Selasa, 4 Julai 2017

Teruskan Bermimpi Wahai DAP dan Anak Didik Kesayanganmu

1. Baru-baru ini, Lim Kit Siang datang berkunjung ke Majlis Hari Raya PAN peringkat Nasional di Kota Bharu, Kelantan. Dalam majlis tersebut dengan bangganya dia mengisytiharkan Husam Musa sebagai calon MB Kelantan yang baru.

Dalam keadaan DAP tidak bertanding walau 1 kerusi pun di Kelantan, ia berkuasa untuk menentukan siapa calon MB Kelantan. Hebat kan DAP.?

2. Dengan pengisytiharan tersebut ia bagaikan menjadi bukti nyata terang lagi bersuluh bahawa PAN hanyalah alat DAP yang perlu tunduk, taat dan patuh kepada tuan kesayangannya.
Apabila PAS memberi reaksi balas terhadap pengisytiharan oleh DAP itu, bangkit pula YB Hanipa Maidin, peguam tersohor PAN membela Lim Kit Siang yang diserang oleh PAS.

Lihat sahaja deretan status Facebook YB Hanipa, kita pun terkeliru, adakah benar dia masih bergelar seorang peguam dan ahli Parlimen Sepang atau sudah mengubah kerjaya sebagai Cyber Trooper PAN.?
Bertalu serangan murahan dia lancarkan terhadap PAS khususnya Tuan Guru Presiden PAS.
Yang lawaknya, nama FB pun dia masih menggunakan nama PAS iaitu "Peguam PAS- Dulu". 

3. PAN terpaksa melaksanakan "control damage" terhadap pengisytiharan DAP itu. Tokoh penglipur lara PAN Kelantan, Cikgu Wan Rahim berkata kenyataan Lim Kit Siang itu hanyalah pandangan peribadi sahaja.
Semalam, Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden PAN turut mengulangi skrip sama, pengisytiharan oleh Lim Kit Siang itu hanyalah pandangan peribadi sahaja.

4. Hari ini, calon MB idaman DAP, Husam Musa pula mengadakan sidang media di KL. Husam menyatakan kesediaannya menjadi calon sementara MB Kelantan.
Lawak betul.. Ini dah macam kisah drama Pakatan Harapan yang berbalah dalam menentukan siapa calon PM ke 7.?
Tun Mahathir sedia jadi PM lagi, Anwar sedia berundur , Wan Azizah pula sedia jadi PM sementara.
Mereka lebih kalut berebut ghanimah jawatan yang belum tentu dapat.

Silap gaya, Husam Musa akan mengikut jejak langkah Datuk Dr Awang Adek Hussain, 'bekas calon MB Kelantan' yang diisytiharkan oleh UMNO pada Pilihan Raya Umum tahun 2008 dulu. Bukan sahaja dia gagal bergelar MB, bahkan dia kalah di kedua-dua kerusi DUN Perupok dan Parlimen Bachok yang ditandinginya.

5. Melihatkan kesungguhan Pakatan Harapan mahu menjatuhkan Kerajaan PAS di Kelantan ini membuatkan kita berfikir. Sebenarnya PH mahu melawan PAS atau melawan UMNO-BN.? Di mulut mereka saban hari berkata mahu menjatuhkan Kerajaan pimpinan PM Najib tetapi hakikatnya PH lah yang membantu UMNO untuk menang di Kelantan.

Mengapa tidak pula kedengaran Pakatan Harapan mengumumkan calon MB PH di Pahang, Terengganu, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, dan Perlis.?
Bukankah kesemua negeri tersebut sedang ditadbir oleh UMNO-BN.?
Apakah PH mampu memberi jaminan bahawa Pulau Pinang dan Selangor akan kekal di bawah penguasaan mereka pada PRU 14 nanti.?

6. Kepada Lim Kit Siang, saya petik kembali baris terakhir Analisis The Star hari ini yang ditulis oleh Kolumnis Joceline Tan, "Lim’s dream of spending the next Hari Raya with Husam as the Mentri Besar is likely to remain a dream."

Dalam keghairahan PH untuk menawan Putrajaya dan Kelantan, mungkin mereka terlupa kata pepatah Melayu, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran."

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
04 Julai 2017