Selasa, 2 Disember 2014

Larangan memakan binatang yang hanya memakan najis dan melarang pula dari mengambil susunya.

Haiwan yang memakan najis, bangkai dan benda-benda kotor yang lain disebut sebagai haiwan jallalah (الجلالة) iaitu penamaan bagi haiwan yang menjadikan najis atau benda-benda kotor sebagai makanannya yang utama atau itulah makanan yang dijamukan kepadanya oleh orang yang memeliharanya.

Di dalam hadis Ibn Umar ra, ada menyebut bahawa rasulullah SAW melarang umat Islam dari memakan binatang yang hanya memakan najis dan melarang pula dari mengambil susunya. (hadis riwayat Hakim dan Tirmidzi)

Para ulama berselisih pendapat dalam soal memakan haiwan yang berada dalam kategori jallalah ini. Ada yang mengharuskan memakannya seperti mazhab Maliki, ada yang menganggap perbuatan itu makruh seperti mazhab Syafi’ie dan Hanafi serta ada pula yang mengharamkan perbuatan memakannya seperti sebahagian ulama mazhab Hanabilah.

Syeikh Soleh Al-Utsaimin di dalam Syarh Al-Mumti’ menyebutkan bahawa apabila sesuatu binatang itu memakan kotoran maka ianya turut menjadi najis dan tidak boleh dimakan sehingga haiwan itu berubah memakan sesuatu yang bukan najis atau kotoran.

Syeikhul Islam Ibn taimiyyah ra menyebut : " Rasulullah SAW melarang meminum susu dari haiwan yang dijamu dengan benda najis atau kotoran tetapi jika haiwan itu ditahan buat beberapa waktu sehingga ia kembali memakan makanan bersih maka ianya akan menjadi halal dimakan kembali secara ijmak ulama Islam. (Lihat Majmuk Fatawa)

Oleh yang demikian, Ikan keli yang memakan babi sekalipun jika ianya telah ditukar menu makanan dan dijamu dengan makanan yang halal kembali maka hukumnya turut akan bertukar dan menjadi halal serta diperbolehkan untuk dimakan. Disini kita harus menyedari bahawa ikan keli itu sendiri secara asalnya ialah harus dan halal dimakan.

Hal ini berdasarkan kaedah fiqh yang disebut “ " الأصل في الأشياء الإباحةyang bermaksud asal sesuatu perkara itu ialah harus sehingga datang dalil yang mengharamkannya. Keharaman ikan keli atau haiwan yang memakan najis ini hanyalah terletak kepada perbuatannya yang memakan najis atau perkara-perkara kotor itu sehingga jika ianya diberhentikan maka keharamannya juga turut dicabut dan ditarik kembali.

Oleh itu tidak wajar ikan keli yang halal dan harus dimakan itu terus diharamkan dan dilarang kepada umat Islam sedangkan ianya dapat dibersihkan kembali dengan sekadar memberikannya makan makanan yang bersih dan baik.


Kemudiannya jika ikan keli itu telah bercampur dalam pasaran dan sukar untuk dikenal pasti oleh orang ramai akan yang mana satu yang halal dan yang mana pula yang haram maka hukum memakannya kembali menjadi halal dan dikekalkan berdasarkan hukum asalnya iaitu harus berdasarkan kaedah fiqh yang lain yang menyebut :” الأصل بقاء ماكان على ماكان” “Sesuatu yang asal itu kekal sebagaimana ia pada waktu asalnya.”

Ini disebabkan ikan keli pada asalnya ialah harus dan halal maka apabila kita tidak dapat memastikan yang mana satu ikan keli yang haram secara pasti dan yakin maka ianya akan kembali kepada hukum asalnya iaitu harus dan boleh dimakan tanpa ragu.

Bahkan di dalam sebuah hadis dari Abi Darda ra bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : “ Apa yang dihalalkan oleh Allah maka ianya halal dan apa yang diharamkan maka ianya haram dan apa-apa yang didiamkan tentangnya maka ianya dimaafkan. Maka terimalah apa yang dimaafkan oleh Allah kerana sesungguhnya Allah tidak pernah lupa akan sesuatu.”(Hadis diriwayatkan oleh Bazzar dan Tabarani)

Sesungguhnya Islam itu mudah dan tiadalah orang yang menyusahkannya melainkan mereka akan terperangkap dalam fitnah dan menyebabkan diri mereka dimurkai oleh Allah SWT dan jauh daripada mendapat rahmatNya.

Firman Allah SWT : “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah : 185)