Jumaat, 7 Oktober 2011

Kewajipan berdakwah jadi tiang tegakkan Islam

Oleh : Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ajaran Nabi Muhammad meliputi semua masyarakat atau bangsa menghuni alam semesta AJARAN dan hukum hakam antara rasul ada beberapa perbezaan, namun perbezaan ajaran itu hanyalah daripada segi syariatnya selaras perubahan sikap manusia, situasi dan zaman ketika mereka diutuskan.

Apabila Rasulullah SAW diutus sebagai nabi akhir zaman, maka agama yang dibawa Baginda menjadi akidah, syariat, ikutan dan sistem yang sempurna lagi lengkap untuk seluruh umat manusia. Justeru, kewajipan menyeru manusia adalah bersifat sejagat dan menyeluruh kerana Islam adalah sumber cahaya kepada semua orang tanpa mengira warna kulit, bahasa atau bangsa.
Islam tidak terbatas kepada satu umat atau kabilah saja, lebih-lebih lagi Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk bangsa Arab semata-mata, malah Baginda diutus untuk orang Arab dan juga Ajam (bukan berbangsa Arab).

Baginda SAW adalah nabi dan rasul kepada manusia serta jin, jadi perutusan Muhammad yang menjadi penutup kepada ajaran sekalian rasul menjadikan ajarannya meliputi semua masyarakat atau bangsa yang menghuni alam semesta ini.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbia’, ayat 107)
Perlu ditegaskan bahawa tugas berdakwah kepada Islam ini adalah antara kewajipan yang dituntut kepada umat Islam dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah. Perintah kewajipan berdakwah ini banyak disebut dalam al-Quran.
Allah berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Adakah ucapan yang baik itu melainkan mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan seterusnya berkata, ‘sesungguhnya aku daripada kalangan orang beriman’.” (Surah Fussilat, ayat 33)

Al-Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam bukunya Tanwir al-Qulub menjelaskan, ayat itu menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru dan menegah. Kewajipan berdakwah menjadi tiang atau paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Lebih menarik, berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan dan kebajikan yang diperintahkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Menyedari kepentingan tugas berdakwah kepada Allah di bahu setiap umat Islam, Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya Di Bawah Bayangan al-Quran ada menegaskan, tugas dakwah satu amanah yang cukup getir dan besar tanggungjawabnya.

Seluruh ruang lingkup kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada hasil gerak kerja dakwah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia, maju dan mundurnya bangsa, jatuh dan bangunnya masyarakat dan juga bakal menentukan nasib kesudahan umat.

Apabila umat betul-betul melaksanakan perintah Allah dengan berdakwah ke arah kebenaran dan keadilan Islam, maka mereka sudah menempa era gemilang dalam sejarah tamadun manusia. Sebaliknya, jika umat melalaikan tugas dakwah, mereka menempah tiket kesengsaraan dan penyesalan yang tiada titik penghujungnya di dunia dan akhirat.

Sudah tentu dosa dan kelalaian itu ditanggung oleh orang yang sudah dipertanggungjawabkan dengan tugas dakwah tetapi dia tidak melaksanakan amanah itu.

Ini bertepatan dengan perumpamaan yang digambarkan Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: “Perumpamaan bagi seorang yang menegakkan hukum Allah dan membabitkan diri dalam tugas itu adalah seumpama satu kaum yang berkongsi menumpang sebuah kapal. Ada sebahagian mereka yang menumpang di sebelah atas kapal dan sebahagian lain lagi menumpang di sebelah bawahnya. Penumpang yang berada di bawah kapal apabila berhajatkan air, mereka akan naik ke atas lalu mengambil air itu. Lantas mereka berkata: Alangkah baiknya kalau kita menebuk lubang di bawah kapal ini, lalu kita mendapat air dengan mudah tanpa menyusahkan penumpang di sebelah atas.

“Justeru, jika mereka dibiarkan saja dan menebuk lubang di bawah kapal itu, nescaya semua penumpang kapal akan tenggelam binasa. Sebaliknya jika penumpang di sebelah atas menegur dan menghalang penumpang di bawah kapal berbuat demikian, nescaya mereka dan semua penumpang kapal akan selamat.” (Hadis riwayat Bukhari).

Ada kalanya timbul juga persoalan di benak fikiran umat Islam dewasa ini iaitu apakah tugas berdakwah ke arah kebenaran ini hanya khusus kepada kelompok ulama yang ikhlas kerana mereka adalah pewaris nabi.

Orang ramai tidak dihalang menjalankan dakwah, malah sesiapa saja daripada kalangan umat Islam tidak kira apa kedudukan dan pangkatnya, boleh berdakwah dengan cara menunjukkan contoh teladan yang baik.

Apatah lagi Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sampaikanlah apa-apa saja yang diterima dariku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat Bukhari).