Jumaat, 15 Januari 2016
KESAN-KESAN NEGATIF TPPA KEPADA MALAYSIA - Oleh: Professor Dr Agus Yusoff
SAYA menerima banyak permintaan dari sahabat supaya menulis tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement yang akan ditandatangani pada Oktober nanti. Pada mulanya saya tidak mahu menulis tentang isu ini kerana mahu serahkan kepada pakar ekonomi untuk menulis mengenainya. Tetapi apabila tidak ada ulasan yang saya harapkan, maka saya menulis juga untuk memberi pencerahan kepada kawan-kawan supaya kita semua tahu tentang inti Perjanjian ini dan kesannya kepada kita.
TPPA adalah perjanjian multilateral terikat yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. TPPA ini alah tentang liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka sesuai dengan konsep globalisasi.
Masalahnya dengan TPPA ini ialah semua perbincangannya dibuat secara rahsia dan semua teks perbincangan adalah rahsia sehinggalah selepas empat tahun perjanjian dimeterai. Ini bermakna perjanjian TPPA ini meletakkan rakyat dalam kegelapan, sesuatu yang cukup pelik dalam sebuah dunia terbuka tanpa sempadan.
Apabila ditanya mengapa dirahsiakan, jawapan kerajaan adalah standard: Perjanjian ini baik untuk negara kerana memudahkan barangan kita untuk memasuki pasaran luar. Persoalannya, jika TPPA begitu bermanfaat, mengapa teks perjanjian yang sedang dirundingkan tidak dibentangkan untuk pengetahuan umum? Mengapa perlu berahsia?
Saya tanyakan hal di atas kerana terdapat beberapa klausa dalam TPPA ini yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada rakyat dan negara dan cukup membimbangkan saya. Untuk maklumat ringkas, di bawah ini saya perturunkan beberapa kesan negatif yang perlu sangat kita ketahui:
i. Hampir 80% harga ubat akan menjadi mahal, sehingga mencecah 1000% dari harga sekarang. Ini kerana ubat generik yang lebih murah tidak boleh dijual lagi kerana Malaysia terikat menggunakan ubat patented (asli) yang dihasilkan syarikat famarkeutikal dari luar negara. Kesannya akan menyukarkan pesakit berpendapatan rendah dan sederhana kerana kos untuk mendapatkan ubatan menjadi sangat tinggi. Bayangkan jika seorang guru menghidap penyakit barah yang memerlukan ubat bernilai RM7000 sebulan, mampukah mereka untuk membayar kos perubatan semahal itu? Apakah nasib ramai rakyat di negara kita nanti?
ii. Syarikat gergasi akan bebas berniaga di negara kita menyebabkan usahawan-usahawan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi dari luar negara. Ini seolah-olah meletakkan kepentingan syarikat asing mengatasi kepentingan rakyat kita. Ini juga seperti memberi kuasa kepada negara maju seperti AS, Singapura dan Australia untuk mencereboh ekonomi negara kita.
iii. Kerajaan boleh disaman oleh pelabur luar di tribunal antarabangsa yang berpangkalan di Washington dan Geneva jika terdapat dasar-dasar kerajaan yang boleh merugikan hak pelabur luar dan menghalang aktiviti perdagangan mereka. Ini tentunya menjejaskan bidang kuasa kerajaan dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.
iv. Petani kita terpaksa bersaing dengan hasil pertanian luar negara. Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari AS yang menerima subsidi yang tinggi dipasarkan di negara ini. Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai.
v. TPPA juga menyebabkan bidang pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain terpaksa berhadapan dengan persaingan pasaran terbuka. Mampukah industri perkhidmatan kita berhadapan dengan kemasukan syarikat gergasi ini?
vi. TPPA melanjutkan perlindungan hakcipta bahan-bahan rujukan dari 50 tahun selepas kematian penerbit kepada 120 tahun. Ini bermakna segala bahan-bahan rujukan yang kini percuma dan telah didigitalkan akan menjadi terhad kepada pengguna. Ini juga bermakna segala bahan rujukan wajib dibeli atau wajib dibayar sewa, sekaligus menghadkan kemudahan ilmu kepada rakyat yang kurang mampu.
Justeru implikasi TPPA ini besar kepada rakyat dan negara, maka saya merayu supaya kerajaan mengambil tindakan berikut terlebih dahulu sebelum memetarai perjanjian ini. Antaranya:
i. Menangguhkan perundingan TPPA sehingga segala teks mengenainya didedahkan kepada rakyat untuk mendapatkan maklumbalas. Rakyat berhak tahu dan diberi hak memberi pandangan kerana perjanjian ini melibatkan kualiti hidup mereka.
ii. Ahli parlimen perlu diberi pencerahan dan perlu membahaskan baik buruk Perjanjian ini. Semasa membahaskan hal ini, ahli parlimen perlulah melihat Perjanjian ini dari aspek kebaikannya untuk rakyat dan negara, bukannya berterusan terikat kepada kepentingan parti.
iii. Kerajaan mesti menolak status layanan tempatan yang perlu diberikan kepada syarikat gergasi luar.
Saya akui TPPA ini ada baiknya untuk negara kerana kita bergantung kepada kemasukan pelaburan luar untuk memacu ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kesan perjanjian ini, saya dapati perundingan TPPA ini perlu disemak semula dengan teliti oleh kerajaan kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat. Sekiranya kerajaan mendapati keburukannya lebih banyak dari kebaikan, maka masih belum terlewat untuk kita menarik diri daripada Perjanjian ini.
Harapan saya cuma satu dari keputusan muktamad yang bakal diambil oleh kerajaan nanti: Jangan biarkan anak cucu kita tergadai melalui perjanjian yang bersifat globalisasi ini. Jangan biarkan menang sorak kampung tergadai.
Oleh: Professor Dr Agus Yusoff