Jumaat, 21 November 2014

Untuk membina pegangan yang kukuh dengan ajaran Islam iaitu Beriman kepada Allah dan Beristiqamah

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis baginda;

عن سفيانَ بن عبد اللّه رضي اللّه عنه قال: قلت: يا رسول اللّه! قل لي في الإِسلام قولاً لا أسألُ عنه أحداً غيرك، قال: "قُلْ آمَنْتُ باللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ"

Terjemahannya;

Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.; ‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’. (Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Dalam hadis tersebut ada dua perkara yang ditekankan oleh Rasulullah bagi membina pegangan yang kukuh dengan ajaran Islam iaitu;

1. Beriman kepada Allah

2. Istiqamah

Berkata al-Qadhi ‘Iyadh rhm; ‘Hadis ini antara ungkapan yang ringkas dan padat (Jawami’ul Kalim) dari Rasulullah s.a.w.. Sesungguhnya orang-orang yang berkata; Tuhan kami adalah Allah dan kemudian mereka beristiqamah yakni mereka mentauhidkan Allah dan beriman dengannya dan selepas itu mereka beristiqamah di mana mereka tidak berpaling dari tauhid dan senantiasalah mereka beriltizam menta’ati Allah S.W.T. hinggalah mereka menemui kematian di atas iman dan istiqamah tersebut’.

Menurut Imam al-Minawi dalam kitabnya “Faidhul Qadir”; seruan Rasulullah s.a.w. ‘Katakanlah; Aku beriman dengan Allah’, bermaksud; perbaharuilah iman kamu kepada Allah dengan menyebutnya dengan hati kamu serta menuturnya dengan lidah kamu dengan menghadirkan segala pengertian iman yang disyari’atkan. Adapun seruan baginda; ‘hendaklah kamu beristiqamah’ bermaksud; beriltizamlah mengerjakan amalan-amalan ketaatan dan menjauhi perkara-perkara yang bertentangan (dengan kehendak Allah).

Hadis ini mengumpulkan keseluruhan makna iman dan Islam merangkumi iktiqad, ucapan dan amali di mana Islam itu terangkum di dalamnya dua perkara iaitu;

a) Tauhid

b) Ta’at.

Tauhid terhasil dengan seruan pertama iaitu beriman dengan Allah). Sementara Ta’at terhasil dengan seruan kedua iaitu beritiqamah.

Iman

Iman dari segi bahasa bermakna at-Tasdiq iaitu membenarkan. Hakikat Iman ialah at-Tasdiq bil Qalbi iaitu membenarkan dengan hati segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w..

Namun oleh kerana apa yang ada dalam hati itu adalah tersembunyi, maka disyaratkan mengakui iman itu dengan lidah (yakni al-Iqrar bil Lisan) sebagai bukti di hadapan manusia bahawa seseorang itu beriman. Kemudian iman itu hendaklah diikuti dengan amalan anggota iaitulah menta’ati segala titah-perintah Allah dalam kehidupan.

Maka iman yang sempurna hendaklah merangkumi tiga unsur;

1. Iktiqad dengan hati iaitu at-Tasdiq

2. Pengakuan dengan lidah iaitu al-Iqrar

3. Beramal dengan anggota iaitu al-‘Amal

Pengertian iman tersebut menjadi iktiqad imam-imam ahli Sunnah Wal Jama’ah antaranya Imam as-Syafi’ie, Imam Malik, Imam Ahmad dan beberapa lagi yang mentakrifkan Iman sebagai;

تصديق بالجنان و إقرار باللسان و عمل بالأركان

“Membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan anggota badan”. (Syarah ‘Aqidah at-Thawiyyah, Imam Abil ‘Izzi al-Hanafi)

Namun harus difahami –untuk mengelakkan kekeliruan- bahawa ber’amal dengan anggota adalah syarat kesempurnaan iman. Ia melazimi iman itu sendiri. Maka tidak sempurna iman seseorang yang tidak beramal sebagaimana yang diperintahkan oleh Islam. Namun tidaklah ia terkeluar dari Islam selama mana masih ada keyakinan (at-tasdiq) dalam hatinya.

Menurut ulama’ ahli Sunnah Wal Jama’ah; seorang yang tunduk (membenarkan) dengan hatinya tetapi tidak beramal dengan Islam atau melakukan dosa-dosa besar, ia masih dianggap seorang muslim tetapi muslim yang ‘asi (derhaka) atau fasiq atau muznib (berdosa). Keadaannya di akhirat terserah kepada Allah sama ada ingin mengampunnya atau mengazabnya.

Tegasnya, apa yang ternafi dari orang-orang Islam yang melakukan maksiat ialah kesempurnaan iman (kamalul Iman), bukan asas iman (aslul Iman). Kerana itu mereka tidak dianggap sebagai kafir semata-mata kerana maksiat yang dilakukan.

Beriman kepada Allah

Beriman kepada Allah adalah teras kepada Aqidah Islam dan juga kepada ajaran Islam itu sendiri. Tidak diterima amalan hamba di sisi Allah tanpa didahului dengan beriman kepada Allah.

Tatkala Rasulullah s.a.w. menghantar Mu’az Ibn Jabal kepada kumpulan ahli Kitab untuk mengajak mereka kepada Islam, perkara pertama yang disuruh oleh Rasulullah ialah menyeru mereka supaya beriman dengan Allah, kemudian barulah menyeru mereka supaya menunaikan kewajipan-kewajipan yang difardhukan. Kata Rasulullah kepada beliau;

إنك تأتي قوماً من أهل الكتاب، فادعهم إلى شهادة أن لا إله إلا اللَّه وأني رسول اللَّه، فإن هم أطاعوا لذلك فأعلمهم أن اللَّه افترض عليهم خمس صلوات في كل يوم وليلة، فإن هم أطاعوا لذلك فأعلمهم أن اللَّه افترض عليهم صدقة تؤخذ من أغنيائهم فترد على فقرائهم، فإن هم أطاعوا لذلك فإياك وكرائم أموالهم، واتق دعوة المظلوم فإنه ليس بينها وبين اللَّه حجاب

“Wahai Mu’az. Sesungguhnya engkau akan pergi kepada satu kaum ahli Kitab. Maka hendaklah engkau seru mereka supaya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa aku (yakni Muhammad) adalah rasul Allah. Jika mereka mentaati seruan kamu itu, maka nyatakan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka mentaatinya, maka nyatakanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat yang dipungut dari orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang miskin di kalangan mereka. Jika mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu pelihara dirimu dari kehormatan harta-harta mereka. Berjaga-jagalah dari doa orang yang dizalimi kerana tidak ada hijab di antara doanya dengan Allah”.

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Pengertian beriman kepada Allah

Beriman kepada Allah bukan hanya dengan mengakui kewujudanNya, tetapi juga dengan mentauhidkannya iaitu mengakui keesaannya. Secara lebih terperinci, dapatlah kita nyatakan bahawa beriman kepada Allah tidak akan sempurna melainkan dengan merangkumi dua perkara iaitu;

1. Beriman wujudnya Allah

2. Mentauhidkan Allah

Beriman dengan kewujudan Allah

Iaitu meyakini adanya Allah berdasarkan dalil-dalil yang terang yang berupa Aqli (akal fikiran) dan juga Naqli (wahyu). Alam cakerawala ini dan segala isi di dalamnya semuanya menjadi dalil adanya Allah. Kerana itu, Allah memerintahkan manusia supaya sentiasa memerhatikan alam ini supaya mereka bertambah yakin akan hakikat kewujudan Allah Tuhan yang menciptakan mereka dan makhluk-makhluk selain mereka.

أَ فِي اللهِ شَكٌّ فَاْطِرِ السَّمَاْوَاْتِ وَ الأَرْضِ

"Apakah ada keragu-raguan terhadap Allah, pencipta langit dan bumi?". (Ibrahim: 10).

وَ الشَّمْسُ تَجْرِيْ لِمُسْتَقَرٍّ لَهَاْ ذَلِكَ تَقْدِيْرُ الْعَزِيْزِ الْعَلِيْمِ

“Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui”. (Ya Sin: 38)

أَمْ خُلِقُوْا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الْخَاْلِقُوْنَ ، أَمْ خَلَقُوْا السَّمَوَاتِ وَ الاَْرْضَ بَلْ لاَّْ يُوْقِنُوْنَ

“(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang menciptakan diri mereka sendiri? Adakah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu? Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya)”. (At-Thuur: 35-36).

Mentauhidkan Allah

Tauhid bermakna mengesakan. Mentauhidkan Allah bermakna mengesakan Allah sama ada dari segi zat, sifat dan perbuatannya. Firman Allah;

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ(1)اللَّهُ الصَّمَدُ(2)لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ(3)وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ(4)

“Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia”. (al-Ikhlas: 1-4)

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ(11)

“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia (yakni Allah), dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. (as-Syura: 11)

Kesempurnaan Tauhid itu hendaklah meliputi tiga perkara iaitu;

a) Mentauhidkan Allah dari segi Rububiyyah

Iaitu meyakini bahawa Allah sahajalah satu-satunya Tuhan Yang mencipta atau menjadikan alam ini, yang memilikinya, yang mengatur perjalanannya, yang menghidup dan mematikan, yang menurunkan rezki, yang berkuasa memberi manfaat dan memberi mudharat dan sebagainya. Firman Allah;

أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ(54)

“Ingatlah, bagiNya (yakni Allah) jualah urusan penciptaan dan segala urusan. Maha tinggi Allah, Tuhan semesta alam”. Al-A’raf: 54)

b) Mentauhidkan Allah dari segi Uluhiyyah

Iaitu mentauhidkan Allah dengan beribadah kepadanya. Hanya kepada Allahlah ditujukan segala pengabdian hamba. Termasuk dalam pengertian ibadah ialah;

I. Doa-doa dan permohonan

II. Mendirikan syi’ar-syi’ar agama seperti solat, puasa, sedekah, haji, nazar, sembelihan dan sebagainya.

III. Tunduk dan patuh kepada ajaran agama, menurut hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah.

Firman Allah;

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ(56)

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. (az-Zariyat: 56)

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ(5)

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan keta`atan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus”. (al-Bayyinah: 5)

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ(162)

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya shalatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”. (al-An’am: 162)

c) Mentauhidkan Allah pada nama-nama dan sifat-sifatNya

Iaitu meyakini dan mengakui segala nama dan sifat Allah secara ijmal dan tafsil menurut apa yang diberitahu di dalam al-Quran dan oleh Rasulullah s.a.w. di mana Allah mempunyai Asma’ al-Husna (nama-nama yang paling baik) dan segala sifat kesempurnaan dan maha suci Ia dari segala sifat kekurangan. Firman Allah;

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ(180) “Hanya milik Allah asma-ul husna (nama-nama yang terbaik), maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan”. (al-A’raf: 180)

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى(8)

“Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang baik)”. (Thaha: 8)

Di antara nama-nama Allah ialah yang terkandung dalam firmanNya;

هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ(23) هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ(24)

“Dia-lah Allah Yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengaruniakan keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala keagungan, Maha Suci, Allah dari apa yang mereka persekutukan. Dia-lah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Nama-Nama Yang Paling baik. Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (al-Hasyr: 23)

Di antara sifat-sifat Allah ialah hidup, mendengar, mengetahui, berkehendak dan berkuasa sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-firmanNya;

وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ

“Dan bertawakkallah kepada Allah Yang Hidup (Kekal) Yang tidak mati…”. (al-Furqan: 58)

إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ(181)

“Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (al-Baqarah: 181)

إِنَّ رَبَّكَ فَعَّالٌ لِمَا يُرِيدُ(107)

“Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki”. (Hud: 107)

إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ(20)

“Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu”. (al-Baqarah: 20)

Syirik

Lawan kepada Tauhid ialah Syirik. Syirik bermaksud menyengutukan Allah sama ada dari segi RububiyyahNya, UluhiyyahNya atau al-asma’ Wa SifatNya. Syirik merupakan antara dosa paling besar yang disabdakan Rasulullah s.a.w.;

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَوْلُ الزُّورِ أَوْ قَالَ وَشَهَادَةُ الزُّورِ

“Dosa-dosa paling besar ialah; 1. Mensyirikkan Allah

2. Membunuh manusia

3. Menderhakai dua ibu-bapa

4. Memberi kesaksian palsu/dusta”.

(Hadis riwayat Imam Bukhari dari Anas r.a.)

Bahkan orang yang mati dalam keadaan mensyirikkan Allah sekali-kali tidak akan mendapat keampunan Allah di akhirat sebagaimana firmanNya;

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا(48)

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar”. (an-Nisa’: 48)

Luqman dalam wasiatnya kepada anaknya telah berpesan;

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَابُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ(13)

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”. (Luqman: 13)

Istiqamah

Setelah diperintahkan supaya beriman sepenuh hati kepada Allah, kita diperintahkan pula beristiqamah. Arahan supaya istiqamah ini terkandung juga di dalam al-Quran di mana Allah berfirman;

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ(112)

“Maka beristiqamahlah kamu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”. (Hud: 112)

Maksud Istiqamah ialah tetap dan teguh di atas jalan yang benar iaitu jalan Islam. Menurut Imam al-Minawi dalam kitabnya “Faidhul Qadir”; Istiqamah bermaksud tunduk-patuh kepada segala yang diperintahkan dan menjauhi segala tegahan. Ada ulama’ yang mentakrifkan istiqamah sebagai; berterusan beramal dengan sunnah Nabi Muhammad s.aw. dan berakhlak dengan akhlak yang diredhai (Allah). Ada yang mentakrifnya sebagai; mengikuti (sunnah Nabi s.a.w.) dan meninggalkan bid’ah. Ada juga mengertikannya dengan; meletakkan diri di atas akhlak al-Quran dan as-Sunnah.

Untuk terhasilnya Istiqamah seseorang itu tidak dapat tidak mestilah berpegang-teguh dengan kitab Allah dan sunnah NabiNya. Dua sumber inilah yang berupaya mengikat manusia agar sentiasa berada di atas jalan yang benar. Selagi manusia berpegang teguh dengan al-Quran dan juga sunnah Nabi, selagi itulah ia dijamin oleh Rasulullah s.a.w. akan bebas dari penyelewengan dan kesesatan. Sabda Rasulullah s.a.w.;

يا أيها الناس، إني قد تركت فيكم ما إن اعتصمتم به فلن تضلوا أبدا: كتاب الله، وسنة نبيه

“Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas)

Rujukan dan bacaan

1. Syarh al-‘Aqidah at-Thahawiyyah, al-Imam Ibn Abil ‘Izzi al-Hanafi, cet. al-Maktab al-Islami, Beirut, Lubnan (1984)

2. Faidhul Qadir Syarh al-Jami’ as-Saghir, al-Imam al-‘Allamah al-Minawi, cet. Dar al-Fikri (tanpa tahun).

3. Syarah al-‘Aqidah at-Thawiyyah, susunan Abdul Halim Ahmad, keluaran Markas Khidmatul Mujtama’ al-Kuliyyah al-Islamiyyah, Yala (Thailand) (2000).

4. Syarah al-‘Aqidah at-Thahawiyyah (jawi), Syeikh ‘Abdul Qadir Ibn ‘Abdil Muthallib al-Mandili, cet. Mathba’ah al-Anwar, Mesir (1961)

5. Beriman kepada Allah, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, cet. Pustaka Aman Press, Sdn. Bhd., Kota Baharu, Kelantan (1991).

6. Tafsir al-Qurthubi, Imam al-Qurthubi (CD al-Quran al-Karim terbitan syarikat as-Sakhr, Mesir, versi 6.50/1997).

7. Tafsir al-Quran al-‘Adziem, Imam Ibnu Kathir, cet. Dar al-Hadith (1991).

و بالله التوفيق و السداد




Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL