PENDAHULUAN
Sejurus setelah Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, mengeluarkan fatwa berkenaan hukum asal mengundi calon bukan Islam di dalam pilihan raya adalah harus, cybertrooper Muslim daripada PAN dan PKR mula menudingkan jari dan menghalakan fatwa itu ditujukan kepada PAS.
PAS dilabelkan sebagai gagal memahami nas dalam kerangka Maqasid Syariah, berfikiran cetek, jumud dan tidak selari dengan fatwa mendalam yang dikeluarkan oleh SS Mufti Wilayah.
Semuanya kerana PAS telah memutuskan sebarang kerjasama dengan Parti DAP atau parti-parti yang ada hubungan kerjasama dengan DAP.
Sebenarnya fatwa itu bukan menyatakan wajib mengundi calon bukan Islam. Ia adalah harus dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi.
Menghuraikan salah faham
Salah faham ini berlaku kerana cybertrooper Muslim daripada PAN dan PKR beranggapan bahawa semua non-Muslim di negara kita adalah penyokong DAP.
DAP adalah non-Muslim. Dan non-Muslim adalah DAP. Inilah titik tolak kepada segala salah faham ini.
Sebenarnya, masyarakat bukan Islam di negara kita memilih pelbagai wadah politik bagi menyuarakan hak dan kehendak mereka. Bukan memilih DAP sahaja. Dan ada juga yang masuk PKR. Ramai juga yang lebih senang bergiat dalam NGO berbanding terlibat langsung dalam parti-parti politik. Ada juga yang bersikap tidak memihak.
Jika kita dapat memahami hakikat ini, mudahlah untuk kita faham bahawa PAS hanya memutuskan hubungannya dengan DAP. Bukan dengan keseluruhan masyarakat non-Muslim.
PAS menyatakan ia sedia bekerjasama dengan parti politik, NGO atau tokoh non-Muslim yang tidak bersama DAP dan tidak memusuhi agenda PAS memartabatkan perundangan syariat di negara kita.
Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)
Lebih daripada itu, PAS mempunyai sayap bukan Islamnya sendiri iaitu DHPP. Ahli-ahli Dewan ini adalah bukan Islam daripada pelbagai agama dan anutan. Tetapi mereka melihat penyelesaian secara Islam yang diterajui oleh PAS adalah amat tepat, bersesuaian dengan masyarakat majmuk dan sangat terbuka. Justeru memberi faedah dan manfaat kepada semua warganegara, sama ada Islam atau bukan Islam.
DHPP memberi penerangan kepada bukan Islam bahawa PAS tidak seperti Umno yang berteraskan ideologi berteraskan bangsa semata-mata, bahkan teras PAS adalah Islam. Islam pula adalah bersifat universal, tidak menzalimi dan adil untuk semua.
DHPP menerangkan aspek kebaikan perlaksanaan Hukum Hudud di Kelantan dan Terengganu. Betapa Hukum Hudud hanya terhad untuk orang Islam sahaja. Golongan bukan Islam pula tidak terlibat dengan perlaksanaan Hukum Hudud itu. Mereka bebas mengikut Undang-undang Jenayah sedia ada.
Dengan itu, bolehlah dikatakan bahawa anggota DHPP memenuhi semua syarat yang digariskan oleh SS Mufti Wilayah bagi mengharuskan mereka diundi di dalam sesebuah pilihan raya.
Oleh kerana itulah, Presiden PAS telah membayangkan kemungkinan meletakkan calon DHPP mewakili PAS di kawasan-kawasan yang sesuai.
Kenapa dulu PAS pernah bekerjasama dengan DAP?
Ya, dulu PAS pernah bekerjasama dengan DAP. Sebabnya PAS dan DAP sama-sama bersetuju menjatuhkan kerajaan BN yang penuh dengan skandal, penyelewengan dan salah guna kuasa. PAS dan DAP juga bersolidariti dengan DS Anwar Ibrahim yang dizalimi dan diaibkan dengan dahsyatnya oleh rejim Tun Mahathir.
Bahkan DAP juga bersetuju agar Hudud dilaksanakan di Kelantan dengan syarat ia tidak melibatkan bukan Islam. Dasar DAP ketika itu sehingga memberi peluang kepada pimpinan PAS untuk berdialog dengan golongan bukan Islam di dalam majlis-majlis anjuran mereka mengenai Qisas, Hudud dan Takzir.
Hubungan baik itu sehingga ada pimpinan DAP memetik ayat al-Quran dalam ceramah-ceramah umum mereka dan juga dalam ucapan mereka di Parlimen.
Apa masalah dengan DAP sekarang?
DAP pada hari ini sudah berubah. Mereka memusuhi PAS daripada segenap segi. Bahkan mereka memusuhi hak umat Islam untuk beramal dengan Syariat Islam sepenuhnya.
DAP beberapa kali memutuskan hubungan dengan PAS gara-gara dasar mereka yang berubah tentang Hukum Hudud. DAP Sarawak memutuskan hubungan dengan PAS ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak. Walaupun ketika itu PAS dan DAP masih sebagai komponen Pakatan Rakyat.
Ini disebabkan oleh kerana DAP bimbang kerjasama dengan PAS menyebabkan DAP bakal kehilangan undi di dalam pilihan raya itu, kerana musuh politiknya di Sarawak akan mengaitkan DAP dengan menyokong Hudud.
Agenda hukuman jenayah berkaitan Hudud, Qisas dan Takzir ditolak dengan bersungguh-sungguh oleh DAP. Sekejap kerana kerana mahu mengekalkan Malaysia yang 'Sekular' mengikut kefahaman mereka. Sekejap kerana 'kononnya' memperjuangkan hak golongan bukan Islam.
DAP juga bermati-matian tidak bersetuju dengan agenda PAS untuk memperkasakan Undang-undang dan Mahkamah Syariah melalui usul persendirian RUU355. Usul yang turut disokong oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Beberapa perubahan dasar DAP yang lain terhadap PAS
Selain Hudud, YAB Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP secara terang-terang dalam ucapannya menunjukkan sokongan terbuka kepada pimpinan PAS tertentu yang sanggup berkompromi dengan dasar baru DAP itu. Dia juga sehingga mengisytiharkan putus hubungan dengan Presiden PAS, tetapi tidak putus hubungan dengan PAS. Ini sangat melampau dan tidak beretika.
DAP juga pernah cuba menguasai Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu dan kini sedang menguasai PH. DAP tegas untuk memandulkan sebarang usaha membina semula negara dengan mengikut acuan Islam yang syumul. Usaha DAP ini turut disokong kuat oleh beberapa pimpinan PKR, PAN, Umno, MCA dan Gerakan.
DAP akhir-akhir ini seperti Umno juga, menyerang Kerajaan Kelantan bertubi-tubi dengan pelbagai fitnah dan persepsi yang sangat buruk dan negatif. Walhal Kerajaan Kelantan adalah sifar rasuah dan mendapat pelbagai anugerah 'Good governance' oleh pelbagai badan profesional yang diiktiraf. Dengan itu dasar PAS terhadap DAP pun berubah. Tidak susah untuk memahaminya.
Penutup
PAS mengalu-alukan fatwa seperti fatwa SS Mufti Wilayah yang cermat, mendalam, mudah difahami dan diselitkan dengan perbahasan dalil secara ringkas dan tuntas.
Menariknya, PAS sudah lama mengamalkan sikap yang bertepatan dengan hukum yang disuarakan oleh Sahibus Samahah dalam fatwa terbarunya ini Bayan Lin Nas Siri ke-129.
Sepatutnya semua parti politik menjadikan fatwa itu sebagai panduan dalam berurusan dengan golongan bukan Islam dalam politik negara kita. Golongan bukan Islam pula wajar sekali memerhatikan fatwa itu sebagai panduan berurusan dengan masyarakat Islam secara harmoni di negara kita.
Sedikit tambahan, PAS turut juga mengambil kira faktor majoriti penduduk kawasan yang ditandingi, sama ada Muslim atau non-Muslim lebih ramai. Turut diambil kira ialah faktor tradisi pertandingan melibatkan Muslim atau bukan Muslim di kawasan 50-50. Dan beberapa pertimbangan terhadap faktor-faktor lain.
ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
13 April 2018 - HARAKAHDAILY 13/4/2018