Jumaat, 23 Februari 2018

Siri 5: Kononnya PAS Selepas Ketiadaan TG Nik Aziz Dah Berubah Haluan


*تصحيح الفهم في تكوين الفكر*
(Mensahihkan Kefahaman Dalam Membentuk Pemikiran)

1. Selepas TG Nik Aziz meninggal dunia, mengapa PAS dah berubah? Adakah PAS telah lari dari dasar perjuangan?

Dasar PAS adalah tetap, tidak akan berubah, seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti iaitu panduan al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Perjuangan PAS adalah menegakkan hukum Allah di atas tanah air yang merdeka dan mendirikan masyarakat yang mengamalkan nilai ajaran Islam. Seruan PAS ialah laungan takbir : Allahu akbar.

PAS tidak pernah berubah haluan dengan berubahnya dasar sejak dari awal sehinggalah kini. Pimpinan boleh datang dan pergi, tetapi dasar PAS kekal.

Dasar tetap, ini tidak boleh berubah. Datanglah siapa yang menjadi pemimpin, dasar ini jugalah yang dibawa. Majlis Syura Ulamak akan pandu perjuangan dengan suluhan nas agar setiap tindakan semasa PAS dalam lingkungan syarak.

Perbezaan strategi itu perkara dimaklumi kerana strategi itu berubah berdasarkan perubahan zaman agar kesesuaian strategi yang menguntungkan Islam tetap terjaga. Zaman Khulafa al Rasyidin pun ijtihad berbeza, tetapi dasar tetap sama.

Sayiduna Umar ijtihad sebatan ke atas peminum arak sebanyak 80 kali sebatan sedangkan sebelum itu Sayiduna Abu Bakar sama sebagaimana zaman Rasulullah SAW iaitu 40 kali sebatan. Sayiduna Umar ijtihad tambahan 40 lagi kerana ada faktor semasa yang berlaku.

Sayiduna Uthman ijtihad azan pada waktu Jumaat dua kali kerana faktor semasa masyarakat sibuk di pasar. Sedangkan sebelumnya Sayiduna Abu Bakar dan Sayiduna Umar azan Jumaat sekali. Ini contoh. Berbeza pada teknikal, cabang begitu juga strategi. Dasar dan panduan tetap sama.

PAS adalah parti yang dah lama tertubuh. Berpengalaman dalam liku liku kancah politik. Sama ada zaman PAS sertai kerajaan, PAS bekerjasama dengan Semangat 46, adanya Barisan Alternatif, begitu juga Pakatan Rakyat dan terbaru Gagasan Sejahtera, itu semua ada strateginya. Asasnya dasar bagi strategi tidak bercanggah syariat. Ini perubahan berdasarkan zaman kerana faktor yang berubah. Hukum furu' yang bersifat ijtihad ia berlegar berdasarkan faktor sebab iaitu illah. Ada faktor sebab maka ada hukum, ketiadaannya maka tiada hukum.

Ini kerja Majlis Syura Ulamak akan pantau agar PAS terus di atas landasan perjuangan Islam.

Hakikatnya PAS masih sama seperti zaman TG Nik Aziz masih ada sehingga kini. Hanya momokan musuh sahaja nak celarukan ahli dan masyarakat kononnya PAS dah lari dari prinsip selepas ketiadaan TG Nik Aziz.

2. Pendekatan TG Nik Aziz lebih berstrategi dengan mampu menjadikan Pakatan Rakyat (PR) sebagai pembangkang yang hebat berhadapan dengan UMNO-BN, tapi sekarang mengapa PR dah tiada selepas pemergian TG Nik Aziz?

Batalnya tahaluf PR dah dijelaskan dalam siri 3 yang lalu. Boleh baca di situ untuk ulang kaji lebih terperinci.

Tahaluf dalam PR ini adalah strategi bukan matlamat. Bila sebut strategi, ia boleh berubah. Apatah lagi apabila 6 syarat atau garis panduan telah dilanggar, maka tiadalah tahaluf.

Sebagaimana juga bertahaluf kerana mengikut hukum, maka terbatal tahaluf juga mengikut hukum. Kita ikut hukum. Tak boleh pakai kaedah matlamat menghalalkan cara. Kaedah ini tak betul. Kaedah ini golongan Islamist Democrat pakai kerana terpengaruh pemikiran Liberal.

Zaman TG Nik Aziz pernah tegur mendiang Karpal Sigh yang ketika itu berkeras terhadap hudud yang diperjuangkan PAS.

TG Nik Aziz juga pernah tegur DS Anwar Ibrahim mengenai kenyataannya terhadap pengiktiran Israel di bumi Palestin.

Jelas TG Nik Aziz tegas perjuangkan Islam. Beliau berkeras dan tegas sekiranya sesuatu isu tersebut tidak betul pada pertimbangan syariah.

PAS kini selepas pemergian TG Nik Aziz juga sama. Namun kemuncaknya dengan terbatal tahaluf PR apabila DAP dan PKR sendiri yang bertindak melanggar sempadan persefahaman dan semangat setiakawan dalam PR. Rujuk semula siri 3.

3. Adakah PAN lebih Islamik dan meneruskan legasi TG Nik Aziz berbanding Kerajaan PAS Kelantan yang sedia ada?

Hakikatnya PAN melawan perjuangan yang disertai dan dibawa oleh TG Nik Aziz. PAN dakwa ingin lawan UMNO tetapi realitinya di Kelantan, PAN lawan PAS. Malah PAN isytihar untuk bertanding di semua kerusi yang PAS bertanding.

Jika ingin lawan UMNO mengapa kerusi PAS jadi sasaran. Malah tindakan Husam Musa di Sidang Dewan Negeri jelas mengambil alih peranan UMNO Kelantan sebelum ni dengan membuat pelbagai tohmahan dan kecelaruan terhadap Kerajaan PAS Kelantan.

Di mana dakwaan PAN yang mahu meneruskan legasi TG Nik Aziz? Tiada. Malah pendustaan atas nama TG Nik Aziz. Ini biadap.

TG Nik Aziz juga pernah berpesan wajib jaga kerajaan Kelantan yang sedia ada, iaitu PAS memerintah. Tapi serangan PAN menunjukkan mahu menumbangkan PAS. Bertentangan dengan legasi TG Nik Aziz malah melawan terhadap apa yang telah TG Nik Aziz bangunkan selama ini di Kelantan.

Mana mungkin PAN lebih Islamik jika dilihat pada kenyataan di atas. Malah penubuhan PAN pun atas kekecewaan oleh mereka yang kalah dalam pemilihan Muktamar PAS di Kuala Selangor tahun 2015 lalu. Baiah yang diaku janji oleh calon pun dilanggar sedangkan baiah tersebut TG Nik Aziz terima. Tiada Islamik, hanya atas faktor tidak puas hati dan kekecewaan yang ada, kerana niat dah lari.

Malah sebahagian yang lari ke PAN asalnya pun bukan dari tarbiyah PAS. Mereka hanya jadikan PAS bahtera dalam kancah politik semata-mata tidak sebagai jemaah Islam yang diintima'. Sebab itu, tidak pelik mereka yang demikian keluar. Ada juga yang terpengaruh dan tidak sabar, maka dia pun keluar. Ini ujian.

Moga jadi pedoman pada kita selaku ahli untuk terus istiqamah dengan PAS dan kerja-kerja memenangkan Islam. Lihatlah teladan TG Nik Aziz sehingga ke akhir hayat tetap bersama perjuangan yang dibawa oleh PAS.

Dapatkan jawapan santai secara bersiri mengenai persepsi yang bermain di minda :- Di Page PAS Cawangan Taman Sri Serdang :

https://mobile.facebook.com/Pas-Cawangan-Taman-Sri-Serdang-1034634703348148/?tsid=0.832186334229235&source=result