Rabu, 6 April 2016
IGP sahkan Rafizi ditahan di bawah OSA
Dia tinggalkan jawatan korporat yang selesa serta bergaji lebih tinggi daripada gajinya sekarang untuk membela rakyat. Kini dia ditahan polis pun kerana isu berkenaan pembelaan rakyat. Semoga YB Rafizi dilindungi Allah dan semuanya didalam keadaan selamat.
YB Rafizi: Saya mendapat tahu ada 3 siasatan polis serentak ke atas saya: pendedahan saya mengenai Tabung Haji, pendedahan saya mengenai bayaran pencen yang lambat dan siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Hari ini juga saya dimaklum ada satu lagi laporan polis terhadap saya oleh Ali Tinju.
Maknanya ada 4 siasatan baru di samping lebih 10 siasatan sedia ada oleh pihak Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) Jika setiap satu siasatan menggunakan 4 orang polis, maka ada 16 anggota polis yang tugasnya menyiasat saya.
Kalaulah 16 orang anggota polis ini digunakan untuk memberkas pencuri, perompak, pembunuh dan lain-lain, bukankah lebih baik?
Saya juga dimaklumkan akan disaman oleh LTAT berikutan pendedahan saya mengenai bayaran caruman yang tertunggak; padahal jawapan Pengerusi LTAT mengiyakan bahawa memang berlaku kelambatan pembayaran (saya akan mengeluarkan kenyataan akhbar esok mengenai perkara ini).
Termasuk yang ini, saya sudah melalui lebih 8 saman.
Saya akan terus lalui saman-saman oleh sang penguasa sebegini. Cuma saya cabar CEO LTAT, Lodin Wok Kamaruddin dan Pengerusi LTAT, Anwar Mohd Noor menyaman saya atas kapasiti peribadi dan tidak menggunakan satu sen pun duit caruman anggota tentera di dalam LTAT.
Saya akan terus lawan.
IGP sahkan Rafizi ditahan di bawah OSA .
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
“Sahkan bahawa YB Rafizi Ramli telah ditahan sebentar tadi, di luar bangunan Parlimen dan akan disiasat di bawah Sect 8 OSA,” tulis Khalid di twitter.
Akta Rahsia Rasmi adalah akta yang diwujudkan khusus untuk mengelakkan kebocoran rahsia rasmi yang "memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara".
Seseorang yang didapati bersalah di bawah Seksyen 8 (1) dan (2) OSA boleh dipenjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun.
Rafizi ditahan dipercayai kerana mendedahkan dokumen Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendakwa ia membuktikan hubungan antara 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Pendedahan maklumat sulit itu diklasifikasikan sebagai OSA 1972.
Dakwanya, kaitan itu mungkin menjejaskan keupayaan LTAT untuk membayar pampasan atau gratuiti kepada veteran tentera yang telah bersara.
Malaysiakini tidak memiliki dokumen itu dan tidak melaporkan penjelasan lanjut Rafizi pada sidang medianya kerana kekangan undang-undang.
Khalid yang memberi respon perkara itu berkata sekiranya terbukti bahawa dokumen tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia, polis juga akan menyiasat pihak yang membocorkannya.
Rafizi turut menyatakan kesediaan direman kerana mendedahkan dokumen bawah OSA dengan syarat Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy turut berdepan hukuman sama sama.
Anggota Parlimen Pandan itu turut mendesak Khalid memberi jaminan tersebut kepadanya.
Selain Rafizi, ahli PAC dan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua juga adalah pengkritik lantang 1MDB, yang merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
1MDB, bagaimanapun, mendakwa tuduhan terhadap firma itu adalah bermotifkan politik.