1. Dewan Rakyat sudah tamat persidangannya pada petang semalam setelah 30 hari bersidang bermula 15 Oktober sehingga 11 Disember 2018.
Antara agenda utama persidangan ini ialah perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 dan Belanjawan 2019.
2. Selain itu, terdapat 16 Rang Undang-Undang yang sudah dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan.
Senarai RUU tersebut adalah seperti berikut;
a) D.R.18/2018- RUU Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2018
b) D.R.19/2018- RUU Sewa Beli (Pindaan) 2018
c) D.R.20/2018- RUU Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2018
d) D.R.21/2018- RUU Perbekalan 2019
e) D.R.22/2018- RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2018
f) D.R.23/2018- RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2018
g) D.R.24/2018- RUU Kewangan 2018
h) D.R.25/2018- RUU Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018
i) D.R.26/2018- RUU Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2018
j) D.R.27/2018- RUU Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) 2018
k) D.R.28/2018- RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2018
l) D.R.29/2018- RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2018
m) D.R.30/2018- RUU Kastam (Pindaan) (No.2) 2018
n) D.R.31/2018- RUU Eksais (Pindaan) 2018
o) D.R.32/2018- RUU Maktab Kerjasama (Pemerbadanan) (Pindaan) 2018
p) D.R.34/2018- RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018
3) Para Ahli Parlimen PAS seramai 18 orang terlibat aktif dalam sesi soalan jawab lisan dan perbahasan.
Kesemua ucapan mereka ini boleh ditonton rakaman videonya yang sudah diarkibkan di Facebook TV PAS.
Walaupun ada pihak yang tidak habis-habis menjaja fitnah kononnya PAS kini hanya tinggal golongan Tok Lebai yang sekadar menjadi pasu bunga di dalam Dewan.
Namun, pada hakikat sebenarnya terbukti Ahli Parlimen PAS antara yang aktif dan lantang bersuara membawa isu rakyat ke dalam Dewan.
4) Mungkin ramai yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, YB Lim Kit Siang pemimpin pujaan PAN telah gagal berfungsi di dalam Parlimen sekarang semenjak PH berkuasa.
Pada sidang kali ini, dia tidak pernah pun kelihatan berdiri mengemukakan soalan dan dia juga tidak berbahas apa-apa di dalam Dewan.
Dia lebih sibuk menulis menghentam Tuan Guru Presiden PAS di blognya tetapi diam menyepi di dalam Dewan.
Dalam keadaan juak PH menuduh Tok Guru kaki ponteng dewan tetapi hakikatnya Tok Guru ada berbahas Kajian Separuh Penggal RMK 11 dan Belanjawan 2019.
Tidak kedengaran pula kita mendengar orang menuduh YB Lim Kit Siang makan gaji buta bukan?
Mereka ini terlupa kata pepatah, "gajah depan mata tak nampak, kuman di seberang lautan nampak.
Apa jua yang melibatkan Tuan Guru Presiden PAS diperbesar, direka dan dihalalkan fitnah.
Apa jua yang melibatkan pemimpin PH disuci lagi dimurnikan.
5) Pada penghujung Sidang Dewan Rakyat, janji Kerajaan PH mahu membentangkan Kertas Putih Felda. Namun, kelihatannya tidak ada pula ia dibentangkan.
Yang tiba-tiba muncul pada hari-hari akhir sidang ialah Laporan Kewangan Tabung Haji.
Namun, agak mendukacitakan kita kerana laporan Tabung Haji tersebut hanya sekadar diletak di atas meja Ahli Parlimen.
Tidak ada ruang dan masa khusus yang diperuntukkan kepada Ahli Parlimen untuk membahaskan isu besar yang melibatkan institusi ummat Islam ini.
Menteri Agama pula hanya mengumumkan isu Tabung Haji ini melalui sidang media di luar Dewan.
6) Agak aneh sekali apabila isu Tabung Haji ini yang dikatakan bermasalah tetapi juak PH begitu galak menyerang PAS.
Sindrom penyakit apa yang mereka sedang hidapi sebenarnya?
Yang bermasalah ialah pihak pengurusan 1 MDB, Felda, Tabung Haji tetapi PAS pula yang diserang kerana kononnya mempertahankan salahlaku yang berlaku.
Di celah mana pula PAS mempertahankan rasuah dan salahlaku?
PAS hanya menuntut sebarang siasatan dan tindakan yang dibuat mestilah secara adil dan telus bukannya bersifat balas dendam.
Pendirian PAS ini konsisten semenjak zaman BN berkuasa lagi sehinggalah sekarang.
Mereka ini siang-malam menuduh PAS bermacam-macam sehingga tanpa sedar mereka membutakan mata, memekakkan telinga dan mengunci lidah mereka dalam hal 'pesta lompat katak' yang masih meriah berlangsung sekarang lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh ini.
7) Tidakkah ada perasaan malu walau sekelumit dalam Kerajaan PH sekarang?
Dahulunya, mereka juga yang berdegar-degar menentang perbuatan melompat parti.
Tapi, sekarang mereka pula menjulang tinggi bagaikan menyambut pahlawan yang melompat keluar daripada UMNO-BN yang mereka lawan pada PRU 13.
Adakah Kerajaan PH mahu berbangga sekarang kerana sudah hampir mencapai majoriti 2/3 Dewan dengan hasil pesta melompat?
Adakah Kerajaan PH berbangga apabila Pembangkang mahu dilenyapkan terus daripada Dewan Parlimen.
8) Sesungguhnya, walau apa jua senario politik yang berlaku saya yakin dan percaya bahawa para Ahli Parlimen dan ADUN PAS yang ada sekarang tetap setia dengan bahtera PAS.
Sepertimana yang sering diulang sebut oleh Tuan Guru Presiden PAS bahawa matlamat PAS ialah bukannya merebut kuasa tetapi yang lebih utama ialah bagaimana mahu mengisi kemenangan dengan memanfaatkannya untuk Islam?
Apa guna menang kerusi banyak-banyak, berada dalam Kerajaan tetapi hanya mampu menjadi pak turut dan diam membisu sahaja.
PAS berdiri teguh laksana pokok yang berakar tunjang. Seandainya dicantas dahannya nescaya akan tumbuh lagi tunas baru.
UMNO sedang dilanda krisis yang begitu teruk bagaikan kapal besar yang sedang menanti masa untuk karam di dasar lautan.
Tidak kurang dalam kalangan mereka yang sedang mencari tempat berpaut yang baru kerana sudah terbiasa dengan nikmat kemenangan dan kesenangan.
Mereka tidak biasa dengan kekalahan dan kesusahan.
9. PAS mendewasakan dirinya dengan menghadapi ujian jatuh-bangun, pengalaman rebah dan bangkit semula.
Walau dihina, diperlekeh, diperli dan dikeji, PAS senantiasa tetap setia menjadi Pembangkang yang berperanan menegur Kerajaan sepertimana dalam sistem demokrasi berparlimen.
Tugas murni ini digalas oleh PAS semenjak tahun 1951 lagi.
Hanya sekali sahaja PAS berada di dalam Kerajaan BN iaitu pada tahun 1974.
Selebihnya, usia PAS banyak berperanan sebagai Pembangkang.
10. PAS tidak mahu menang ke?
PAS tidak terliur ke dengan Putrajaya?
InsyaAllah, kita tetap yakin dengan janji Allah.
Pasti akan tiba masanya kemenangan akan diperolehi apabila cukup syaratnya.
Tugas kita bukannya bertanya bila mahu menang?
Tugas kita ialah apa usaha yang boleh kita sama-sama buat untuk merealisasikan kemenangan?
Catatan oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
12 Disember 2018