Sabtu, 6 Mei 2017

Bolehkah umat Islam mengambil parti politik sebagai jalan atau kaedah, dan bertanding dalam sistem pilihanraya, untuk memperjuang agama?

0leh: AZMAN HUSSIN

SISTEM demokrasi dikatakan suatu sistem terbaik pada zaman moden untuk memilih pemimpin atau negarawan dalam menerajui pemerintahan sesebuah negara.

Apakah demokrasi? Demokrasi lebih-kurang bermaksud dari rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat. Ia diterjemahkan dari perkataan Yunani, demos kratos (kuasa rakyat). Ia bermaksud pemerintahan dari rakyat (diputuskan mengikut kehendak rakyat terbanyak), dibuat oleh rakyat (dilaksanakan oleh rakyat), dan ditujukan kepada rakyat (dinikmati oleh seluruh rakyat).

Pengertian mudahnya ia adalah sistem sekular, memisahkan urusan dunia dan akhirat. Ia tidak terlibat dengan unsur-unsur ketuhanan.

Semuanya dari akal fikiran manusia, oleh manusia, dan untuk kehidupan manusia seluruhnya. Tiada penglibatan dan campur tangan tuhan.

Suara majoriti adalah tuhan (kebenaran) dalam demokrasi. Ini sebenarnya adalah hukum alam. Yang teramai akan mengalahkan yang lebih sedikit dalam pilihanraya, walaupun minoriti yang kuat boleh mengalahkan majoriti yang lemah dalam kes rampasan kuasa. Demokrasi boleh diringkaskan kepada maksud: sesiapa yang dipilih secara majoriti sebagai pemimpin akan sah diiktiraf menjadi pemimpin.

Jika majoriti rakyat mahu mengiktiraf seorang ateis sebagai pemimpin, maka sahlah ia (kerana ia daripada undi majoriti rakyat).

Bolehkah umat Islam mengambil parti politik sebagai jalan atau kaedah, dan bertanding dalam sistem pilihanraya, untuk memperjuang agama?

Demokrasi adalah neutral; boleh jadi baik atau tidak baik hasilnya. Bergantung kepada pengundi. Jika majoriti pengundi berakhlak baik, kesudahannya pemimpin berakhlak baiklah yang diangkat sebagai pemimpin. Akhlak pemimpin adalah gambaran, cerminan atau refleksi akhlak masyarakat akar-umbi di bawah.

Walaupun dikatakan pemimpin yang membentuk rakyat, sebenarnya situasi itu tidak begitu di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Selagi seseorang pemimpin memerlukan undi daripada rakyat, selagi itulah rakyat yang akan membentuk watak pemimpin. Jika pemimpin tidak mengikut kehendak rakyat, ia akan kalah.

Adalah salah sama sekali mengumpamakan pemerintah dengan seorang bapa yang bertanggungjawab membentuk bagaimana akhlak si anak. Dalam demokrasi ia tidak begitu. Politikus memerlukan sokongan rakyat, maka politikus yang telah dibentuk oleh rakyat, sedangkan si ayah adalah berkuasa penuh untuk menentukan apa yang harus dilakukan oleh seorang anak.

Maka, memenangi majoriti undi rakyat adalah tujuan utama dan terpenting dalam sistem demokrasi. Rakyat boleh menyokong sesebuah parti, tetapi ia tidak bermakna rakyat akan mematuhi ajaran atau dasar-dasar yang dibawa parti. Parti politik boleh menyatukan undi, dan undi boleh saja didapatkan dari orang yang hanya menyokong tapi tidak mengikuti dasar-dasar parti. Pelacur, penipu, perasuah atau penjudi dikira sah mengundi dalam sistem demokrasi Ini tidak selari dengan misi politik yang dibawa Nabi Muhammad SAW untuk mengubah masyarakat. Orang-orang yang mengikuti baginda adalah orang yang bertaut hatinya kerana Allah SWT, yang akhlak mereka mengikut al-Quran dan sunnah nabi saw sepenuh hati.

Parti politik dapat menguatkuasakan undang-undang kepada rakyat jika memenangi pilihanraya, tetapi ia tidak dapat mengubah akhlak masyarakat. Dakwahlah yang akan mengubah akhlak masyarakat. Sebaliknya, dalam demokrasi, rakyat yang telah mengubah parti politik. Jika parti politik tidak menuruti kehendak masyarakat, ia akan kalah. Maka parti politik akan mengadaptasikan diri dengan kehendak-kehendak masyarakat. Ini tidak sama dengan jalan nabi-nabi terdahulu yang mengubah masyarakat dengan dakwah. Nabi tidak mengubah atau berkompromi dengan prinsip agama hanya kerana ingin memenangi rakyat. Pemimpin agung mengubah rakyat, bukan diubah oleh rakyat.

Politik Nabi Muhammad SAW adalah mendakwah dan menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat melalui contoh teladan baginda sendiri, sehingga Islam menjadi cara hidup (addin, budaya dan semuanya tentang kehidupan manusia). Kesempurnaan agama seseorang itu akan terpancar melalui akhlaknya. Islam Nabi SAW bukan hanya di mulut dan ceramah. Semenanjung Tanah Arab yang jahil dan zulmat menjadi terang rohaninya kerana dakwah.

Semua ini bukan dilakukan dengan undang-undang negara, tetapi kerana masyarakat telah meredhai dan menerima kebenaran Islam selepas menerima seruan dakwah Nabi SAW. Undang-undang negara hanyalah kaedah untuk melindungi rakyat. Ia seumpama pagar yang menahan rakyat daripada dicerobohi musuh-musuh. Tamsilkan sekumpulan kuda liar; Islam menjinakkan kuda, bukan membina pagar untuk mengurung kuda. Pagar hanya dibangunkan apabila kuda sudah dijinakkan untuk mengelakkan serangan serigala. Jika pagar dibina tanpa dijinakkan kuda-kuda, ia tidak ada gunanya, kuda-kudanya itu pasti merosakkan pagar. Jika rakyat tidak sepenuhnya mengamalkan suruhan agama, tidak ada maknanya sesebuah negara yang menegakkan hukum-hukum agama.

Makna di sini, Islam tidak perlukan jalan parti politik untuk menegakkan agama, bahkan negara Islam akan tertegak secara automatik jika setiap orang Islam berakhlak seperti pengikut-pengikut nabi suatu masa dulu.

Islam sebenarnya sudah ada kaedah politiknya sendiri, iaitu dakwah; memenangi hati majoriti rakyat dengan dakwah, menyampaikan kalimah kebesaran Allah. Apabila akhlak Islam menjadi budaya masyarakat, selesailah semua masalah. Masalah akhlak tidak boleh diselesaikan dengan kekuasaan politik.

Tentang kekuasaan negara, Allah SWT telah berjanji dalam ayat ini, “wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membantu (agama) Allah, maka Allah akan membantu kamu, dan mengukuhkan kaki-kaki kamu,” (Muhammad 47: 7).

Masalah asas yang sebenarnya adalah begini: parti politik memilih kuasa untuk melaksanakan hukum-hukum Islam melalui negara. Nabi Muhammad SAW pula berusaha memasyarakatkan Islam. Walaupun tidak berhajatkan kepada kekuasaan, baginda telah dikurniakan kekuasaan oleh Allah sehingga tertegaklah negara Islam Madinah. Nabi menghidupkan api (agama) untuk menerangi alam. Parti politik mencari cahaya untuk menghidupkan api, sedangkan cahaya tidak boleh didapati jika tidak dihidupkan api.

Nabi SAW bermula dari bawah, iaitu individu kepada negara. Parti politik bermula daripada negara kepada individu. Maksudnya, parti politik mahu melaksanakan Islam dengan mengambilalih negara. Tapi bagaimana negara Islam akan terbina jika individu-individunya tidak berkualiti Islam? Ia hanya akan tinggal nama sahaja sebagai negara Islam, tetapi rakyatnya tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.

Parti politik boleh berhujah yang mereka juga berdakwah untuk memenangi rakyat. Tetapi kerana mereka lebih mengutamakan tujuan membina negara Islam, mereka sesat jalan dan terperangkap dalam tong najis demokrasi tajaan dan anjuran Yahudi dan Nasara. Tangan kanan Yahudi dan Nasara mempromosikan sistem demokrasi, tangan kiri pula mendakwah seluruh umat manusia mengikuti agama (budaya hidup) mereka melalui setiap aspek kehidupan. Maka majoriti yang terperangkap dalam lubang biawak Yahudi dan Nasara inilah yang akan memenangkan pemimpin berakhlak seperti mereka.

Itulah demokrasi. Suatu hukum alam yang memenangkan pihak majoriti.

Kenyataannya: Nabi Muhammad SAW mengubah akhlak masyarakat tanpa menubuhkan parti atau menyertai suku-suku kaum tertentu. Baginda menyatukan semua parti (suku-suku kaum) dengan dakwah Islam. Politikus boleh menguatkuasakan undang-undang, tetapi ia tidak dapat menahan rakyat dari melanggar undang-undang tersebut.

Walaupun Islam itu suatu sistem hidup yang syumul dan menyeluruh, tetapi politik dalam Islam bukanlah politik yang berlandaskan sistem demokrasi, iaitu menurut suara majoriti. Politik Islam adalah dakwah, tabligh, menyampaikan seruan agama dan mengajak manusia kepada ketaatan kepada perintah Allah SWT, kerana jika rakyat mentaati perintah Allah SWT akan tegaklah negara seperti Madinah, negara Islam contoh dalam sejarah.

Bahkan politik yang paling agung adalah mengajak dan menyeru umat manusia kepada kebesaran Allah SWT.