Rabu, 18 April 2018

Ungkapan kata-kata manis yang meracunkan

SAYA menarik perhatian terhadap bantahan yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh ilmuan dan masyarakat terhadap kenyataan yang terkandung di dalam hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul yang berbunyi seperti berikut:

“Dahulu kita telah membebaskan diri kita dari pemerintahan penjajah; sekarang kita sedang bertungkus-lumus untuk membebaskan diri kita dari “kayu-kayu mati” yang menindas, melemahkan semangat, yang berbohong dengan diri mereka, bahawa mereka ‘mendahulukan rakyat’.”

“Tidak ada kerajaan dan pemerintahan yang bersih; tidak ada pilihan raya yang bersih; tidak ada institusi yang bersih; tidak ada penguatkuasa undang-undang yang bersih; tidak ada pengurusan kewangan dan sumber yang bersih; tidak ada pemimpin bersih yang boleh dipercayai.”

“Perhatikan peningkatan rasuah dan skandal; Institusi-institusi yang gagal seperti kehakiman, SPRM, sistem pendidikan; pertambahan hutang-hutang asing; ahli-ahli politik pemecah-belah; dan lain-lain.”

Hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul ini dan satu lagi hebahan rasmi, iaitu Bishop’s Circular No: BP/2018/014 yang mengarahkan semua “Parishes and religious houses” untuk berdoa supaya Tuhan campur tangan dan berlaku perubahan dalam PRU-14, adalah bagi menggesa penganut agama Kristian supaya menukar kerajaan dalam PRU-14.

Imam Ali bin Abi Talib R.A pernah menegaskan:

كلمة حق أريد بها باطل

“Ucapan pada zahirnya satu kebenaran, padahal tujuannya kebatilan dan kejahatan.”

Mereka sebenarnya termasuk bala tentera penjajah yang dilatih bagi mengekalkan teori atau ideologi sekularisma yang dianut oleh penjajah itu mengikut kitab Bible yang menjadi rujukan dan pegangan mereka.

Give to Caesar that belongs to Caesar; and to God the things that are God’s” (Matthew 22:21)

Then Jesus said to them, "Give back to Caesar what is Caesar's and to God what is God's." And they were amazed at him. (Mark 12:17)

Kesimpulan maksudnya: “Berikanlah kepada Kaisar apa yang milik Kaisar dan kepada Allah apa yang milik Allah”.

Al-Quran yang mewajibkan umatnya beriman kepada Nabi Isa A.S, Rasul Allah dan Hamba-Nya serta beriman kepada kitab Injil yang asal menegaskan firman Allah:

وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ (48) وَرَسُولًا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنِّي قَدْ جِئْتُكُمْ بِآيَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ أَنِّي أَخْلُقُ لَكُمْ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ فَأَنْفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ وَأُحْيِ الْمَوْتَى بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (49) وَمُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَلِأُحِلَّ لَكُمْ بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ وَجِئْتُكُمْ بِآيَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ (50) إِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ (51)} [آل عمران: 48 – 51[

“Kami kurniakan ilmu kepadanya (Isa A.S) berkenaan kitab, kebijaksanaan, Kitab Taurat dan Injil (48). Dan kami lantik Dia menjadi Rasul (messenger) kepada Bani Israel. Sesungguhnya Aku (Isa A.S) berkata; Aku tunjukkan untuk kamu (mukjizat) patung burung daripada tanah, aku tiupkan padanya, menjadi burung yang sebenar (berterbang) dengan izin Allah, Aku juga menyembuhkan orang yang berpenyakit kronik buta, dan sopak dan hidupkan orang yang telah mati dengan izin Allah, aku beritahu apa yang kamu makan dan yang kamu simpan sembunyi di rumah kamu. Itu menjadi tanda (mukjizat) untuk kamu supaya kamu beriman. (49) Supaya kamu juga percaya kepada Kitab Taurat (perjanjian lama) dan supaya aku halalkan kepada kamu sebahagian daripada yang pernah diharamkan terhadap kamu. Aku bawakan kepada kamu ayat (tanda bukti) daripada Tuhan Kamu. Maka bertaqwalah kepada Allah dan taatilah kepadanya. (50) Sesungguhnya Allah sahaja Tuhan kamu, Beribadat kepadanya sahaja. Inilah jalan yang betul (51).” (Surah Ali-Imran: 48-51)

Parti-parti sekular dilindungi oleh gereja yang meneruskan warisan penjajah itu. Menterjemahkan Islam daripada perkataan ‘religion’ bukannya ‘Al-Din’ mengikut bahasa Al-Quran. Malangnya ada kalangan mereka menjadi ahli Zionis (Pertubuhan Yahudi) yang mereka percaya membunuh dan mensalibkan Nabi Isa A.S. Adapun kami umat Islam percaya Nabi Isa tidak disalib, bahkan Isa akan kembali di akhir zaman menyatukan umat Kristian kembali bersama umat Islam.

Saya tercium betapa DAP mendapat bayangan kalangan mereka itu, menjadikannya sangat galak berjuang merobek Perlembagaan Persekutuan, mendesak supaya merendahkan kedudukan Islam dan melemahkan Institusi Raja-Raja Berperlembagaan secara senyap dan sindiran. Mereka bergabung dengan golongan anti hadis dan liberal. Kalangan ahli politik yang mencari jalan pintas bergayut bersama, sama ada kalangan umat Islam yang bebal sepak terajang politik atau yang buta politik, dan juga kalangan bukan Islam.

Islam meletakkan para paderi yang tidak bermusuh terhadap Islam. Al-Quran menunjukkan betapa kasih sayang terhadap para paderi yang dirakamkan dalam Firman Allah:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ [المائدة: 82[

“Kamu pasti mendapati kalangan paling bermusuh terhadap orang-orang yang beriman itu ialah orang Yahudi dan Musyrikin. Dan kamu dapati yang paling dekat dan mengasihi orang-orang yang beriman itu daripada kalangan yang berkata kami adalah orang-orang Nasora (Kristian). Mereka itu terdiri daripada kalangan para paderi dan pendita dan mereka tidak takabur (sombong).” (Surah Al-Maidah: 82)

Islam yang sebenar berjaya membuktikan kerajaan yang bersih, adil dan rahmat. Apa yang berlaku kini bukannya model Islam yang sebenar. Walaupun sudah ada undang-undang menentang rasuah dan salah laku tetapi dihilangkan roh Islamnya kerana pemisahan politik daripada agama.

Mereka terus mempertahankan prinsip dan konsep ideologi penjajah itu, contohnya direalisasikan penentangannya terhadap RUU 355 kerana tujuannya memperkenalkan sedikit hukum Islam yang berbeza dengan undang-undang warisan penjajah dalam hanya hukuman sebatan yang sama sebutannya, tetapi berbeza konsep dan caranya. Walaupun dalam perkara yang berkait umat Islam tanpa menyentuh penganut bukan Islam, tetapi mereka menentang juga dengan berbagai helah dan mempengaruhi penganut Islam dan mengugut kalangan bukan Islam yang terus menghormati hubungan masyarakat majmuk.

Kami dapat membaca yang tersirat daripada kenyataannya bagi meminggirkan Islam daripada Perlembagaan dan memperkecilkan Raja-raja yang menjadi Ketua Agama yang dibandingkan seperti kayu-kayu mati. Padahal mereka yang mengerat akarnya supaya mati, bukannya ditukar bajanya daripada baja ciptaan penjajah kepada baja Islam.

Kalau para ulama PAS yang berjubah dan berserban turun ke medan bertanding pilihan raya menjadi calon, maka saya juga mencabar supaya mereka itu terjun ke medan politik bersama parti yang dipilihnya tanpa mencabut jubah paderi yang dipakai itu.

Cukuplah jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen yang terdekat menegaskan, bahawa hanya pemimpin PAS yang tidak disoal siasat oleh SPRM. Bukan PAS mahu mengangkat diri sendiri kerana dilarang oleh Islam, tetapi pihak lain yang memberi jawapan. Rahsianya kerana Islam menjadi akidah perjuangan yang meletakkan politik menjadi sebahagian daripada agama.

Kisah benar dalam sejarah Islam, apabila seorang wanita penjual susu di zaman Khalifah Umar R.A meletakkan air ke dalam susu di waktu malam untuk dijual di pasar besoknya. Tiba-tiba anak gadisnya menegur: “Ibu jangan menipu!”. Ibunya menjawab: “Khalifah Umar tidak tahu!”. Maksudnya ketua negara yang menguatkuasakan undang-undang tidak tahu kerana dilakukan waktu malam, penguatkuasa sedang tidur. Si anak gadis menjawab: “Walaupun Umar tidak tahu, tetapi Tuhan Umar Maha Mengetahui”.

Khalifah Umar yang mengintip terus menandakan rumah itu. Tiba-tiba gadis yang beriman dan budiman itu dipinangkan untuk puteranya. Ya! anak ketua negara berkahwin anak penjual susu yang miskin. Keberkatannya melahirkan zuriat seorang bernama Umar bin Abdul Aziz yang pernah menjadi idola Ketua Menteri Pulau Pinang dahulunya.

Rahsianya apabila Islam meletakkan semua urusan manusia termasuk memerintah negara dan politik berwawasan Akhirat mengikut perhitungan dosa dan pahala atau syurga dan neraka.

Maka usaha meminggirkan Islam daripada Perlembagaan Persekutuan, melemahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, melumpuhkan atau membatalkan institusi yang berkaitan dengan Islam hendaklah ditentang habis-habisan. Tegasnya wajib menolak parti-parti yang berhasrat demikian, kalangan bukan Islam berbagai agama juga wajib menolak langkah yang mahu mengekalkan agenda penjajah yang telah kita sama-sama menghalaunya.

Semua kaum dan penganut berbagai agama dalam masyarakat majmuk memilih demokrasi sama ada parti-parti dalam Perikatan dahulu (Umno, MCA, MIC, USNO, PBB dan lain lain) termasuk PAS yang terus rela menjadi pembangkang menerima Perlembagaan Persekutuan yang ada berteraskan Islam Agama Persekutuan dan hak kebebasan kepada agama-agama lain, serta Raja Berperlembagaan bersama sistem demokrasi yang damai. Semuanya mengetahui masih banyak kelemahannya yang wajib diubah secara merdeka daripada saki baki pemikiran penjajah dan pengaruhnya.

PAS berjuang secara damai memilih pendekatan demokratik melakukan perubahan yang sangat menghormati hubungan masyarakat majmuk walaupun sekadar berkuasa khususnya di peringkat negeri Kelantan, paling lama penuh sabar menghadapi tekanan dan kepungan dengan mengutamakan hubungan dalam konsep federalisma yang lebih diutamakan daripada kepentingan negeri dan satu kaum dan satu agama sahaja tanpa paksaan terhadap bukan Islam.

Maka PAS menentang sekeras-kerasnya terhadap kalangan yang merungkai Perlembagaan yang merosakkan, bukan penambahbaikan. Lebih membahayakan lagi kalangan yang menjadi jentera penjajah yang menjadikan Islam sebagai musuh sehingga boleh mengancam kedaulatan negara.

PAS tetap beristiqamah di atas dasar dan konsep tersebut walaupun menang atau kalah sehingga laksana burung yang bertongkat paruh sehingga akhir hayat.

Firman Allah:

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ ۖ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنزِلَ إِلَيْنَا وَأُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (46(

“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri". (Surah Al-Ankabut: 46)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Rejab 1439 / 16 April 2018 - HARAKAHDAILY 16/4/2018

_AC_