Khamis, 29 Mei 2014

HUDUD - HIKMAH DAN KEADILANNYA OLEH: USTAZ MOKHTAR SENIK


HUDUD - HIKMAH DAN KEADILANNYA OLEH: USTAZ MOKHTAR SENIK

Allah SWT telah membekalkan kita dengan buku panduan yang dinamakan Al-Quran Al-Karim sebagai rujukan dan panduan dalam mengurus dan mentadbir kehidupan di muka bumi ini. Jika manusia dan alam yang complicated ini tidak dipandu dengan Al-Quran, maka akan rosak binasalah kehidupan ini.

Mengenai fungsi Al-Quran ini, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 1-2 yang bermaksud

‘Alif Laam Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa’.

Al-Quran diturunkan Allah SWT bukanlah sekadar untuk dibaca ketika berlakunya kematian atau sebagai pembuka majlis tertentu sahaja, tetapi rujukan dalam menyelesaikan sebarang konflik dalam kehidupan manusia. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa’, ayat 59 yang bermaksud:

‘Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya’.

Sebagai muslim, beriman kepada Al-Quran adalah wajib, kerana ia merupakan rukun Iman yang ketiga. Begitulah juga beramal dengan isi kandungannya, ia adalah wajib keatas orang Islam. Manakala tidak percaya kepada Al-Quran dan menolak hukum yang terkandung didalamnya adalah merupakan satu tidakan yang merosakkan Iman dan perbuatan tersebut boleh mengeluarkan seseorang daripada Islam. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa’, ayat 105  yang bermaksud:

‘Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat’.

Dalam surah Al-Maaidah ayat 44, Allah SWT telah mengecam mereka yang tidak mahu berhukum dengan Al-Quran sebagai mana firmannya yang bermaksud:

‘…dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir’.

Melihat kepada masalah yang melanda umat Islam hari ini, sama ada dari keruntuhan nilai murni, peningkatan kadar jenayah, kekeliruan dalam hukum syariah, pertelingkahan politik yang berpanjangan dan terhakisnya kasih sayang sesama umat Islam, kesemuanya membuktikan semakin larinya kita dari penghayatan kepada Al-Quran.

Sudah banyak jalan penyelesaian yang berasaskan ideologi ciptaan manusia yang digunakan, namun masalah terus menigkat. Ambil sahaja contoh kadar jenayah pembunuhan yang berlaku. Saban hari kita dilaporkan oleh media mengenai pembunuhan yang semakin kejam berlaku dimana-mana. Meskipun pengawal keselamatan bertambah dan hukuman juga semakin berat, namun jenayah semakin berleluasa. Situasi ini memberi isyarat bahawa sistem ciptaan akal manusia tidak berkesan dalam mengatur kehidupan manusia. Oleh itu, mengapa kita tidak kembali kepada Al-Quran yang secara jelas menerangkan cara penyelesaian kepada kemelut kehidupan manusia seperti pembunuhan, rompakan, perzinaan dan sebagainya? Apakah kita menganggap masih belum sampai waktunya kembali kepada hukum Al-Quran atau kita merasakan Al-Quran tidak sesuai dipraktikkan pada zaman ini?

Beberapa bulan yang lalu, wujud perdebatan hangat mengenai perlaksanaan hukum-hukum yang terkandung dalam Al-Quran. Meskipun ia boleh mendedahkan pertikaian golongan bukan Islam dan mereka yang jahil terhadap Al-Quran, namun sebaliknya ia telah memberikan kesan positif kepada tahap kefahaman masyarakat mengenai kebaikan sesuatu hukum yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran. Kini banyak pihak yang mula mempelajari dan mengkaji hukum-hukum Al-Quran dan kita doakan supaya tercetus keinsafan kepada mereka bahawa tiada panduan terbaik bagi mengatur kehidupan manusia melainkan Al-Quran Al-Karim. Sebagai umat Islam, tidak seharusnya kita merasa rugi terhadap segala perintah yang terkandung dalam Al-Quran sama ada berkaitan dengan solat, zakat, haji, puasa, menutup aurat, muamalat, hudud, qisas dan sebagainya. Tanggungjawab kita adalah melaksanakan dan bukan mempersoalkannya.

Sebagai seorang muslim kita haruslah sedar bahawa kita mempunyai tanggungjawab besar terhadap Al-Quran Al-Karim. Ini kerasa musuh Islam menyedari bahawa kenuggulan umat Islam hanya akan dapat kembali bangkit dan bertahan jika mereka kembali berpegang dengan Al-Quran. Ini telah dibuktikan melalui ucapan bekas perdana menteri Britain pada tahun 1882 ketika berucap dalam parlimen Britain memberi amaran tentang kebangkitan Islam sambil mengangkat Al-Quran, beliau berkata, ‘Selagi mana Al-Quran ini ada ditangan umat Islam, Eropah tidak akan dapat menguasai timur dan ia sendiri tidak akan berada dalam keadaan aman’.

‘Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah’. Al-Maaidah 5:50

Marilah kita bersama-sama berusaha pada bulan yang mulia ini untuk meningkatkan amal ibadah dan menjauhkan diri kita daripada kemungkaran. Semoga kita menjadi golongan yang bertakwa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfaal ayat 2  yang bermaksud:

‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah’.