1- Kesesatan Yang Nyata
Firman Allah S.W.T;
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di anta mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah( As-sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”
Surah Al-Jumuah: 2
Al-Quran menyifatkan penduduk mekah sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W dalam keadaan yang nyata. Al Imam Ibnu Kathir menafsirkan bahawa kesesatan yang nyata itu adalah kerana masyarakat arab dahulu asalnya berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim A.S.
Namun mereka mengantikan, merubah, menokok tambah, memutarbelitkan serta menukar tauhid kepada syirik, merubah keyakinan dengan keraguan.
Hal ini dapat kita lihat bagaimana realiti umat islam sekarang apabila ramai umat islam yang terlibat dengan masalah sosial yang semakin bertambah. Ini kerana sikap umat islam itu sendiri yang menjauhkan dirinya daripada Al-Quran.
2-Kesempitan Dan Kesesakkan Dada Firman Allah S.W.T;
“…..Dan Barang siapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang yang tidak beriman” Surah Al-An’am: 125
Allah menjanjikan bahawa orang yang menerima hidayah Allah itu akan dilapangkan dadanya sebaliknya orang yang tidak menerima hidayah allah dijadikan dada mereka sempit.
Walaupun disekililing mereka terlihat berjaya memenuhi kepuasan manusia tetapi jauh di dalam dada bereka begitu sesak dan sempit dek pelbagai masalah.
3-Kehidupan Yang Sempit
“ Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatan-ku, Maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkan pada hari kiamat dalam keaadaan buta”
Surah Taha: 124
Apabila hidup kita tidak lagi bertemankan dengan Al-Quran yang menjadi sumber keberkatan hidup maka apa yang mereka lakukan tidaklah mendatang kepuasan dalam hati melainkan kesempitan dan kesesakkan. Teringat pesanan daripada ibu penulis;
“Biar kita kerja gaji kecil tetapi berkat”
Bagi yang menyisihkan Al-Quran dalam hidupnya ketahuilah telah terputus daripada hidupnya keberkatan.
4- Buta Mata Hati
Mereka ini terhijab daripada mata hatinya menerima hidayah Allah. Mungkin matanya mampu melihat dan mencerap cahaya dengan baik namun hatinya gagal dalam melihat kebenaran.
Seringkali sukar menilai sbuah kebenaran yang hadir dalam hidupnya. Hayatilah firman Allah ini yang bermaksud;
“……Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati di dalam dada mereka.” Surah Al-Hajj: 46
5- Kekerasan Hati
“ …… dan jangan lah mereka menjadi orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudia berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakkan diantara mereka adalah orang-orang yang fasik.”
Surah Al-Hadid: 16
Ayat di atas menjelaskan bagaimana ahli kitab terdahulu yang tergolong daripada yahudi dan nasrani, mereka telah menerima kitab masing-masing tetapi mereka mengabaikanya sehingga suatu tempoh yang lama.
Pengabaian ini menjadikan hati mereka keras dan mereka ini terdiri daripada orang yang fasiq.
6- Kezaliman
“ Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya?…..”
Surah As-Sajadah: 22
Amat menggetarkan jiwa kita seandainya dibulatkan kefahaman ayat ini dalam diri kita. Dilontarkan suatu persoalan, siapakah yang lebih zalim daripada mereka ini?
Seolah-olah mereka yang paling zalim diatas muka bumi ini ialah orang-orang yang menjauhkan dirinya daripada ayat-ayat Allah. Sedangkan ayat-ayat Allah inilah yang menjadi penentu kebahagiaan di dunia apatah lagi diakhirat.
7- Menjadi Teman Syaitan
“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami akan adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya (Qarin)
Surah Az-Zukhruf:36
Mengikut Tafsir Jalalaian, Qarin yang dimaksudkan itu adalah teman yang erat dan akan dituruti kehendaknya. Hal ini bukanlah bermaksud mereka yang bertemankan syaitan ini mampu melihat hal-hal ghaib dan sebagainya tetapi mereka ini akan menjadikan bisikan syaitan sebagai neraca berhukum.
Tindakkan-tindakan, keputusan-keputusan dan emosi mereka akan terpedaya dengan nasihat-nasihat syaitan.
8- Lupa Diri
“ Dan jangan kamu menjadi orang-orang yang lupa Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.
Surah Al-Hasyr: 19
Ayat di atas menjelaskan bagi mereka yang melupakan ayat-ayat Allah nescaya baginya dilupakan nasib keadaan dirinya di akhirat kelak sedangkan suatu kerugian yang besar apabila seseorang itu melupakan Allah kerana akhirnya di akhirat kelak akan menimpa dirinya semula.
9- Pendosa (Fasiq)
Gelaran fasik ini sebenarnya banyak sudah Allah ungkapkan bersama dengan dalam ayat-ayat Allah yang dinyatakan di atas.
Ya, fasik itu pada ayat-ayat di atas merujuk kepada ahli kitab tetapi ini merupakan aset pengalaman yang harus diperhatikan oleh umat Islam.
10- Menjadi Munafiq
“ Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul”, niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.”
Surah An-Nisa:61
Mereka yang digelar sebagai munafiq ini bukan sekadar tidak mahu menjadikan Allah sebagai panduan berhukum, tetapi mereka cuba mengahalangi manusia lain untuk turut sama bersama mereka. Moga kita semua dijauhi daripada sifat ini.