BALIK PULAU: Pemimpin DAP kini lebih mirip terserlah berpewatakan seperti penjajah, bukannya menjadi peneraju pemerintah, demikian bidas Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.
Menurutnya, setelah DAP menang banyak kerusi pilihan raya dan para pemimpinnya membarisi kerajaan, mereka akhirnya menunjukkan taring dan belang sebenar hingga ramai mulai kenal serta menilai watak disembunyikan selama ini.
"Tapi kami kebanyakan pemimpin dan ahli PAS di Pulau Pinang khususnya telah lama kenal siapa Lim Guan Eng serta beberapa pemimpin DAP lain. Kami telah lama berdepan langsung dengan sikap keras kepala dan angkuh mereka.
"Hari ini, saat mereka ada kuasa dan punya kedudukan dalam kerajaan, mereka menunjukkan sifat diri yang sebenar. Saling tak tumpah macam penjajah zaman dulu-dulu. Berwatak besar diri, elit dan merendah-rendahkan pihak lain.
"Sesuka hati saja mereka mahu ambil tindakan pada siapa. Mengata dan menuduh pada sesiapa. Hingga tahap melampau dan kurang ajar, mereka berani bertindak memperlekeh, menghina dan mencabar perkara-perkara sensitif.
"Raja-raja Melayu, hak Bumiputera, Bahasa Kebangsaan, hatta agama Islam boleh dipermain, digugat dan disinggung. Mereka tanpa rasa bersalah," kemukanya ketika ditemui di Pondok Upih, di sini semalam.
Jelas beliau, semua perlakuan sedang dibuat dan ditunjukkan para pemimpin DAP kini mengesahkan kecurigaan dan kewaspadaan PAS terhadap mereka selama ini yang semata-mata punya agenda politik dan kepentingan tersirat.
Tambah Ustaz Fauzi, dengan jawatan serta kedudukan kerajaan dan kuasa ketika ini juga DAP sebenarnya menyuntik dendam ke atas lawan politiknya, termasuk melakukan penindasan secara tidak langsung terhadap hak rakyat.
"Sebab itu mereka selayaknya dipanggil penjajah, bukan pemerintah. Lihat, sedikit demi sedikit misalnya projek pembangunan ke negeri-negeri majoriti Melayu Islam dibatalkan. Pembinaan masjid-masjid dibatalkan.
"Projek ECRL mahu dihentikan. Sepatutnya PTMP itu yang kena 'stop'! Jelas sudah insiden dari projek PTMP merosakkan muka bumi Pulau Pinang dan ada nyawa terbunuh. Ada bukti implikasi negatif.
"Tetapi kenapa ECRL mahu dibatalkan? Sebab akan beri manfaat ke negeri Pantai Timur yang ramai orang Melayu Islam. Tapi peruntukan untuk mereka, program-program mereka dibesarkan," kemuka beliau.
Ustaz Fauzi memberi contoh pesta arak Oktoberfest yang dianjurkan untuk menunjuk-nunjuk kejayaan penjajahan mereka serta mencabar umat Islam khususnya dengan dakyah kekejian dan kejahatan.
Tempelak beliau, mereka memuja-muja pesta dan acara yang tidak sewajarnya itu, sedangkan di bawah pemerintahan DAP di Pulau Pinang kedai arak dan premis maksiat lainnya tumbuh bagai cendawan selepas hujan.
- HARAKAHDAILY 2/11/2018