Jumaat, 15 Jun 2018

“LEBIH BAIK BUKAN ISLAM YANG BERAMANAH DARIPADA MUSLIM YANG KORUP" - Pernyataan yang perlu diluruskan

Pada pemerhatian saya, sejak pasca PRU14 pernyataan “lebih baik bukan islam yang beramanah daripada muslim yang korup” sering digunakan dalam kalangan netizen pro Pakatan Harapan (PH) di media sosial bagi mengabsahkan beberapa tindakan kerajaan melantik orang bukan Islam ke jawatan “sensitif” dalam kabinet dan terkini ialah jawatan Peguam Negara (AG).

Sebelum mereka perlu lebih jauh, saya ingin membuat sedikit muhasabah bahawa pernyataan demikian walaupun ada asas kebenarannya daripada segi prinsip keadilan Islam tetapi ia bukanlah suatu kaedah syarak, prinsip usul fiqh atau kaedah fiqh yang standard boleh digunakan secara meluas dalam menetapkan hukum.

Berdasarkan telaah saya, pernyataan itu mula menjadi popular dengan sedikit pindaan, sebenarnya berasal daripada penegasan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah (661-728 H) dalam kitab al-Hisbah. Beliau membicarakan tentang keadilan pegawai kerajaan seperti dalam nukilan berikut :

الجزاء في الدنيا متفق عليه أهل الأرض، فإن الناس لم يتنازعوا في أن عاقبة الظلم وخيمة، وعاقبة العدل كريمة، ولهذا يروى: "الله ينصر الدولة العادلة وإن كانت كافرة، ولا ينصر الدولة الظالمة وإن كانت مؤمنة"

“Balasan di dunia memang disepakati oleh semua manusia. Mereka tidak pernah berbalah betapa akibat kezaliman (yang dirasai) adalah teruk manakala akibat keadilan (yang diperolehi) adalah kemuliaan. Justeru itu, terdapat riwayat menyebut “Allah akan menolong negara yang adil walaupun kafir dan tidak akan membantu negara yang zalim walaupun mukmin (Islam)”

Kata-kata Ibn Taimiyyah itu betul dalam konteks kesejahteraan hidup rakyat di DUNIA berjaya dikecapi dalam negara bukan Islam jika menepati ciri-cirinya. Orang kafir yang baik juga berhak mendapat kesenangan dan keamanan di dunia ini jika mentadbir dengan baik. Hal ini turut dinyatakan dalam sebuah riwayat Muslim, Rasulullah SAW pernah bersabda :

إن الله لا يظلم مؤمنا حسنة، يعطى بها في الدنيا، ويجزى بها في الآخرة، وأما الكافر فيطعم بحسنات ما عمل بها لله في الدنيا، حتى إذا أفضى إلى الآخرة لم تكن له حسنة يجزى بها. رواه مسلم

“Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seorang mukmin walaupun untuk satu kebaikan. Dia akan memberikannya di dunia dan mengganjari kebaikan itu di akhirat. Manakala orang kafir, diberikan (kenikmatan) dengan pelbagai kebaikan yang dia buat di dunia ini demi Allah sehingga sampai ke akhirat kelak, tiadalah baginya ganjaran balasan nanti”.

Natijah daripada amalan keadilan, kebaikan dan perancangan kemas yang dilakukan oleh pemimpin kafir akan mendatangkan hasil positif kepada rakyat jelatanya kerana sunnatulLah terhadap alam adalah seperti itu. Manusia yang baik sentiasa disukai manusia tanpa mengira agama. Amru bin al-As, yang menjadi gabenor Mesir zaman Umar al-Khattab juga memahami hal yang sama.

ولما سمع عمرو بن العاص المستوردَ بن شدادَ يحدث عن النبي صلى الله عليه وسلم بقوله: تقوم الساعة والروم أكثر الناس. قال له عمرو: أبصر ما تقول؟ فقال المستورد: أقول ما سمعت من رسول الله صلى الله عليه وسلم. فقال عمرو: لئن قلت ذلك؛ إن فيهم لخصالا أربعا: إنهم لأحلم الناس عند فتنة، وأسرعهم إفاقة بعد مصيبة، وأوشكهم كرة بعد فرة، وخيرهم لمسكين ويتيم وضعيف، وخامسة حسنة جميلة وأمنعهم من ظلم الملوك. رواه مسلم.

Apabila beliau mendengar sebuah hadis daripada al-Mustawrid bin Syidad, bahawa Rasulullah SAW bersabda “Akan berlaku kiamat semasa rakyat Rom ramai”. Amru memohon penjelasan daripada kata-kata al-Mustawrid. Beliau menjawab itu hadis yang didengar daripada Rasulullah SAW. Kata Amru, jika kamu berkata demikian, (benarlah) kerana mereka (orang Rom) mengamalkan empat ciri iaitu golongan paling tenang ketika kekacauan, paling bingkas bangkit selepas bencana, paling pantas tegak selepas kekalahan, berbuat baik kepada orang miskin, anak yatim dan orang lemah. Ciri kelima yang baik cantik dan paling tegar menentang kezaliman raja”.

Amru mendedahkan beberapa faktor kekuatan kerajaan pimpinan Hercules, maharaja Rom sebagai motivasi kepada tentera Islam agar melakukan hal sama apatah lagi kemuliaan Islam dan janji Allah bakal menjadi ciri keenam yang melebihkan mereka daripada tentera Rom.

Kembali kepada kata-kata Ibn Taimiyyah itu, ia tidak lain kecuali suatu kritikan “keras” terhadap pemimpin kerajaan Mamlukiyyah yang lemah, zalim dan korup sehingga mudah dikalahkan tentera Tatar. Jatuh bangun ummah terletak pada tangan mereka. Apatah lagi zaman itu, negara-negara Islam menghadapi serangan tentera Salibiyyah (Perancis). Kejatuhan umat Islam adalah berpunca daripada kefasadan pemerintah Islam, yang menyebabkan kesengsaraan pada rakyat Damsyik.

Mentashihkan salahfaham!..

Di sini, saya menegaskan bahawa objektif pernyataan “Allah akan menolong negara yang adil walaupun kafir dan tidak akan membantu negara yang zalim walaupun mukmin (Islam)” merupakan satu muhasabah kepada umat Islam agar cakna tentang politik yang adil dan mempastikan pemerintah mereka dalam kalangan muslim yang tidak korup. Ia bukanlah sejauh seperti yang difahami oleh netizen hari ini dalam kata-kata mereka “bukan Islam yang amanah lebih baik daripada muslim yang korup)” sehingga membelakangkan calon muslim lain yang adil dan cekap.  Jika benar kepercayaan mereka, sudah tentu Ibn Taimiyyah akan mewar-warkan pernyataannya sebagai hujah untuk melakukan reformasi politik zaman beliau. Sedangkan realitinya kerajaan Mamlukiyyah terus diterajui oleh sultan dan pemempin beragama Islam.

Dengan rendah hati, saya ingin menegur para netizen agar berhati-hati.Pernyataan tersebut TIDAK SEWAJARNYA digroomed secara meluas dan “terbuka” kerana beberapa faktor :

i. Skop perbincangan kelayakan memimpin dalam hukum fiqh adalah dalam konteks pemimpin Islam, bukannya bukan Islam. Hal ini mencakupi hujah ayat 28 surah al-Qasas tentang sifat al-qawiyy al-amiin yang masih mengutamakan nilai iman dan taqwa.

ii. Percanggahannya dengan petunjuk (dalalah)  nas syarak yang lebih muhkam, qat’iy dan jelas yang mana menyeru umat Islam saling mendokong kepimpinan mereka antara satu sama lain.(Al-Anfal : 72 ; Al-Taubah : 71).

iii. Tidak sejajar dengan penglibatan bukan Islam pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan pemerintahan khulafa’ al-Rasyidin. Amalan itu berlaku dalam konteks kepakaran yang diperlukan dalam hal-hal baharu diterokai oleh kerajaan. Bukan Islam tidak diletakkan dalam kondisi sebagai ‘policy maker’ bersama pemimpin Islam lain.

iv. Perbezaan dalam sistem politik semasa. Memang orang bukan Islam diangkat ke jawatan besar pada zaman Umayyah dan Abbasiyyah. Namun dominasi khalifah dalam kerajaan bersifat mutlak dan perlantikan atau perlucutan jawatan mereka tertakluk sepenuhnya kepada beliau. Keadaan masa kini berbeza dengan sistem politik di zaman Umayyah dan Abbasiyyah berbentuk monarki, khalifah menjadi khalifah secara warisan dan jemaah menteri bukan dilantik oleh rakyat dalam PRU.

v. Nas-nas yang mengecam kezaliman perlu difahami dalam konteks yang betul. Iaitu arahan agar semua pemimpin dan umat Islam mengikut kapasiti tanggungjawab masing-masing bagi mempastikan pelbagai kemaslahatan rakyat terbela. Sekiranya mampu, rakyat wajib menggantikan pemimpin yang jahat, zalim dan fasiq dengan pemimpin lain yang baik, adil dan warak. Kemampuan tersebut perlu selari dengan ruang yang disediakan oleh sistem politik zaman sestiap zaman.

Akhirul kalam…

Kerajaan yang adil semestinya meletakkan semua manusia pada satu taraf sosial yang sama dalam bermuamalah (menguruskan kehidupan sosial), menyerahkan tugas dan jawatan kepada calon yang berkelayakan di samping tidak mengamalkan diskriminasi terhadap bangsa, keturunan, bahasa dan budaya tanpa pertimbangan sepatutnya. Perlantikan bukan Islam sebagai menteri kewangan dan peguam negara lebih tepat diletakkan dalam bidang kuasa SIASAH SYAR'IYYAH* Perdana Menteri. Wallahu a’lam.

Ruang lingkup keadilan sangat luas meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Kerajaan mesti bertindak dengan adil sama ada terhadap penyokong kerajaan dan juga pembangkang. Dalam menghadapi pembangkang, kerajaan tidak boleh menganiaya atau menafikan hak mereka, walaupun wujudnya permusuhan. Perbezaan pandangan itu tidak menjadi faktor kerajaan tidak berlaku adil kepada mereka. Kerajaan juga perlu menjamin keadilan dalam negara. Sebarang anasir berbentuk pemikiran, idea, tindakan dan kegiatan yang menyalahi prinsip keadilan seperti semangat perkauman, anti sesuatu bahasa dan membenci minoriti Islam tidak boleh diterima dan mesti dihapuskan.

Muhasabah INI TIDAK SAMA SEKALI bertujuan menentang setiap keputusan kerajaan. Ia tidak lebih daripada nasihat yang baik daripada rakyat marhaen. Mohon maaf jika berlaku khilaf kefahaman.

Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin

*Isu perlantikan bukan Islam dlm kerajaan telah saya bahaskan sebelum ini.