Khamis, 5 April 2018

Tun sahkan Islam beliau memang tidak betul

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

KE hadapan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir, membaca tulisan terbaru Tun bertajuk “Islam Saya” yang menjawab tulisan saya bertajuk “Pemikiran Islam Yang Tidak Betul Sebab Terbesar Tun Dr Mahathir Tidak Layak Jadi Perdana Menteri” mengesahkan lagi betapa tidak betulnya pemikiran Islam Tun.

Untuk makluman Tun, soal pemikiran Islam tidak betul Tun yang mengutamakan akal fikiran ini bukan sahaja dinyatakan oleh Almarhum Datuk Dr Harun Din malah oleh ramai lagi agamawan tanah air, termasuk mereka yang sekarang berada di keliling Tun.

Memang betul al-Quran menyebut berkali-kali akan mustahaknya mengguna akal fikiran dan tidak disebut dalam al-Quran larangan berfikir dan terima sahaja semua pendapat dari pakar Islam, tetapi mengguna akal fikiran ini ada kaedahnya di dalam Islam.

Akal sebagai antara sumber ilmu memang diakui tetapi, seperti disebut oleh Imam as-Syafi’ie; “Sesungguhnya akal mempunyai batasan yang menjadi penghujung kemampuannya sebagaimana penglihatan mempunyai batasan yang menjadi penghujung pandangannya”.

Tun sendiri pernah menyebut, di dalam ucapan Tun di The Oxford Centre For Islamic Studies pada 16 April 1996 mengenai “di mana Quran atau Hadis tidak jelas, sarjana boleh memberikan pandangan atau ijtihad, mengguna kemampuan berfikir”.

Di dalam ucapan Tun yang tidak diketahui siapa penulisnya ini Tun mengakui bahawa ilmu yang berteraskan wahyu adalah lebih tinggi dari ilmu yang berteraskan akal, di mana bila ada dalil qat’ie atau jelas di dalam Quran atau Hadis maka akal tidak boleh diguna.

Bukan sebarang orang yang boleh berijtihad kerana ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti menguasai Bahasa Arab, mempunyai pengetahuan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, mempunyai pengetahuan mengenai ilmu Usul al-Fiqh serta ijma’ dan khilaf.

Masalah Tun ialah Tun suka mempertikaikan, dengan mengguna akal fikiran, perkara-perkara yang sudah ada dalil qat’ie atau jelas di dalam Quran atau Hadis seperti pensyariatan Hudud dengan menyebut, pada 26 Februari 2012, “Hudud tidak terdapat dalam al-Quran”.

Bukan setakat Tun sahaja, malah anak Tun sendiri, iaitu Datuk Paduka Marina, juga menyebut perkara sama sebelum ini, termasuk di dalam akhbar The Star pada 18 Julai 2012 bahawa kononnya “None of the so-called Hudud punishments can be found in the Quran”.

Jika Tun dan Datuk Paduka Marina membaca al-Quran dengan betul maka sudah pasti akan didapati bahawa istilah 'Hudud' terdapat dalam al-Quran, antara lainnya di dalam ayat 187 dan 229 Surah al-Baqarah, ayat 13 dan 14 Surah al-Nisa’ serta ayat 1 Surah al-Talaq.

Jika al-Quran dibaca dengan betul maka sudah pasti akan didapati bahawa hukum Hudud terdapat dalam al-Quran, antara lainnya di dalam ayat 38 Surah al-Ma’idah (curi), ayat 33 Surah al-Ma’idah (hirabah), ayat 3 Surah al-Nur (zina) dan ayat 4 Surah al-Nur (qazaf).

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata di dalam portal berita Malaysia Kini pada 23 Ogos 2012 bahawa “orang yang menentang hukum yang ada di dalam al-Quran, dia terkeluar agama” dan “kalau pertikai Hudud itu sendiri, dia telah keluar agama”.

Begitu juga dengan Timbalan Penasihat Umum PAN, Abdul Ghani Samsudin, yang menyebut, pada 3 Januari 2013, bahawa kenyataan Tun bersabit “Hudud tiada dalam al-Quran” adalah “kenyataan salah yang perlu ditarik balik dan menggugat akidah umat Islam”.

Masalah Tun ialah Tun mempunyai kefahaman salah mengenai perkara ini di mana, di dalam ucapan Tun di Al-Azhar University pada 10 Mei 1998, Tun menyebut kononnya “hanya jika ucapan dua kalimah syahadah ditolak barulah seseorang itu terkeluar dari agama Islam”.

Tun juga nyata tidak mampu memahami perkara asas di dalam Islam dengan menyebut “Hadis Nabi termasuk dalam bahagian sunnah dalam Islam. Mengamal sunnah adalah baik dan mendapat pahala untuk akhirat. Tetapi jika tidak mengamalnya tidak berdosa.”

Malah, perkara yang sama turut pernah Tun nyatakan pada 26 Februari 2014 di mana Tun menyebut: “Ada gesaan bahawa yang sunat itu wajib dan mesti diterima dan diamalkan... Hadis adalah sunnah Nabi. Saya ingin tahu sama ada Hadis wajib dan mesti diterima.”

Sedih sekali melihat Tun tidak tahu membezakan antara 'Sunat' sebagai salah satu daripada hukum syarak taklifiyang lima dengan 'Sunnah' yang menjadi sumber syariat yang paling utama selepas al-Quran yang jika ditolak boleh menyebabkan seseorang itu murtad. 

Masalah Tun juga ialah Tun suka mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum sedangkan aliran pemikiran liberal ini telah diputuskan sebagai sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 25-27 Julai 2006.

Hakikat bahawa Tun tidak memahami Islam jelas terlihat di dalam pengakuan Tun pada 23 Januari 2018 bahawa “sesungguhnya banyaklah perkara yang mengelirukan saya berkenaan agama Islam” dan “banyak lagi dari ajaran Islam dan amalannya yang mengeliru(kan) saya”.

Jika Tun memahami Islam sudah tentu Tun tidak akan mengakui bahawa banyak dari ajaran Islam dan amalannya yang mengeliru(kan) Tun dan sudah tentu Tun tidak akan bertanya “jika babi disembelih dengan menyebut nama Tuhan, haram lagikah daging babi itu?”.

Tun juga mempunyai kefahaman salah terhadap ajaran Islam di mana Tun menyebut, pada 6 Februari lalu, “bukan kita nak ambik semua (ajaran Islam) masuk” yang bercanggah dengan ayat 208 Surah al-Baqarah mengenai kewajiban menerima Islam secara keseluruhan.

Ia juga berbeza dari kehendak majoriti umat Islam, yang tertera di dalam kenyataan Almarhum Tan Sri Prof Dr Ahmad Ibrahim, bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada umat Islam untuk melaksanakan seluruh tuntutan agama mereka.

Perkara ini malah sering ditegaskan kembali oleh pelbagai pemimpin Islam lain seperti oleh Pengerusi Kanun PAN, Mohamed Hanipa Maidin, yang menulis pada 12 Jun 2007 bahawa Perkara 11 ini adalah merangkumi pengamalan agama Islam secara syumul.

Malah Mahkamah Persekutuan dalam kes Sulaiman Takrib [2008], Fathul Bari Mat Jahya dan Anor [2012] dan ZI Publications Sdn Bhd dan Anor [2015] juga telah memutuskan bahawa perintah agama Islam adalah luas, iaitu meliputi 'akidah', 'syariah' dan 'akhlak'.

Disebabkan kefahaman Islam yang tidak betul inilah maka Tun tegar menghalang perlaksanaan syariat Islam sedangkan dapatan kaji selidik Merdeka Center pada 12 hingga 21 April 2014 menunjukkan 71 peratus responden Melayu menyokong hukum Hudud.

Begitu juga dengan dapatan kaji selidik terbaru Wan Saiful Wan Jan, yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM, yang menunjukkan 90 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat peningkatan keagamaan adalah bagus.

Baik bila Tun mengakui bahawa “kuasa memelihara pada setiap masa agama Islam ada pada Yang di-Pertuan Agong” tetapi penegasan Tun bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat” bercanggah dengan kenyataan Tun sebelum ini.

Ini kerana, pada 20 Oktober 2015, Tun sendiri menegaskan: “Ianya benar bahawa Agong dan Raja-raja Melayu adalah Raja Berperlembagaan. Tetapi itu tidak bermakna bahawa mereka adalah pak turut semata-mata untuk mengesahkan semua tindakan Kerajaan.”

Penegasan Tun bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat” juga membawa kita kembali kepada poin asal saya iaitu tiadanya kefahaman Islam yang betul pada diri Tun menyebabkan Tun sangat tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Ini kerana ia tidak akan membolehkan ikrar untuk “memeliharakan pada setiap masa agama Islam” yang dilafazkan oleh Yang di-Pertuan Agong sekali gus bagi membolehkan peruntukan “Islam ialah agama bagi Persekutuan” dapat dilaksanakan dengan baik.

Kenyataan Tun bahawa “dalam al-Quran jika hukum sebat hendak dikenakan tentukan dahulu kesalahan” tidak memberikan apa-apa impak ke atas kenyataan Tun pada 19 Februari 2017 bahawa hukum sebat 100 kali dalam Islam akan menyebabkan kematian.

Kenyataan Tun mengenai hukum sebat ini malah diakui oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menunjukkan Tun mempunyai kefahaman salah terhadap ajaran Islam dengan berkata, pada 23 Februari 2017, bahawa ia “sama sekali salah dan tidak benar”.

Kenyataan Tun bahawa “Perdana Menteri diberi ramai penasihat, diantaranya ialah penasihat agama, bukan seorang tetapi ramai” tidak memberi apa-apa makna kerana selepas 22 tahun Tun menjadi Perdana Menteri pun mereka gagal mengubah pemikiran Islam Tun.

Saya hairan ke mana perginya ulama di dalam Pakatan Harapan (PH), bukan sahaja di dalam PPBM tetapi juga ulama di dalam PAN dan PKR, khususnya Ahmad Awang dan Dr Mohd Nor Monutty, sehingga langsung tidak berani menegur Tun di dalam soal ini.

Jika sewaktu Tun masih belum menjadi Perdana Menteri pun para ulama di sekeliling Tun di dalam PH sekarang sudah tidak berani menegur Tun di dalam soal ini, usah diharaplah mereka akan berani menegur Tun jika Tun menjadi Perdana Menteri nanti.

Kenyataan Tun bahawa bila saya menyoal kebetulan Islam Tun tentulah saya menganggap kebetulan Islam Datuk Seri Najib lebih betul dan beliau lebih layak jadi Perdana Menteri adalah tidak relevan kerana tulisan saya hanya membicarakan kelayakan Tun.

Saya tidak faham mengapa Tun terlalu defensif bila kelayakan Tun untuk menjadi Perdana Menteri dibicarakan dengan membandingkan kelayakan Tun dengan Datuk Seri Najib. Mengapa tidak dibandingkan dengan pemimpin PH lain atau PAS?

Walau apa sekalipun yang diperkatakan mengenai beliau, paling tidak Datuk Seri Najib tidak cuba berlagak pandai dengan membicarakan soal-soal agama di dalam cara yang boleh menyesatkan orang ramai seperti yang Tun didakwa lakukan oleh para agamawan.

Bila Tun tidak mengulas mengenai Manifesto PH langsung tidak menyebut sebarang komitmen untuk memartabatkan Islam sebagai agenda di dalam mana-mana satu daripada lima terasnya, 60 janjinya dan lima iltizam khususnya, ini bermakna ia betul. Semoga kita diberikan hidayah oleh Allah. - HARAKAHDAILY 2/4/2018

_AC_