Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”. (Surah Al-Ahzab, ayat 36)
Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
menjelaskan lagi: Ayat ini menegaskan satu kaedah yang wajib dipatuhi
oleh orang mukmin dalam segala urusan hidupnya, iaitu tidak harus bagi
seseorang itu memilih sesuatu ketetapan selain daripada yang telah
ditetapkan oleh Allah Ta'ala dan diterangkan oleh Rasul-Nya.
Islam meletakkan tiga tugas utama manusia sebagaimana hamba Allah
yang menjadi penghuni di muka bumi ini, iaitu:
Pertama:
Tugas sebagai hamba Allah SWT.
Manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk melaksana tugasnya sebagai hamba Allah ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT dalam segala aspek kehidupan, bukan saja manusia, malah jin juga diciptakan untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT. Maksud pengabdian kepada Allah SWT adalah luas, bukan semata-mata dalam ibadah-ibadah khusus seperti melaksanakan ibadat solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya, tetapi mencakupi aspek dalam mengatur uruskan kehidupan harian, hidup berkeluarga, bermasyarakat, bermuamalat, berpolitik, termasuk pendidikan, ekonomi, perundangan dan sebagainya mesti di atas landasan dan makna mengabdikan diri kepada Allah SWT, firman-Nya di dalam Al-Quran:
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”. (Surah Adz-Dzaariyaat, ayat 56)
Tidak syirik atau menyekutukan Allah SWT dalam beribadah, beramal, bekerja dan dalam apa-apa jua tindakan, firman-Nya:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai
Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu,
diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu, oleh
itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,
hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan
sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah Al-Kahfi, ayat 110)
Kedua: Tugas sebagai khalifah Allah SWT.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika
Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan
seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan
Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan
darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan
memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku
mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah Al-Baqarah, ayat 30)
Dalam
Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan maksud “khalifah” dalam
ayat ini: Khalifah ialah seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah
untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan wahyu dan
syariat Allah, supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai
tujuan-tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredhaan Allah Azza
wa Jalla.
Kisah Nabi Daud AS di dalam Al-Quran merupakan
iktibar dan pengajaran kepada umat manusia akhir zaman tentang tugas
seorang khalifah, firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai Daud, sesungguhnya
Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di
antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan
kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian
itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat
dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal,
disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu”. (Surah Saad, ayat 26)
Pengajaran
daripada ayat ini kepada umat Islam zaman ini, sebagai khalifah kita
terikat dengan hukum dan syariat Islam yang mencakup semua perkara
seperti aqidah, syariat, akhlak, kehidupan dan sebagainya.
Ketiga:
Tugas untuk memakmurkan dunia. Manusia tidak diciptakan saja-saja atau
sia-sia, tetapi Allah SWT menciptakan manusia dengan tugas besar untuk
memakmurkan dunia, sebagaimana firman-Nya:
Maksudnya: “…Dia-lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya…”. (Surah Hud, ayat 61)
Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan maksud ayat ini: Yakni berusaha supaya ramai penduduknya, banyak hasil mahsulnya dan sejahtera hidup padanya.
Inilah tugas dan tanggungjawab manusia dalam memakmur dan juga membangunkan dunia selaras dengan maqasid syariah, demi memelihara dan menjaga lima perkara asas dalam kehidupan manusia, iaitu menjaga agama, akal, jiwa, nasab dan harta. Melalui ayat ini juga para Ulama menerangkan maksud kalimah “isti’mar” yakni memakmurkan itu, ialah perintah supaya manusia melaksana dan menegakkan segala tanggungjawab yang diletakkan di atas diri manusia.
Para ulama juga menggariskan makna memakmurkan dunia ini kepada tiga tanggungjawab besar, iaitu tanggungjawab kepada agama, tanggungjawab kepada masyarakat dan tanggungjawab kepada manusia. Islam meletakkan tanggungjawab kepada agama itu merupakan suatu yang paling utama dan penting dalam hidup manusia. Ini bermakna agama adalah perkara asas dalam mengurus dan memakmurkan hidup di dunia, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pokok segala urusan ialah Islam dan tiangnya ialah solat dan puncaknya (atapnya) ialah jihad”. (HR At-Tirmizi)