Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna. Islam tidak dapat dipisahkan dengan amalan harian, bekerja, berinteraksi sesama manusia malahan perhubungan dengan haiwan dan alam sekitar juga ada adab-adab yang telah digariskan oleh Islam.
Jika kita benar-benar beriman kepada Allah SWT dan beriman dengan rukun Iman yang lain dan rukun Islam, maka kita perlu berpegang teguh dengan ikatan Islam dan tidak boleh terpisah walaupun sedikit. Oleh itu semua perkataan, perbuatan, amalan, tulisan, arahan, gagasan, perancangan maka tidak boleh lari dengan ajaran Islam yang ditanzilkan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW.
BERKEMPEN adalah salah satu aktiviti kehidupan manusia hari ini iaitu ketika manusia sedang berusaha untuk menonjolkan atau menyokong pemimpin, mencari sokongan rakyat, menunjukkan ketokohan diri atau mempromosikan kebaikan parti atau organisasi maka ianya tidak boleh langsung terkeluar daripada adab-adab Islam .
Jika kita ketandas atau ketempat tidur ada doa dan adab-adabnya maka apakah ketika kita hendak berkempen dan memilih pemimpi, kita bebas daripada adab-adab dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam?
Adakah kita boleh menggunakan apa cara sekali pun, termasuk memfitnah, mengumpat , mengutuk, maki hamun, mengupah gengster membuat kacau dalam kita menjalankan kempen dan mengadakan rapat-rapat umum?
Jawabnya pasti tidak boleh kerana dalam Islam kita tidak boleh menggunakan kaedah "Matlamat menghalalkan cara". Jika cara itu haram dan berdosa Islam melarang kita menggunakan walaupun matlamatnya baik.
Seorang mukmin akan sentiasa menjaga akhlak dan adab sopan dan kehidupannya. Akhlak dan kesopanan adalah pakaian seorang mukmin sejati. Justeru, dalam kempen pilihan raya bukannya masa untuk kita menanggalkan akhlak dan adab sopan.
Antara anggota badan yang paling banyak digunakan dalam kempen pilihan raya adalah lidah untuk tutur bicara. Calon dan penyokong parti akan menggunakan lidah untuk berkempen dan menarik sokongan dan kepercayaan pengundi dengan manifesto dan janji-janji yang akan ditunaikan sekiranya diberi peluang untuk memenangi pilihanraya.
Majoriti ahli politik dunia termasuk di negara kita menggunakan idealogi dan falsafah politik Nicholo Machiavelli yang terang dan jelas bertentangan dengan roh Islam dan adab-adabnya.
Nicholo Machiavelli merupakan seorang ahli falsafah Itali. Beliau telah berkhidmat selama 14 tahun dengan kerajaan Itali sebagai setiausaha kerajaan. Terkenal dengan bukunya yang masyhur The Prince. Sebuah buku yang membicarakan ideologi dan falsafah politik menurut sisi pandang Nicholo Machiavelli.
Falsafah politik Machiavelli adalah falsafah pengalaman peribadinya yang bersifat saintifik dan empirikal yang berdasarkan suasana kekacauan politik pada zaman Renaissance. Dalam bukunya, beliau menggariskan beberapa panduan berpolitik untuk kerajaan.
Antara falsafah beliau, untuk sesebuah kerajaan mengekalkan kuasa, maka para menterinya haruslah mengabaikan pertimbangan moral sepenuhnya dan menaruh segala keyakinan terhadap kekuatan dan kepintaran menipu. Dalam tulisan Machiavelli, beliau banyak menceritakan sejarah kerajaan terdahulu seperti kerajaan Yunani dan Rom yang memusatkan kepada kuasa sebagai tunggak pemerintahan.
Machiavelli juga mengatakan kerajaan perlu bijak mengaburi mata rakyat dengan menyuap rakyat dengan hiburan, pertunjukan seni dan sukan bagi melalaikan mereka. Bagi Machiavelli, MATLAMAT MENGHALALKAN CARA, tidak kira caranya baik atau buruk.
Machiavelli menyatakan nilai–nilai buruk yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin adalah seperti sifat kedekut, melakukan kejahatan dan tidak takut kepada kutukan rakyat. Walaubagaimanapun sifat pemurah perlu ditunjukkan kepada rakyat seperti mengadakan ‘rumah terbuka’ dengan menggunakan duit rakyat, demi meraih sokongan dan pujian rakyat.
Machiavelli menambah, seorang pemimpin juga patut menonjolkan sifat hipokrit dalam kehidupan hariannya. Dia harus berpura-pura menonjolkan nilai baik dalam dirinya terutama sifat pemurah, jujur, berperikemanusiaan, baik budi dan alim. Machiavelli berkata seorang pemimpin itu tidak perlu memiliki semua sifat baik tetapi ‘seakan-akan memiliki sifat baik’ kerana manusia akan hanya menilai berdasarkan apa yang dilihat sahaja daripada apa yang mereka rasa.
Doktinnya The end justifies the mean. Ertinya , dalam mencapai dan mengukuhkan kuasa, seseorang pemimpin itu hendaklah mengukur antara manfaat tindakan yang baik dan tindakan yang buruk. Jika perlu memperolehi kuasa, maka tindakan buruk perlu DIUTAMAKAN. Demi kepentingan kuasa politik, kerajaan diharuskan menggunakan sebarang cara untuk merealisasikan matlamatnya.
Apakah cara-cara kempen yang beretika dan berakhlak yang dibenarkan oleh Islam?
Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan oleh orang mukmin ketika dia berceramah, berkempen dan mencari sokongan rakyat.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Jauhkan ucapan berbentuk maki hamun, mengutuk dan mendedahkan aib seseorang secara peribadi.
Ketika berkempen (berceramah atau rapat umum) lidah perlulah dikawal dengan sebaik-baiknya kerana peribadi seorang muslim tidak akan berkata perkara dusta, memfitnah, berbohong atau menokok-tambah keaiban seseorang yang tidak ada pada dirinya.
2. Jauhi memfitnah dengan menyebarkan gambar-gambar palsu (super impose), VCD seks palsu, menuduh berzina atau liwath (dalam Islam perlu bawa 4 orang saksi yang adil) dan edaran risalah-risalah berbentuk dakwaan semata-mata. (perlu diingat bahawa setiap satu tuduhan jika tak benar akan bertanggungjawab di hari akhirat).
Janganlah menuduh dalam sesuatu yang tak pasti. Hukumnya boleh jatuh dalam kategori dosa fitnah yang dosanya lebih besar dari membunuh.
3. Mendedahkan kesalahan seorang pemimpin yang rasuah dan ada bukti-bukti yang kukuh tidak dilarang kerana orang ramai perlu tahu akhlak seorang pemimpin yang hendak dipilih. Contohnya : ada bukti berbentuk dokumen, transasi kewangan, perjanjian jual beli dan sebagainya.
4. Sebaik-baiknya mereka yang dicaci atau difitnah perlu mendiamkan diri daripada membalas cacian. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Diam itu adalah suatu hukum dan amat sedikit orang yang melakukannya." (Hadis riwayat Abu Mansurad-Dailani daripada Ibn Umar)
5. Mendedahkan kelemahan pemerentahan lama dan mencadangkan cara pemerentahan baru yang lebih telus dan adil tidak salah dan berikan bukti-bukti kelemahan dan akibat yang ditanggung oleh rakyat kerana salah tadbir dan salah laku pemimpin. Bukti perlu dalam bentuk lapuran audit, lapuran pegawai kewangan dan lapuran pakar luar negara.
6. Tidak salah mewar-warkan kebaikan yang telah dibuat oleh pemimpin kepada rakyat untuk memberi kebajikan kepada rakyat, dengan syarat kebaikan itu telus dan bukan untuk berbangga-bangga.
7. Mengemukakan menipesto yang lebih baik dan berjanji untuk melaksanakan jika berkuasa tidak dilarang kerana setiap niat dan kebaikan yang dirancang adalah salah satu tuntutan Islam.
Dekati pengundi dengan akhlak yang baik, dengan budaya timur yang menghormati satu sama lain dan memahami kehendak satu sama lain.
Jentera parti mesti memahami bahawa politik itu merupakan salah satu kaedah untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan, bukan untuk mendapatkan kuasa memerintah semata-mata.Kempen yang bersih dan tidak mengandungi caci-maki dan kutuk mengutuk kepada calun lawan adalah akhlak yang terpuji dan merupakan sifat orang mukmin yang bertanggungjawab dan mengajak rakyat untuk melakukan kebaikan.
Semua rakyat yang cintakan keadilan dan kehidupan perlulah sentiasa kekal dengan akhlak dan adab-adab Islam. Jadikanlah kempen dan pertandingan dalam pilihan raya umum ini merupakan peluang yang paling baik untuk kalian melakukan perubahan dalam masyarakat dan memilih pemimpin yang benar-benar bercirikan Islam dalam akhlak dan kehidupannya, bukannya pemimpin yang hanya mabuk kuasa dan tetap mahu berkuasa walaupun menggunakan cara Machiavelli iaitu matlamat menhalalkan cara.
Waullahualam.
Nota daripada Abu Basyer
https://www.facebook.com/abu.basyer