Jumaat, 9 Februari 2018

PAS tidak menolak lantik bukan Islam dalam Kabinet

LONTARAN idea dan pemikiran yang dikemukakan oleh Presiden PAS, YB Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang dalam ucapan beliau pada sidang media bertarikh 4 Februari 2018 telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak seolah-olah mengenepikan posisi orang bukan Islam dalam pembentukan kabinet kerajaan kelak dan kononnya wujud sistem kasta dalam pentadbiran yang PAS tawarkan.

Penafsiran sempit ini tampak sengaja digembar-gemburkan bagi menyemarakkan sentimen agama sekaligus membakar hangus idea dan mengalih maksud sebenar lontaran Presiden PAS tersebut. 

Hasrat yang terkandung dalam idea beliau adalah merupakan pembahagian tugas dalam kabinet menteri yang digarap dari prinsip pemerintahan dalam Islam.

Politik Islam telah menggariskan urustadbir negara kepada dua jabatan iaitu Jabatan Pembuat Polisi atau Policy Makers (yang disebut sebagai Wazarat Al-Tafwid) dan Jabatan Pelaksana (yang disebut sebagai Wazarat Al-Tanfiz). 

Prinsip pemerintahan dalam Islam ini adalah bersifat adil dan saksama. Ia juga selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang turut membahagikan peranan Pembuat Polisi (Badan Legistatif) dan Pelaksana Polisi (Badan Eksekutif).

Ia diajar oleh Allah S.W.T:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak dan layak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Surah An Nisa’ : Ayat 58

Sangat tidak benar anggapan bahawa Presiden PAS menafikan hak bukan Islam, kerana dalam aturan badan eksekutif yang mengutamakan elemen kepakaran individu, ruang dan peluang kepada orang bukan Islam dibuka seluas-luasnya.

Islam mengurus kesaksamaan fitrah manusia, dengan syarat Islam berkuasa dan memerintah. Pada masa yang sama, Islam tetap memelihara hak beragama tanpa menyentuh dan menggugat perkara yang diizinkan oleh agama masing-masing. Bahkan Islam memelihara keharmonian masyarakat majmuk yang wujud dalam sosio-masyarakat Malaysia.

Islam tidak sekadar memberi hak kerakyatan kepada bukan Islam untuk dinikmati, malah mewajibkan berlaku adil terhadap semua rakyat yang dilindungi oleh undang-undang.

Selanjutnya, mewujudkan suasana menghormati perbezaan agama dan menjaga keharmonian serta perpaduan berdasarkan natural kemanusiaan. Ini dinyatakan secara jelas dalam Perkara 3(1) dan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.

Jika diteliti wacana Kerajaan Teknokrat yang dibawa oleh PAS, ia adalah gagasan idea yang menjulang prinsip keharmonian, kesaksamaan, keadilan dan pengurangan budaya politiking dalam negara.

Ia bukanlah sesuatu yang baru, namun diberi suntikan yang lebih segar daripada idea Al-Farabi menerusi karya Al-Madinah Al-Fadhilah, Al-Ghazali menerusi Siyasah Al-Akhlak, Al-Mawardi menerusi Al-Ahkam Sultaniyyah dan lain-lain lagi.

PAS konsisten membawa lunas-lunas Islam dalam ruang pendekatan kontemporari walaupun masih wujud tohmahan yang bersifat simplistik terhadap tindakan-tindakan PAS tanpa memahami sebab sebenar ia dicadangkan dan sengaja diapi-apikan.

Track record pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan bukti paling ampuh sebagai model kerajaan berkredibiliti yang dibina oleh PAS. Hak bukan Islam utuh terpelihara.

Manakala pengalaman menjadi kerajaan di Kedah penggal yang lalu, kerusi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri diperuntukkan khas untuk wakil rakyat bukan Islam. 

PAS tegas dan komited menjaga kestabilan negara yang majmuk masyarakatnya. Malah, dalam masa yang sama PAS konsisten dengan prinsip Islam yang membawa rahmah bagi semua dan berteraskan keadilan sejagat.

Hak bukan Islam tetap terpelihara apabila Islam dijadikan asas pentadbiran sebuah negara.

Sejahtera Bersama Islam -HARAKAHDAILY 7/2/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/5205-pas-tidak-menolak-lantik-bukan-islam-dalam-kabinet

NASRUDIN HASSAN  
07 FEBRUARY 2018

_AC_