Banyaknya Tersebar Kefasikan, Dan Orang Baik Di Anggap Jahat Dan Lain-lain
Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden
sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel
membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara
berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang
sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan
fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan
menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan.
Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu
berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib
bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit
dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu
dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat
penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur
fitnah.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika
datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik
(untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu
kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu
lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak
mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan
menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya
dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya
disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama,
perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih
layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama
manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang
yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin
ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu
kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti
tiada apa merugikan.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka
menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar
fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan
akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala
terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di
akhirat nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’
mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar
daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang
dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu
berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan
cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan
berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan
membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara
membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai
perbuatan mengadu-domba dan fitnah.
Mengenai berita benar dan berita
tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang
berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua
mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan
Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu
berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu
ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang
benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika
kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya
bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya
bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.”
(Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai
sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan
sesuatu berita berunsur fitnah.
Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan
berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula
menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat
Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga
kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada
fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.
Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama
Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan
zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah,
sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali
kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan
taubat dan selalu berzikir.
Fikir-fikirkanlah, sebelum menghantar e-mel atau SMS. Jika masyarakat
Islam sendiri boleh berperang sesama sendiri kerana fitnah, apatah lagi
masyarakat majmuk? Jika benar sekalipun beberapa berita, tetapi jika
menyebarnya tanpa konteks ia seolah-olah menyiram minyak di atas bara
api.