PAS merupakan sebuah parti yang memperjuangkan Islam menjadi amalan dan teras kepada masyarakat di Malaysia. Menjadikan Islam sebagai teras perjuangan bermakna menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam merancang perjalanan dan menentukan tindakan yang ingin diambil. Ulama pula menjadi teraju utama perjuangan PAS kerana merekalah yang lebih hampir kepada Al-Quran dan As-Sunnah, dan merekalah yang selayaknya memimpin sebuah gerakan Islam.
Islam adalah panduan, Islam juga adalah matlamat dan cita-cita perjuangan PAS. Sepertimana yang disebut oleh Saidina Omar R.A:
“Kita adalah kaum dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, Allah akan menghinakan kita.”
Islam tidak memerlukan teras tambahan kerana kesempurnaan kandungan yang ada pada Islam. Dibimbangi, tokok tambah yang dibuat, diambil pula daripada sumber yang tidak Islamik, menjejaskan hala tuju perjuangan Islam itu sendiri. Firman Allah Taala di dalam Al-Quran:
“Pada hari ini Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu Agama (Deen = cara hidup) kamu, dan Aku cukupkan ke atas kamu nikmat-nikmatKu, dan Aku redha Islam menjadi Agama (Deen = cara hidup) bagi kamu.” (Surah Al-Maidah, 5 : 3)
Menjadikan Islam sebagai teras juga membawa makna matlamat utama perjuangan ialah mencari keredhaan Allah. Berjuang bukan kerana jawatan dan kedudukan, sebaliknya berjuang sehingga sanggup berkorban harta dan nyawa semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan meninggikan kalimah Allah yang Maha Tinggi. Misi Islam ialah beramal kerana Allah, Dialah yang lebih layak menjadi tempat rujukan dan menjadi pemutus dalam setiap tindakan hamba-hambaNya.
Dahulu, Tanah Melayu pernah menjadikan Islam dan segala undang-undang yang terdapat di dalamnya sebagai perlembagaan dan sumber rujukan utama. Namun, pencerobohan dan penjajahan oleh imperialis barat telah mengganggu-gugat kedudukan Islam sehinggalah pada hari ini, rakyat Malaysia sendiri lupa akan asal-usul juga sejarah yang pernah dilakarkan oleh ulama silam. Imperialis Barat bukan sahaja datang membawa misi untuk menjajah Tanah Melayu, bahkan mereka membawa doktrin dan ideologi yang memisahkan masyarakat, khususnya pentadbiran di Tanah Melayu ini daripada Islam.
Konsep demokrasi yang diperkenalkan juga merupakan antara doktrin yang berjaya mereka terapkan di dalam amalan pentadbiran Kerajaan Malaysia. Sungguhpun begitu, PAS menggunakan ruang yang ada untuk terus memastikan agenda Islam dapat diperjuangkan dalam suasana demokrasi. Malah bersama-sama dengan Pakatan Rakyat memastikan keadilan dan demokrasi dapat ditegakkan kembali di Malaysia. Ini kerana, demokrasi selagi tidak melampaui batas, adalah diterima dan boleh menjadi platform yang baik untuk memperjuangkan Islam. Hasilnya, Kerajaan Negeri Kelantan terus aman dan berkembang dan dipimpin dengan Islam menjadi teras utama kerajaan.
Demokrasi pula merujuk kepada kuasa rakyat dan penyertaan ramai dalam membuat sesuatu keputusan. Konsep majoriti merupakan asas kepada demokrasi. Dalam konteks negara demokrasi, parti yang mendapat lebih banyak undi akan terpilih sebagai parti pemerintah. Semua parti politik yang menyertai pilihanraya di Malaysia, menerima hakikat ini. Sekalipun proses demokrasi di Malaysia tidak begitu menjamin hak semua rakyat, khususnya parti politik, kita perlu bersetuju bahawa proses demokrasi ini adalah proses terbaik untuk memastikan keharmonian politik dan sosial di Malaysia.
Begitupun, Islam tidak boleh disamaertikan dengan proses Demokrasi. Kebenaran Islam tidak bergantung kepada ramainya penyokong. Apalagi hukum-hakam dalam Islam, bukanlah subjek yang boleh dipertimbangkan melalui suara majoriti. Namun, situasi dalam negara demokrasi memerlukan sokongan ramai untuk memastikan Islam berjaya ditegakkan. Maka menjadi tanggungjawab semua umat Islam di Malaysia tidak kira dari parti Umno Barisan Nasional, lebih-lebih lagi dari parti PAS untuk memperjuangkan Islam melalui lunas-lunas demokrasi.
Islam merupakan agama Allah. Ia disampaikan oleh para Nabi dan Rasul, melalui proses yang pelbagai. Namun, ia bukanlah suatu yang boleh dipertimbangkan untuk diterima atau ditolak, sebaliknya menjadi tanggungjawab setiap individu muslim untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan.
PAS sebagai sebuah parti politik mengambil bahagian dalam pilihanraya, sebagai tanda penerimaan dan persetujuan bahawa Malaysia sebuah negara yang demokratik. PAS juga berkeyakinan penuh bahawa melalui jalan demokrasi ini, PAS mampu mencapai matlamatnya memaknakan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Walaupun bersetuju untuk menyertai proses demokrasi, tetapi PAS perlu kekal sebagai parti Islam yang tulen. Menggabungkan diri dalam perjuangan Islam sahaja sudah cukup indah dan sempurna tanpa menyamakannya dengan mana-mana bentuk ideologi dan pemikiran.
PAS sebagai sebuah parti politik tidak pernah menjadikan Islam sebagai bahan dagangan politik untuk mendapatkan kuasa, apa lagi menjadikan Islam sebagai mangsa demokrasi sehingga isi kandungannya boleh dipisah-pisahkan sesuka hati. Sebaliknya, PAS komited menjadikan Islam sebagai teras perjuangan dan menjadikan Malaysia ini Negara yang berkebajikan adalah selaras dengan misi ini.
Bahkan Allah Taala melantik seluruh umat manusia, tidak terkecuali walau seorangpun, sebagai khalifah yang menjadi wakil pemerintahan di muka bumi. Bermakna, manusia seluruhnya memikul tanggungjawab untuk memakmurkan dan memelihara dunia ini dengan penuh keharmonian dan keadilan.
Sumbar dari:
Muhammad Ismi Mat Taib