Akhir-akhir ini semakin meningkat kesedaran dalam kalangan masyarakat akan wujudnya hubungan parti-parti politik tempatan dengan badan-badan pelobi dari pihak asing. Inilah realiti politik yang perlu disedari, bahawa parti-parti politik sememangnya terdedah dengan unsur-unsur tersebut.
⚫ Intelijen Yang Lunak.
Kita jangan menganggap, kononnya operasi intelijen ke dalam parti-parti politik hanyalah seperti karektor mata-mata yang sentiasa mengintip dan melakukan tindakan subversif. Sebaliknya hari ini ia dilakukan dengan penuh profesional. Isu yang hangat baru-baru ini berkenaan penglibatan NED dengan parti-parti politik, menjelaskan kepada kita bahawa agenda tersebut adalah sebahagian dari operasi intelijen. NED sendiri muncul hasil dari cadangan CIA untuk menjayakan operasi intelijen secara terbuka dan berhubungan secara profesional.
Sudah pasti pihak intelijen telah mengkaji kecenderungan-kecenderungan psikologi politikus yang telah dijadikan sasaran, supaya dapat ditundukkan lalu mengikut apa yang telah diplotkan.
⚫ Kaedah Yang Digunakan.
Strategi yang digunakan adalah, mendekati pimpinan-pimpinan parti politik dengan pelbagai cara. Antaranya dengan tawaran dana, sokongan strategik dan latihan. Demikian merupakan daya tarikan yang efektif boleh mendekatkan diri mereka dengan politikus yang disasarkan. Apatah lagi jika latihan-latihan yang ditawarkan dibuat di luar negara secara percuma, sudah cukup menarik minat politikus yang gelojoh.
Badan-badan intelijen yang berselindung di sebalik imej badan-badan perunding politik menyalurkan maklumat-maklumat & diskusi strategi yang dilihat komited dan tulus mahu membantu parti politik yang ingin dipengaruhi. Itu semua demi mendapatkan kepercayaan politikus-politikus bodoh. Sememangnya mereka akan berkongsi maklumat-maklumat yang kelihatan berharga untuk memancing politikus agar memuntahkan maklumat lain yang lebih sulit.
Perlu diingat, bukan semua maklumat mereka kongsikan. Namun seringkali keterujaan menyebabkan seseorang politikus hilang pertimbangan rasional. Selepas mereka berhasil mendapat kepercayaan politikus yang disasarkan, maka idea-idea dan dorongan langkah strategi disuap dengan halus. Secara tidak langsung, parti yang sedang mereka kuasai mula mengikuti pemetaan plot yang telah ditentukan.
Kadang-kadang mereka diberi tempat untuk mengeluarkan idea secara terbuka oleh forum-forum anjuran parti politik. Dari itu, mereka memperolehi pentas untuk mengemukakan idea-idea halus mereka secara lebih terbuka. Anggota-anggota parti politik secara bulat-bulat menerima pandangan mereka. Inilah hasil dari kejayaan menjinakkan pemimpin-pemimpin parti politik lalu mereka meraih kepercayaan anggota-anggota yang lainnya.
⚫ Kesan Negatif.
Apabila hubungan antara pelobi politik dan politikus semakin intim, pandangan dari pelobi lebih diutamakan berbanding padangan dari pengikut-pengikut mereka sendiri. Di samping ketagih menikmati sogokan, keghairahan politikus-politikus terhasil kerana badan-badan pelobi tersebut menjanjikan harapan jika buat seperti yang dicadangkan, pasti berjaya dan mesti menang.
Lama kelamaan, pelobi-pelobi tersebut berjaya merombak pendekatan bahkan mengubah dasar yang selama ini dipertahankan oleh sesebuah parti politik. Itu semua dilangsungkan dengan kaedah yang cukup lunak. Maka jadilah parti-parti politik yang berada di bawah pengaruh pelobi-pelobi asing sebagai bidak catur. Mereka dikawal tanpa jatidiri, dijajah secara halus.
⚫ Politikus Yang Berpotensi Dikeldaikan.
Dalam buku 'Rethinking Political Islam', Peter Mandaville telah memperakui akan kejayaan Amerika dengan mempengaruhi kumpulan-kumpulan Islam dalam rangka menghasilkan fatamorgana Arab Spring. Badan-badan seperti US Agency for International Development (USAID), National Endowment for Democracy (NED), Carnegie Endowment for International Peace, Project on Middle East Democracy (POMED) dan Center for the Study of Islam and Democracy (CSID) berperanan penuh mempengaruhi senario ketika itu. Sebagai contoh segelintir pucuk pimpinan parti Ennahda Tunisia kerap berkunjung dan bermesyuarat dengan jabatan kerajaan Amerika di Washington sebelum tercetusnya Arab Spring.
Jika dilihat, permainan ini senang memerangkap politikus yang kebulur duit dan bersikap pragmatis dalam mencapai cita-cita politik mereka. Yang lebih malang, politikus seperti ini menganggap kononnya mereka bijak menggunakan badan-badan intelijen demi kepentingan mereka. Sedangkan hakikatnya mereka yang menjadi keldai.
⚫ Belajarlah Dari Sejarah.
Allah memulakan kisah sejarah manusia, dengan penceritaan terpedayanya Nabi Adam mendengar bisikan dari syaitan. Syaitan kelihatan cukup tulus membentangkan cadangan agar Nabi Adam memakan buah larangan. Hasutan syaitan diungkapkan dengan gaya bahasa yang kedengaran cukup jujur tanpa ada apa-apa kepentingan. Kononnya buah larangan tersebut boleh membuatkan Nabi Adam kekal dominan dan tidak mati. Allah berfirman:
وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ • فَدَلَّاهُمَا بِغُرُور
"Dan (syaitan) bersumpah kepada mereka berdua (Adam & Hawwa), sesungguhnya aku bagi kalian adalah penasihat. Maka syaitan mendorong keduanya dengan tipu daya" - al-A'raf 21-22.
Kisah ini cukup penting untuk menyedarkan kita bahawa musuh mahir menggunakan dorongan-dorongan yang lunak untuk mencapai tujuan jahat mereka. Mereka tidak menggunakan kaedah konfrontasi. Terlalu banyak sejarah kejatuhan-kejatuhan empayar terdahulu yang ranap kerana serangan-serangan halus yang menyelinap masuk ke dalam organ ketumbukan tentera yang zahirnya kelihatan kuat.
⚫ Rasional.
Parti-parti politik perlu berfikir secara rasional, mengapa pihak asing kelihatan bersungguh-sungguh menjalinkan hubungan dan menawarkan janji bulan bintang yang mengujakan. Mengapa mereka begitu bersungguh? Apa manfaatnya mereka menyibuk hal kita. Mustahil mereka buat semua itu secara percuma tanpa motif tertentu. Ya gaya mereka sangat lunak. Tetapi percayalah, pihak yang sama juga telah meranapkan negara-negara umat Islam. Pihak yang sama juga menyusun plot jahat untuk menceroboh ke dalam politik negara-negara yang mereka sasarkan untuk menjadi mangsa. Jangan mudah terpesona dengan kelunakan mereka.
Abdul Mu'izz Muhammad
10 Ogos 2018.