Khamis, 11 Februari 2021

Kelebihan, Keistimewaan Pencinta Masjid

Rasulullah SAW sentiasa mempertingkatkan amalan mengimarahkan masjid.

Terdapat pelbagai keistimewaan bagi umat Islam yang hatinya sentiasa terikat dan rindu untuk berada di masjid.

Masjid adalah bangunan Islam yang menjadi lambang kepada syiar Islam. Masjid juga menjadi pusat bagi mengembangkan ajaran- ajaran Islam, pusat perhimpunan yang menyatupadukan umat Islam yang di dalamnya umat Islam beribadat dengan lebih khusyuk dan tawaduk, mengerjakan sembahyang berjemaah, menimba ilmu pengetahuan dan menerima nasihat dan pengajaran demi untuk kebaikan dan kesejahteraan ummah di dunia dan di akhirat.

Kelebihan Pergi dan Pulang dari Masjid

Nabi S.a.w bersabda yang bermaksud: " Setiap orang yang bersuci (berwudhu), kemudian ia menuju ke salah sebuah masjid (untuk bersembahyang), maka Allah akan menuliskan untuknya satu hasanah (pahala) bagi setiap langkah dan meningkatkan satu darjat serta menghapuskan dari dosa".
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim).

Ketika solat berjemaah, apabila imam selesai membaca surah al-Fatihah, lalu menyebut 'amin' bersama makmum, lafaz itu bertepatan dengan 'amin' malaikat, maka dosa mereka akan diampunkan oleh Allah SWT.


Maksudnya: Dari 'Atha bin Yasar dari Abu Hurairah dari Nabi S.a.w, Baginda bersabda: " Barangsiapa yang pergi ke Masjid dan pulang daripadanya maka Allah menyediakan untuknya tempat kediaman di Syurga, setiap ia pergi dan pulang itu".
(Hadis Riwayat Al Bukhari)

Nabi S.a.w bersabda: : " Apabila kamu sekalian melihat orang yang tetap pergi ke Masjid, maka berikanlah kesaksian bahawa dia itu beriman".
(Dipetik dari buku Durratun Nasihin)

Rasulullah S.a.w bersabda lagi: Maksudnya: " Berilah khabar gembira kepada orang- orang yang banyak berjalan dalam kegelapan malam menuju ke masjid, dengan cahaya yang sempurna terang di hari Kiamat".
(Dipetik dari buku Zubdatil Waa'izdiina).

Kelebihan Berada dan Ibadah di Masjid

Allah Taala berfirman: " Hanya yang memakmurkan masjid- masjid Allah ialah orang- orang beriman kepada Allah dan hari akhirat".
(Surah Al-Taubat, ayat 18)

Anas bin Malik pula berkata: Maksudnya: " Barangsiapa yang menyalakan satu lampu di Masjid maka para Malaikat dan Malaikat pembawa Arsy, sentiasa memohon keampunan baginya selama lampu itu masih menyala".

Seorang sahabat, Muaz Ibnu Jabal, pernah berkata bahawa barangsiapa yang mengantung pelita yang menerangkan Masjid nescaya 70 ribu Malaikat akan mendoakannya sehingga padam pelita itu. Barangsiapa yang menyediakan tikar pada Masjid nescaya 70 ribu Malaikat akan mendoakannya sehingga hancur tikar itu.

Dari Abuz Zinad, dari A'raj, dari Abu Hurairah bahawanya Rasulullah S.a.w bersabda: " Semua Malaikat itu memohon kerahmatan kepada seseorang di antara kamu semua selama ia masih berada di tempat sembahyangnya, juga selama ia belum berhadas. Mereka mengucapkan: " Ya Allah berilah pengampunan untuk orang itu. Ya Allah, kurniakanlah kerahmatan untuknya".

Seseorang dari kamu semua itu masih dianggap dalam keadaan bersembahyang selama sembahyang itulah yang menyebabkan ia tertahan di tempatnya itu, jadi tiada sesuatu pun yang menghalang- halangi dari untuk kembali ke tempat keluarganya melainkan hanya sembahyang itu saja".
(Hadis Riwayat Al Bukhari)

Adab Berada di Masjid

Sabda Rasulullah S.a.w: " Apabila seseorang dari kamu memasuki Masjid, maka hendaklah bersembahyang dua rakaat dahulu sebelum ia duduk."

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Abullaits Assamarqandi berkata: Memghormati Masjid itu ada lima belas perkara:

1. Memberi salam ketika masuk jika orang- orang sedang duduk, tetapi jika ada orang atau mereka sedang sembahyang maka memberi salam kepada diri sendiri dan hamba- hamba Allah yang salihin (Assalamu Alaina Mim Rabbina Wa ala ibadillahi Salihin).

2. Sembahyang dua rakaat kerana sabda Nabi S.a.w ada menyebutkan: Tiap- tiap sesuatu ada aturannya dan adab aturan masuk masjid sembahyang dua rakaat.

3. Tidak berjual beli dalam masjid.

4. Tidak menghunus pedang di dalamnya.

5. Tidak mencari barang yang hilang di dalam
Masjid.

6. Tidak bersuara keras di dalamnya kecuali dalam berzikir jika tidak menganggu orang lain.

7. Tidak membicarakan urusan dunia.

8. Tidak melangkah kepala orang.

9. Tidak bertengkar di dalamnya.

10. Tidak berhimpit- himpit dalam shaf.

11. Jangan berjalan di hadapan orang yang sedang sembahyang.

12. Tidak boleh berludah di dalam Masjid.

13. Membersihkannya dari najis dan anak- anak kecil yang belum mumaiz, dan orang gila dan menegakkan hukum had.

14. Jangan membunyikan jari- jari.

15. Memperbanyakkan zikir kepada Allah dan tidak melalaikannya.

Bacaan Ketika Pergi Ke Masjid

Apabila seseorang keluar menuju ke Masjid, maka disunatkan ia membaca zikir keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi S.a.w.

Dari Ummi Salmah R.a, Sesungguhnya Nabi S.a.w apabila keluar dari rumah ia membaca:
Maksudnya: " Ya Allah aku berlindung kepada-Mu dari tersesat atau disesatkan, terhina atau dihina, menganiaya atau dianiaya menjadi bodoh atau dibodohkan orang".
(Hadis Sahih riwayat Abu Daud, Tarmizi, Al-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Kemudian disunatkan membaca zikir ketika hendak menuju ke Masjid sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.a, bahawa Nabi S.a.w ketika mendengar azan subuh, keluar menuju ke Masjid sambil berdoa:

Maksudnya: " Ya Allah, jadikanlah cahaya berada dalam hatiku, cahaya berada dalam lidahku. Jadikanlah cahaya berada pada pendengaranku. Jadikanlah cahaya berada di belakangku dan cahaya berada di mukaku. Jadikalah cahaya berada di atasku dan cahaya berada di bawahku. Ya Allah berilah cahaya kepadaku".

Bacaan Ketika Masuk dan Keluar Masjid

Ketika seseorang hendak memasuki masjid disunatkan membaca: Maksudnya: " Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Besar, kepada wajah-Nya yang Maha Mulia dan kerajaan- Nya yang Qadim (Asali) dari Syaitan terkutuk. Segala puji bagi Allah. Ya Allah limpahkan selawat dan sejahtera atas Nabi Muhammad S.a.w dan keluarganya. Ya Allah ampuni dosaku dan bukakan pintu-pintu rahmat-Mu".

Kemudian baca (bismillahirrahmanirrahim) dan mulalah melangkah dengan kaki kanan.
Apabila keluar dibaca lagi zikir tersebut di atas dengan merubah kata terakhir (rahmatik) diganti dengan (fadlik) sambil mendahului kaki kiri ketika keluar.

Menurut riwayat Ibnu Sunni sunat memberi salam ketika keluar dari Masjid serta membaca doa meminta perlindungan dari diganggu oleh syaitan. Sebagaimana Nabi S.a.w membaca doa ini ketika keluar dari Masjid. Maksudnya: "Ya Allah lindungilah aku dari syaitan terkutuk".
(Riwayat ini juga disebutkan oleh Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban).

Iktikaf di Masjid

Iktikaf ertinya ialah diam dalam masjid sambil beribadat. Sunat lafaz niat iktikaf sebaik- baik saja melangkah masuk ke Masjid sebelum mendirikan Sembahyang Sunat Tahiyatul Masjid.

Niatnya ialah:

Maksudnya: " Sahaja aku beriktikaf di dalam Masjid ini kerana Allah S.w.t".

Sembahyang Sunat Tahiyatul Masjid

Sembahyang Sunat Tahiyatul Masjid ialah sembahyang sunat dua rakaat yang dilakukan sebaik- baik saja masuk Masjid.

Niatnya ialah:

"Sahaja aku sembahyang Sunat Tahiyatul Masjid dua rakaat kerana Allah S.w.t."

Berzikir Dalam Masjid

Rasulullah S.a.w telah berkata kepada Abu Hurairah R.a yang bermaksud: " Jika engkau lalu di taman Syurga nikmatilah buahnya". Abu Hurairah kemudian bertanya, " Ya Rasulullah di mana taman Syurga itu?" jawab Baginda S.a.w. "Masjid- masjid Allah di muka bumi inilah antara taman- taman Syurga". "Bagaimanakah menikmati buah- buahnya?" tanya Abu Hurairah. Jawab Baginda S.a.w dengan membaca di dalam Masjid:

'Subhanallah Walhamdulillah Wala 'ilaaha 'illallah Wallahuakbar'

Di samping memperbanyakkan zikir kepada Allah ketika berada di dalam Masjid seperti tasbih, tahlil, tahmid dan lain- lain zikir, disunatkan juga memperbanyakkan membaca Al-Quran dan mengadakan majlis keugamaan serta mempelajari hadis- hadis Rasulullah S.w.t, Ilmu Fiqah dan Ilmu- Ilmu Syariat yang lain.

Firman Allah dalam surah Al- Nur: ayat 36- 37:
Maksudnya: "Di Masjid-masjid yang telah diperintahkan oleh Allah untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, beberapa orang laki-laki bertasbih kepada Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang".

Dan firman Allah lagi dalam surah Al-Haj, ayat 30: Maksudnya: " Dan sesiapa mengagungkan apa- apa yang terhormat di sisi Allah, maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya".
Para sahabat Rasulullah S.a.w menerangkan: " Sesiapa masuk ke Masjid lalu tidak sempat melakukan Sembahyang Tahiyat Masjid disebabkan ia berhadas kecil atau kesibukan lainnya disunatkan baginya membaca empat kali:

'Subhanallah Walhamdulillah Wala 'ilaaha 'illallah Wallahuakbar'

Maksudnya: Maha Suci Allah, segala puji bagi-Nya, tiada Tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar.

Tuntutan ke Masjid

Rasulullah S.a.w bersabda: Maksudnya: " Tidak sempurna sempurna sembahyang seseorang yang berjiran dengan Masjid melainkan di dalam Masjid.
(Diriwayatkan oleh Daraquthni dan Hakim).

Al- Hakim bin Umair R.a berkata: " Jadilah kamu di dunia ini bagaikan tamu dan jadikan Masjid bagaikan rumahmu, dan ajarkan (biasakan) hatimu lembut, kasih sayang, banyak- banyaklah bertafakur dan menangis dan jangan sampai kamu di kacau oleh nafsu."

Berkata Abu Hurairah R.a: " Telah datang kepada Nabi S.a.w seorang lelaki yang buta, dikatakan namanya adalah Abdullah bin Maktum. Maka dia (Abdullah bin Maktum) berkata: " Wahai Rasulullah, sungguh saya tidak ada yang membimbing pergi ke Masjid". Maka dia minta keringanan kepada Nabi agar diperbolehkan sembahyang di rumah. Maka Rasulullah pun memberi keringanan. Tatkala memanggilnya dan berkata kepadanya: " Apakah engkau mendengar seruan azan untuk sembahyang?". Kata Abdullah bin Maktum: "Ya, (mendengar). Sabda Rasulullah: " datanglah berjemaah".

Dalam mencari keredhaan Allah, di samping kita mengerjakan perkara- perkara yang wajib dan meninggalkan perkara- perkara yang dilarang adalah lebih baik jika amalan- amalan kita itu ditambah lagi dengan perkara- perkara yang sunat dan mempunyai kelebihan di sisi Allah seperti selalu berada di Masjid berzikir dan beribadah di dalamnya, juga sama- sama mendirikan sembahyang dengan jemaah- jemaah yang lain.

Sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadis sahih:
Maksudnya: " Perelokkanlah amalan- amalan sunat kamu yang mana dengannya nanti akan menyempurnakan ibadat- ibadat wajib kamu".