ia merupakan satu ajaran baru tetapi ia merupakan satu metode untuk masyarakat minoriti mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna dan mudah dalam masyarakat bukan Islam yang lebih besar.

Al-Qaradawi mengharuskan wanita yang memeluk agama Islam untuk kekal bersama dengan asuaminya yang masih belum masuk Islam. Pandangan ini menurut Wahbah al-Zuhaili merupakan pandangan dan fatwa yang Sadh (pelik). Begitu juga pandangan al-Qatadawi yang mengharus lelaki dan wanita bersalaman. Menurut Wahbah al-Zuhaili, fatwa ini juga adalah pelik (sadh). Menurut Abdul Majid Mohd Nor, mantan Mufti Negeri Kedah bahawa pendapat yang mengekal perempuan bersama suaminya yang tidak Islam adalah tidak boleh dipakai dalam konteks masyarakat Malaysia dan ia juga adalah pendapat yang pelik.

Maslahah Menurut al-Qaradawi

Maslahah (kepentingan umum) ditakrifkan sebagai manfaat yang memang menjadi tujuan Tuhan Pencipta syariat untuk para hamba-Nya, manfaat yang meliputi pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda menurut urutannya. Sementara masalih al-mursalah pula bermaksud segala manfaat yang tercakup dalam daerah tujuan-tujuan shariat yang tidak mempunyai dalil sama ada dalil yang mengiyakan atau yang menidakkannya. Maslahah bermaksud kepentingan, kebaikan . Kebajikan atau apa-apa yang mendatangkan faedah, lawan kepada fasad iaitu keburukan dan kejahatan.

Al-Ghazali menghuraikan maksud maslahah iaitu mendapatkan manfaat dan menghindarkan kemudaratan dengan memelihara tujuan syarak yang lima iaitu menjaga agama, diri, akal, keturunan dan harta. Sesuatu yang menjaga lima perkara ini dianggap sebagai maslahah dan sesuatu yang meninggalkan lima perkara ini dianggap sebagai keburukan. Konsep inilah yang menjadi panduan dalam konteks hubungan manusia dengan Tuhan, manusia sesama manusia dan manusia dengan alam sekelilingnya. Dari konsep ini lahirlah kaedah penting dalam usul feqah yang dinamakan sebagai  al-Istislah atau masalih mursalih yang merupakan satu cabang dari teknik mengeluarkan hukum-hukum syarak yang tidak ada nas yang jelas dengan menggunakan rasional pemikiran berasaskan kepada maslahah.

Bagi golongan Syafi’i, mereka tidak menggunakan al-Istislah sebagai cara mengeluarkan hukum. Adapun begitu, ada juga yang menyatakan bahawa al-Syafi’i berpegang kepada masalih mursalah walaupun atas nama qias dan sadd al-zara’i mengikut istilahnya seperti pendapat al-Ghazali dan al-Subki. Perkara ini dikuatkan lagi dengan pendapat Dr. Husain Hamid Hassan  dalam risalah Ph.D yang bertajuk Nazariat al-Maslahah fi al-Fiqh al-Islami yang menyebutkan bukti-bukti pengambilan hukum secara qias dalam konteks masalih mursalah.

Abdul Wahab Khallaf dalam bukunya Masadir al-Tasri’i al-Islami telah meletakkan kaedah dan syarat maslahah dalam pembinaan hukum antaranya ialah pertama perkara tersebut semestinya kepentingan yang hakiki ( Maslahah haqiqiyah) bukan maslahah yang was-was. Kedua maslahah itu adalah umum dan bukan berbentuk peribadi. Ketiga maslahah itu tidak bertentangan dengan nas dan ijmak.

Oleh hal yang demikian, para fuqaha  menyatakan bahawa matlamat syarak tidak lain dari maslahah. Di mana ada maslahah maka di sanalah Allah menempatkan syarak. Maslahah menjadi asas perhitungan ijtihad. Maslahah yang menjadi dasar perkiraan Abu Bakar dalam siyasah shar’iyyahnya menamakan Umar bin al-Khatab sebagai pengantinya. Maslahah jugalah yang menjadikan Umar al-Khatab untuk tidak menamakan sahabat tertentu sebagai penggantinya, sebaliknya menyerahkannya kepada majlis perundingan di kalangan enam orang para sahabat.Kedua-dua mereka telah sama-sama berijtihad dengan asas perkiraan yang sama iaitu maslahah. Ketetapan yang mereka ambil adalah jelas tidak sama di antara satu dengan yang lain malah tidak sama dengan  yang dilakukan oleh Rasulullah. Perbuatan tersebut tidak bertentangan dengan syarak selagi ia bertujuan untuk menegakkan keadilan di dalam kalangan rakyat dan memenuhi maslahah mereka.

Dalam buku al-Siyasah al-Syar'iyyah dan Taysir al-Fiqh, al-Qaradawi menjelaskan dengan panjang lebar penggunaan maslahah dengan mengutarakan pelbagai pendapat ulamak.

Menurut al-Qardawi, makna maslahah ialah  segala sesuatu yang di dalamnya terkandung kebaikan  dan manfaat bagi manusia dalam urusan dunia  ataupun agama. Sementara makna al-Mursalah ialah sesuatu yang tidak terikat.ataupun   kepentingan yang tidak dibuktikan oleh dalil yang khusus untuk menetapkannya yang layak dipertimbangkan mahupun yang tidak layak dipertimbangkannya.

Para fuqaha saling berbeza pendapat dalam mengambil hujah mengenai masalih al-Mursalah dan kedudukannya sebagai dalil dalam menjatuhi hukuman, fatwa dan perundangan. Imam yang paling banyak  menggunakan masalih al-Mursalah ialah Imam Malik sementara mazhab yang paling sempit dalam menggunakan rujukan kepentingan ini adalah al-Shafi'i. namun ia tetap menggunakannya dalam hal-hal tertentu. Oleh itu, maslahah ialah keupayaan memelihara tujuan-tujuan agama.Tujuan-tujuan syariat yang dituntut daripada manusia adalah menjaga agama, diri, akal, keturunan, harta benda, kehormatan, keamanan, hak dan kebebasan mereka, menegakkan keadilan dan kerjasama dalam masyarakat yang ideal, serta apa pun yang memudahkan kehidupan mereka, menghindarkn kesulitan daripada mereka, menyempurnakan akhlak yang mulia, menuntun mereka kepada jalan  yang paling lurus dan beradab, tradisi, sistem dan muamalat. Namun maslahah itu harus dilihat dari perspektif syarak, bukan dari perspektif manusia kerana sesetengah manusia melihat bahawa membunuh anak perempuan seperti dalam masyarakat jahiliah dahulu, tidak memberi harta pusaka kepada anak perempuan termasuk dalam perkara maslahah sedang sebenarnya ia akan membawa kepada kerosakan. Begitu juga mereka tidak menganggap minuman arak dan berjudi sesuatu keburukan sedangkan syariat mengatakannya sebagai keburukan. Oleh itu, maslahah  pada dasarnya ialah  sesuatu yang mendatangkan manfaat dan menghindarkan keburukan menurut perspektif syarak.

Termasuk dalam hal maslahah ini ialah pengumpulan al-Quran oleh Abu Bakar, pembinaan institutusi kenegaraan oleh Umar bin al-Khatab, membukukan al-Quran dan mashaf yang satu oleh Uthman bin ‘Affan dan  arahan Saidina Ali untuk menyuruh Abu Aswad al-Du'ali menulis dasar-dasar ilmu nahu Bahasa Arab. Menurut al-Qaradawi, kebanyakan ulamak sekarang melihat maslahah sebagai satu sumber dan kaedah yang dijadikan sandaran hukum seperti pendapat Husain al-Khudri, Mustafa al-Maraghi, Muhamaf Abu Zahrah, Mahmud Syaltut, Muhamad Sa’id Ramadan, Husain Hamid , Abdul Karim Zaidan dan Wahbah al-Zuhayli. Mereka bersetuju maslahah ini  merupakan satu keperluan bagi masyarakat muslim dalam berfatwa, membuat undang-undang dan kehakiman.

Pengaruh al-Qaradawi terhadap Fiqh Semasa.

Ternyata al-Qaradawi mempunyai pengaruh terhadap perkembangan fiqh semasa. Fatwa beliau dijadikan rujukan umat dalam pelbagai isu kerana fatwanya amat relevan dalam konteks masyarakat hari ini. Fatwa-fatwanya yang sederhana, mudah dan didatangkan dengan hujah yang terkuat menjadikan umat berpuas hati dengan penjelasannya. Beliau tidak mengikat diri dan umat dalam satu pendapat malahan memberikan pelbagai pendapat dan terpulang kepada umat untuk memilih pendapat-pendapat yang sesuai untuk diamalkan mengikut kadar kemampuan mereka. Hal ini dijelaskan beliau dalam konteks perkara-perkara yang boleh diijtihadkan. Sementara perkara yang pasti adalah hukum yang tidak berubah sepertimana yang kita maklum.

Antara pengaruhnya ialah beliau menciptakan istilah-istilah seperti Fiqh Maratib al-Amal ( Kefahaman Tingkatan Amalan), fiqh al-awalawiyyat (Fiqh Keutamaan) dan lain-lain. Di samping itu, buku al-Halal wa al-Haram, Fatawa al-Mu'asarah menjadi rujukan utama dalam bidang fiqh hari ini. Beliau juga menyeru kepada konsep ijtihad dalam perkara-perkara baru sama ada ijtihad bersandarkan kepada kajian  semula kepada ijtihad-ijtihad yang pernah dikemukakan oleh ulamak terdahulu mahupun ijtihad terbaru berdasarkan kepada teks al-Quran dan al-Sunnah yang belum pernah disentuh oleh ulamak terdahulu.

Al-Qaradawi juga tidak terlepas daripada kritikan. Ada kritikan yang bersifat objektif dengan  menghormati ilmu al-Qaradawi seperti yang dilakukan oleh al-Bani terhadap sumber-sumber hadis yang digunakan oleh al-Qaradawi dalam buku al-halal wa al-haram. Namun al-Bani menyebutkannya dengan baik dan al-Qaradawi adalah bertanggungjawab terhadap masalah itu dan dia akan tetap mendapat pahala sama ada benar ataupun salah. Hal Ini kerana perkara tersebut merupakan ijtihadnya. Sementara itu, Dr. Salah al-Sawi juga tidak bersetuju dengan fatwa al-Qaradawi yang  cenderung membolehkan membeli rumah untuk tempat tinggal dengan wang riba atau pinjaman bank. Fatwa al-Qaradawi disokong oleh Majlis fatwa Eropah. Namun Salah al-Sawi menjelaskan kritikan itu dengan baik.

Satu lagi golongan yang mengkritik al-Qaradawi adalah golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai salafi dan kritikan-kritikan yang dilemparkan itu adalah dalam masalah cabangan yang sememangnya dibenarkan perbezaan pendapat. Bagi mereka, apabila  fatwa-fatwa itu berlainan dengan syeikh mereka, ia merupakan satu jenayah dan kesalahan yang besar. Mereka seolah-olah mahu memastikan hanya fatwa mereka yang layak digunapakai oleh umat ini. Mereka melihat bahawa perbezaan pendapat dalam masalah fiqh itu adalah satu tindakan jenayah dan kejahatan.

Satu golongan yang lebih parah yang mengkritik al-Qaradawi adalah golongan al-Ahbasy. Golongan ini bukan sahaja mengkritik al-Qaradawi malah semua ulamak termasuk Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, al-Bani, Muhammad Abdul Wahab. Mereka menganggap semua ulamak tersebut adalah sesat termasuk Hassan al-Banna. Golongan ini  bergerak cergas di Jordan dan Syria dan pernah datang ke Malaysia untuk Multaqa Ulamak di Putrajaya.

Di antara golongan yang turut  mengkritik al-Qaradawi adalah golongan yang tidak mahu ta'adud jamaah (pelbagai organisasi) termasuk pelajar-pelajar Malaysia di Universiti al-Azhar. Bagi mereka fatwa al-Qaradawi tidak boleh diguna pakai dalam hal tersebut kerana al-Qaradawi mengharuskan kepelbagaian organisasi dalam menegakkan Islam. Bagi mereka, jamaah mereka adalah yang terbaik, tulen dan jamaah-jamaah lain adalah sesat. Bagi golongan ini, mereka lebih menggunakan fatwa orang-orang yang tidak berilmu daripada al-Qaradawi, Muhammad al-Ghazali dan ulamak al-Azhar yang lain. Mereka menggelarkan al-Qaradawi dan orang yang sealiran dengannya sebagai al-tasallulat (orang yang suka mempermudahkan). Mereka mahukan satu pendapat sahaja yang boleh dipakai dan memaksa umat menggunakan fatwa mereka walaupun sebenarnya mereka tidak layak berfatwa. Sepertimana yang disebut oleh Muhamad al-Ghazali mereka adalah orang "perompak jalanan" (qita' al-tariq) yang menghalang manusia daripada mengenali ajaran Islam yang sebenar. Mereka baru belajar Islam semalam, menjadi guru hari ini dan mahu menjadi mufti dan mengeluarkan fatwa besok hari.

Di Malaysia, pandangan al-Qaradawi sentiasa dijadikan rujukan dalam isu-isu feqah semasa terutama dalam isu zakat seperti kewajipan dalam mengeluarkan zakat pendapatan dan isu fitnah dalam tahu