Oleh Mohd Fadly Samsudin
ULAMA adalah pewaris nabi. Sesungguhnya nabi tidak meninggalkan kepada umatnya harta kekayaan tetapi ilmu pengetahuan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang tersebut mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).
Siapakah sebenarnya ulama yang dikatakan pewaris nabi itu? Apakah pula peranan masyarakat bagi mengangkat martabat ulama?
Sejarah turut membuktikan pembabitan ulama dalam perjuangan merebut kemerdekaan. Justeru, tugas dan peranan terbesar ulama adalah menjalankan urusan pembangunan masyarakat supaya mereka hidup bersatu padu, rukun dan makmur.
Mereka menanggung amanah besar bagi menyampaikan kebenaran berdasarkan ilmu yang mereka miliki. Berbicara mengenai politik, ada yang mengatakan ia sesuatu yang kotor dan penuh dengan penipuan.
Jika kita melihat sejarah politik bangsa, ulama turut berperanan penting mencatat nama dalam pembentukan negara.
Malah, sistem pentadbiran, pendidikan, perundangan dan ekonomi umat Islam sinonim dengan sistem Islam.
Jelas karektor yang dimiliki golongan ilmuwan berkenaan menjadi lambang kekuatan iman dan harapan umat Islam supaya kekal berpegang teguh kepada ajaran yang suci dan benar.
Ibnu Abbas berkata: “Ulama adalah orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi: Orang alim tentang Allah Maha Penyayang adalah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiat-Nya disamping yakin bahawa dia tetap akan menemui-Nya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.
Ulama mengetahui bagaimana sunnatullah (peraturan Allah) berkenaan kejadian manusia dan semua kejadian di alam ini.
Semakin tinggi ilmu, bertambah takut mereka kepada Allah. Berlainan dengan sesetengah lainnya, apabila bertambah ilmunya makin bertambah ingkar kepada Allah.
Golongan ulama mengamalkan segala ilmu yang dipelajarinya. Mereka memiliki hati yang bersih daripada maksiat dan syirik dan tidak tamak dengan habuan dunia.
Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman Ibnu Affan dan Ali Ibnu Abi Talib adalah beberapa nama agung yang mengambil tempat selepas kewafatan baginda Rasulullah sebagai khalifah.
Sistem yang dijalankan ketika pemerintahan Khalifah ar-Rasyidun membawa kemakmuran berpanjangan serta keadilan saksama kepada umatnya.
Itulah kesan langsung kejayaan pimpinan ulama yang menjadi pentadbir. Mereka bukan sekadar penasihat kepada kerajaan tetapi pelaksana dasar negara.
Bagi menghadapi pelbagai cabaran alaf baru, ulama perlu mempersiapkan diri mengikuti perkembangan semasa selain memahami perkara baru yang muncul timbul agar mereka dapat menanganinya dengan baik.
Fatwa atau pandangan perlu dilontar selaras dengan zaman dan bertepatan dengan syariah Islamiah.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menjalankan hukum (pemerintahan) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang diturunkan oleh Allah”. (Surah al-Maidah ayat 48).
Ulama perlu melakukan perubahan kepada umat Islam. Mereka perlu melihat kembali sejarah bagaimana Nabi Muhammad dan sahabatnya berdakwah.
Sebagai seorang daie (pendakwah) mereka perlu ada sifat sabar, berhikmah, teladan baik, lemah lembut, bersikap ramah, kasih sayang, menyeru hormat-menghormati, saling nasihat-menasihati serta memuliakan saudara lain.
Seruan dakwah yang berpaksikan ‘hikmah dalam dakwah’ perlu bergema di seluruh pelusuk tempat untuk mengajak umat Islam mengenal Islam dengan lebih sempurna.
Golongan ulama perlu berusaha melindungi umat Islam dari segala penyelewengan dalam agama seperti amalan bid’ah, khurafat, syirik, tahyul dan maksiat.
Mereka hendaklah membongkar segala penyimpangan yang cuba disebarkan kepada umat Islam. Justeru, kita perlu mengiktiraf ulama sebagai pemimpin yang berwibawa.
Rasulullah memperjelaskan ciri yang perlu ada bagi mereka yang ingin menyambung warisan baginda adalah menentang penyelewengan golongan melampaui batas.
Segala penyelewengan agama contohnya ajaran syiah perlu diperangi habis-habisan kerana ia menyebabkan umat Islam dalam kekacauan.
Abu Nu’aim menyatakan bahawa Nabi mengatakan, “Dua macam golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rosaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan pemerintah.”
Pensyarah Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti Malaya (UM), …… berkata ulama secara lateralnya bermaksud orang berilmu tetapi dalam konteks Malaysia ia dirujuk kepada golongan berilmu berkaitan Islam.
“Jika diterjemahkan maka ia boleh dianggap sebagai pakar agama Islam. Belum ada piawaian khusus mengukur siapa yang dianggap ulama dan sebaliknya,” katanya.
Rahimi berkata, ulama mempunyai tanggungjawab besar terhadap ilmu yang mereka miliki.
Allah nyatakan dalam surah at-Taubah ayat 122 bahawa: “Hendaklah ada sekumpulan mereka keluar mendalami agama dan hendaklah memberi amaran kepada kaumnya apabila dia kembali kepada mereka.
“Allah gunakan perkataan (inzar bermaksud amaran) dalam ayat ini menunjukkan bahawa dalam situasi tertentu ulama perlu menggunakan pendekatan tegas dalam memberi peringatan kepada masyarakat walaupun pendekatan hikmah adalah keutamaan.
“Ulama berperanan penting dalam pembinaan masyarakat kerana sebagai umat Islam, agama perlu menjadi terma rujukan utama dalam segala tindakan yang diambil.
“Mereka perlu berperanan dalam menanam kesedaran, membina pengetahuan, memimpin penghayatan serta memantau pelaksanaan cara hidup umat agar sentiasa selaras dengan tuntutan agama,” katanya.
Beliau berkata golongan ulama perlu mempunyai pendirian dan jangan bersikap berkecuali namun pendirian mereka mestilah bersandarkan ilmu agama yang di miliki.
“Masyarakat salah faham berkenaan politik kerana mereka melihat berpolitik bererti menyertai parti politik. Saya berpendapat ulama perlu berpolitik tetapi tidak terpesong daripada landasan agama.
“Lebih baik jika mereka tidak menonjolkan ‘warna tertentu’ agar teguran mereka akan didengar semua pihak tanpa prejudis.
“Jika mereka terbabit dengan parti tertentu, suara mereka lebih didengari pengikut parti berkenaan saja,” katanya.
Rahimi berkata tidak salah menyertai parti politik tetapi mereka mesti bertanggungjawab terhadap kefahaman agama yang mereka miliki.
“Jangan berparti sekadar untuk mendapat manfaat peribadi kerana ia bertentangan dengan tanggungjawab mereka terhadap ilmu yang dimiliki,” katanya.
Beliau berkata, tohmahan terhadap golongan ulama akan timbul jika perjuangan menyebar serta menegakkan ajaran agama dicemari dengan kepentingan peribadi termasuk kebendaan, pangkat, kedudukan, dan penghormatan.
“Justeru, pastikan perjuangan mereka menjunjung kebenaran daripada Allah,” katanya.