Khamis, 9 Februari 2017
Politik Dan Agama Mengikut Perspektif Islam
Kemunculan teori pemisahan politik daripada agama dalam masyarakat Islam adalah perkara yang terkeluar daripada ajaran Islam yang sebenar. Mereka yang menimbulkan perkara ini sebenarnya bertujuan mewujudkan fenomena menghalang kebangkitan semula "Negara Kuasa Besar Islam", yang berjaya membebaskan dunia dengan makna kemerdekaan yang hakiki. Kedaulatan wilayah Islam didirikan Rasulullah S.A.W adalah petunjuk Allah dalam ilmu politik, ia wajib diimani dan diamal oleh masyarakat Islam, lebih kuat lagi apabila sistem tersebut terbukti berjaya membebaskan masyarakat Arab daripada belenggu jahiliyyah yang sesat, zalim dan ganas.
Selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, negara Islam ditegakkan oleh para sahabat dan tabi'en berjaya menumbangkan kuasa besar Timur dan Barat yang berorientasikan penjajahan dan perhambaan. Kebenaran politik Islam terbukti lagi apabila keseluruhan penduduk bumi yang diperintah oleh Islam menjadi penganut Islam yang setia sehinggalah kepimpinan negara bergilir di kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam, tidak hanya di kalangan bangsa Arab sahaja.
Setelah negara Islam dijatuhkan dengan kehilangan khilafah, kuasa besar yang muncul selepasnya telah kembali kepada dasar jahiliyah baru yang diubahsuai dari semasa ke semasa. Negara tanah jajahan dikatakan merdeka daripada penjajahan asing dengan keluarnya penjajah dan diganti dengan sistem pemerintahan yang bersifat bangsa dan anak negeri, tetapi sebenarnya, ditukar kepada penjajahan pemikiran dengan penerusan ideologi dan sistem warisan peninggalan penjajah asing.
Semua keadaan ini memaksa negara dunia ketiga, khususnya negeri umat Islam terus disebut sedang membangun, tetapi tidak terbangun, oleh kerana dibelenggu penjajahan akal yang belum dirungkai dan terus bergantung dan berkait dengan negara yang pernah menjajah mereka dengan berbagai-bagai ikatan dan jalinan.
Kemunculan ideologi daripada sekularisme yang memisahkan urusan duniawi daripada agama dalam masyarakat Islam, khususnya aspek politik adalah warisan peninggalan penjajah dan termasuk dalam agenda barat yang menghalang kemunculan semula pemerintahan Islam yang sebenarnya menjadi penyelamat manusia sejagat.
Kuasa besar dunia hari ini menganggap Islam menjadi penghalang cita-cita mereka bagi menguasai dunia secara penjajahan di atas nama hak asasi dan kebebasan, dengan penguasaan terhadap sesama manusia dan sumber kehidupan mereka secara sebelah pihak dan berkisar di kalangan bangsa dan golongan tertentu sahaja. Keadaan yang ada menjadikan seluruh dunia terkeluar dari landasan hidup bermasyarakat yang menjadi ikutan sejagat, hilangnya tanggungjawab kemanusiaan yang wajib seperti tolong menolong dan berlaku adil terhadap semua umat manusia.
Apa yang dikatakan hak asasi manusia dan kebebasan hanya lah menjadi topeng godaan golongan yang kuat (autokrat) terhadap golongan yang lemah dan istilah kepada ungkapan "new world order" atau order baharu dunia sebenarnya adalah "penjajahan baru".
Malangnya, apabila sikap negatif terhadap politik sengaja diwujudkan dalam masyarakat Islam, sehingga lahirnya ungkapan sesat yang membuat kenyataan, bahawa semua urusan politik adalah kotor dan jijik, difahamkan ia termasuk juga politik Islam. Persepsi songsang ini ditimbulkan supaya umat Islam berpeluk tubuh menerima siapa sahaja yang memerintah, sehingga menerima siapa sahaja yang menjajah, asalkan bebas beribadat dan beradat, hanya cukup sekadar ini.
Kedudukan sikap acuh tidak acuh seperti itu menyebabkan Islam yang mulia tidak memimpin tetapi dipimpin atau dalam istilah popularnya "diperkudakan", tidak memerintah tetapi diperintah. Maka berlakulah kehinaan terhadap penganut Islam dan umatnya, sehingga diratah laksana makanan yang dikelilingi oleh para pelahap yang rakus.
Kewajipan menegakkan negara dalam syariat Islam dihilangkan, menyebabkan hukum-hukum Islam daripada Ilmu Allah, Kalam-Nya dan teladan daripada Rasulullah S.A.W disia-siakan bahkan ada yang dihina.
Cahaya Islam tidak boleh dipadamkan oleh sesiapa, walaupun diusahakan oleh mereka yang bersifat "kuasa besar", kerana ia datang dari Allah Azza wa Jalla Tuhan Yang Maha Esa. Pencipta Alam, Tuhan Yang Maha Perkasa Lagi Bijaksana. Kita wajib menjadikan cahaya Islam ini petunjuk ke jalan yang benar, mengambil dan menimba daripada petunjuk-Nya yang terpelihara di dalam al-Quran yang teguh dan kuat.
Sebelum kita meninjau dengan lebih jauh perbincangan tajuk ini, "Politik" dan "Islam" tidak difahami dengan sahih, sekiranya kita tidak memahami apakah takrif politik dan takrif Islam yang sebenarnya kerana Islam yang datang daripada Allah dan Rasul yang dipilih sendiri oleh Allah bagi menyampaikan Islam kepada manusia, hendaklah menjadi sumber yang asasi, supaya dapat dibezakan Islam dengan agama lain, serta dapat memahami apakah kedudukan politik dan amalannya mengikut ajaran Islam.
Khusus bagi orang-orang yang beriman dilarang sekeras-kerasnya mencela mana-mana ajaran Islam, termasuk juga politik Islam kerana semua ajaran ini berkait dengan iman dan Islamnya seseorang.
Tulisan ini menjelaskan tajuk khusus berkenaan politik dan hubungannya dengan agama mengikut perspektif Islam, penjelasan daripada al-Quran dan hadis dengan huraian oleh para ulama yang muktabar dikalangan salaf dan khalaf, kalangan yang benar-benar menerima pusaka Ilmu daripada para Nabi dengan benar, amanah dan ikhlas. Mudah-mudahan usaha yang kecil ini dapat membebaskan daripada belenggu kejahilan umat dan kelemahan ulama yang melanda umat Islam.
Perlu diketahui bahawa Islam mempunyai batas sempadan dengan ajaran yang lain, terpelihara daripada sebarang penyelewengan dengan jaminan Allah, ia tidak mampu dinodai oleh ajaran lain, samada yang dinamakan agama atau ideologi. Mereka yang cuba mengheret Islam daripada landasannya yang kukuh akan terpelanting ke dalam kebinasaan dunia dan celaka di akhirat, walaupun dia pemimpin yang berkuasa atau ulama yang berijazah tinggi.
Islam tetap memuliakan akal dan ilmu yang membezakan manusia dengan makhluk yang lain, tetapi hendaklah diakui manusia, ilmu dan akalnya tetap bersifat makhluk yang dibebani kelemahan yang mewajibkan mereka merujuk petunjuk dan memohon pertolongan Allah. Ketahuilah bahawa manusia yang bersifat seperti iblis yang sombong, bongkak, angkuh dan enggan menyedari dia adalah makhluk yang lemah, tidak layak mendapat hidayah daripada Allah.
Takrif Politik
Perkataan politik berasal daripada bahasa latin, seterusnya diterjemahkan dengan perkataan yang sama dalam pelbagai bahasa dunia, samada bahasa Barat atau Timur. Makna dan maksudnya ialah mentadbir, memerintah, memimpin dan mengendalikan urusan.
Dalam bahasa Arab ia disebut dengan perkataan siyasah, daripada perkataan - sasa, yasusu, siyasatan -. Disebut dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Kaum Bani Israil di zaman dahulu yang menjadi pemimpin siyasah mereka ialah para Nabi, setiap orang Nabi yang dimatikan diganti oleh Nabi selepasnya, tiada lagi Nabi selepasku, akan ada para khalifah (pemimpin yang memerintah), mereka itu ramai. Para sahabat bertanya: apakah perintah (pesanan) Rasulullah terhadap kami? Sabdanya: tunaikan bai’ah (ikrar taat setia) dengan keutamaan yang pertama dan berikutnya. Berikan hak mereka kepada mereka, sesungguhnya Allah akan menyoal mereka berkenaan urusan kepimpinan yang diminta supaya mereka menunaikannya.”
Perkataan siyasah tidak disebut di dalam al-Quran, tetapi maksudnya termasuk dalam perkara yang dinaskan secara nyata, para ulama menegaskan ia termasuk dalam maksud perkataan "khilafah" yang dinyatakan al-Quran, yang menjadi salah satu daripada tujuan manusia dicipta oleh Allah Taala.
Firman Allah Taala :
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi. Mereka (Malaikat) lalu berkata; Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu mereka yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman; Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Al-Baqarah:30)
Para ulama seperti al-Mawardi di dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Ibn Khaldun di dalam kitabnya Al-Muqaddimah, Abu Ya'la dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, mereka masing-masing meletakkan siyasah (politik) dalam kewajipan Khilafah dan Imamah :
“Tugas imamah (kepimpinan negara) itu diwujudkan bagi melaksanakan kewajipan khilafah yang pernah dilakukan oleh kenabian bagi memelihara agama dan siyasah (politik) mentadbir urusan keduniaan. Bagi melaksanakannya, hukumnya wajib dengan Ijma’(para ulama).”
Urusan politik termasuk dalam perkara ilmu feqah dengan bab dan fasal serta furu’nya. Ada juga kalangan ulama menulis secara khusus dengan nama imamah, atau ahkam sultaniyyah atau siyasah syar’iyyah. Kesemua aspek ini tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain. Ibnu Ato'illah as-Sakandari menyebut dalam mukadimah kitab al-Hikam (kitab yang terkenal dalam ilmu tasawwuf), menaqalkan kata-kata Imam Malik :
“Sesiapa yang bertasawwuf dalam keadaan tidak memahami ilmu feqah, maka sesungguhnya dia menjadi zindiq (ajaran sesat yang menyeleweng aqidahnya) dan sesiapa yang mendalami feqah dalam keadaan tidak mengambil kira ilmu tasawwuf maka dia menjadi fasiq dan sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya maka dia berada dalam keadaan yang benar.”
Takrif Agama
Perkataan agama dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa sanskrit, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Barat dengan perkataan religion. Dihuraikan dengan makna ajaran dan kepercayaan yang berkait dengan ketuhanan dan aspek yang berhubung dengannya seperti ibadat dan akhlak atau kepercayaan kepada yang maha berkuasa dan perkara yang ada hubungan dengannya dari segi ibadat.
Islam bermaksud yang lebih luas daripada perkataan agama atau "religion". Al-Quran menyatakan ia adalah daripada maksud perkataan al-din. Firman Allah Taala :
“Sesungguhnya agama dan cara hidup (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Dan tidaklah menjadi pertelingkahan dikalangan penganut agama kitab melainkan setelah datang kepada mereka ilmu (yang benar daripada Allah) kerana sikap melampau kalangan mereka, dan sesiapa yang kufur (ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah itu sangat segera hisabnya.” (Ali-Imran:19)
Walaupun diterjemahkan dengan perkataan agama, tetapi Islam memberi makna yang lebih luas daripada perkataan agama, mengikut bahasa yang lain kerana ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan diajar serta ditunjuk cara pelaksanaan oleh Rasulullah S.A.W merangkumi aspek yang tercakup di dalamnya ajaran yang berhubung dengan ketuhanan dan cara hidup yang menyeluruh mengikut fitrah kejadian manusia. Firman Allah :
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Din Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) Din yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Ar-Rum:30)
Fitrah ialah naluri atau sifat semula jadi manusia, berjasad, ruh, ananiyyah (individualistik), madani atau hadari (bermasyarakat dan bertamadun). Dengan sifat ini mereka layak beribadah, berkhalifah dan beramanah. Maka Allah menugaskan mereka dengan panduan ajaran Allah yang dinamakan al-din yang menetapkan arahan dan peraturan dalam semua perkara yang menjadi fitrah itu dan mereka wajib akur secara menyerah dan tunduk yang diringkaskan dengan perkataan Islam.
Dengan huraian tersebut menunjukkan bahawa Islam yang di sebut Din itu lebih luas daripada takrif agama, lebih luas daripada tafsiran agama mengikut bahasa yang lain daripada bahasa al-Quran (bahasa Arab).
Ajaran Islam itu bukan sahaja dalam perkara hubungan manusia dengan Tuhan dalam aspek ibadah dan perkara akhlak, bahkan menyatakan cara hubungan manusia dengan dirinya dari segi ruh dan jasad, individu, keluarga dan masyarakat, hubungan dengan makhluk yang lain, samada yang berkait secara langsung bagi keperluan diri manusia atau tidak langsung, sehingga melibatkan seluruh alam semesta, yang nyata dan ghaib serta berwawasan daripada dunia sehingga akhirat.
Rasulullah S.A.W menghuraikannya apabila disoal oleh Malaikat Jibril dengan tiga bahagian, iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Para ulama menterjemahkannya dengan aqidah, syariat dan akhlak. Perkara aqidah menjadi perbincangan ilmu usul al-din atau aqidah atau tauhid. Perkara syariat menjadi perbincangan ilmu feqah dan perkara akhlak menjadi perbincangan ilmu tasawwuf. Sehinggalah perkara asas dalam tiap-tiap aspek ini menjadi fardu ‘ain yang diwajibkan ke atas setiap penganut Islam Islam lelaki dan wanita yang mukallaf.
Islam Risalah Semua Para Rasul
Semua Rasul S.A.W yang dilantik oleh Allah menganut Islam dengan maksud al-Din. Firman Allah Taala :
“Ketika Tuhannya berfirman kepadanya; Tunduk patuhlah! (yakni Islam). Lantas Ibrahim menjawab; Aku tunduk patuh (Islam) kepada Tuhan semesta alam.”
“Dan Ibrahim telah mewasiatkan dengan perkara itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata); Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ajaran ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk Islam.” (Al-Baqarah:131-132)
Firman Allah lagi :
“Adakah kamu hadir ketika Ya’qub didatangi (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya; Apa yang kamu sembah sepeninggalanku? Mereka menjawab; Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (iaitu) Tuhan yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya (Islam).” (Al-Baqarah:133)
Firman Allah lagi :
“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dia telah memilih kamu dan sekali-kali Dia tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) ajaran orang tuamu Ibrahim, dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah, dia adalah Pelindungmu, maka dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.” (Al-Hajj:78)
Perkataan agama dipakai kepada Islam hanya satu pendekatan untuk memudah faham, tetapi perlu kepada huraian yang lain supaya difahami dengan betul dan sahih bahawa Islam itu berbeza daripada takrif agama dan ajaran yang lain.
Hubungan Politik Dengan Agama
Keseluruhan agama yang lain daripada Islam, samada agama samawi yang telah diubah daripada ajaran para Rasul atau agama ciptaan manusia sendiri atau ideologi politik ciptaan manusia juga, menegaskan bahawa politik tidak ada hubungan dengan agama. Dengan maksud perkara politik tiada kaitan dengan agama dan ia berasingan daripada agama, maka dalam urusan politik manusia boleh mencipta dengan akal dan ilmu sendiri tanpa bergantung kepada agama.
Adapun teori politik ciptaan manusia pula tidak ada kaitan dengan agama dan agama tidak boleh menguasainya. Ada juga kalangan yang mengaitkan politik dengan agama tetapi agama tidak boleh mengatasi keputusan politik.
Dalam masyarakat Barat yang menganut agama kristian secara jelas mengisytiharkan pegangan mereka kepada fahaman yang dinamakan sekularisme yang memisahkan politik daripada urusan agama, sehingga ada negara menjadikannya prinsip perlembagaan yang dipertahankan.
Sebahagian mereka menidakkan agama dalam perlembagaan dan ada yang mengumum agama rasmi ataupun agama negara tetapi dengan kuasa yang terbatas. Maka lahirlah di kalangan mereka ideologi dan teori politik yang jelas, samada mengharamkan agama secara mutlak seperti komunisme yang didokong oleh Karl Marx dan pengikutnya, atau membenarkan agama dianut secara bebas, tetapi politik dibebaska daripada agama seperti yang diamalkan dalam negara liberal demokrasi.
Apabila Barat menjadi kuasa besar dunia, maka fahaman ini mempengaruhi masyarakat antarabangsa yang menganut berbagai agama. Malangnya kalangan umat Islam juga terpengaruh denganya samada secara jahil atau mencari jalan mudah untuk bebas daripada tekanan politik globalisasi.
Petikan Asal
http://www.tarbawi.my/2013/03/politik-dan-agama-mengikut-perspektif.html