KUALA LUMPUR: Suara Anak Muda Kedah atau Bongkar 403 juta hari ini tampil untuk membuat pendedahan penyelewengan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) sewaktu pemerintahan mereka di Kedah.
Pengerusi Bongkar 403 juta, Mohd Firdaus Jaafar menjelaskan, sebanyak 11 penyelewengan yang telah dilakukan oleh BN sebelum ini yang mengakibatkan rakyat kedah terpaksa menanggung hutang sebanyak RM403 juta.
Menurut beliau lagi, perkara ini perlu diketahui oleh semua rakyat Kedah agar mereka boleh menilai kenapa perlu menolak BN pada piliharaya yang akan datang.
"Kita tampil dengan satu Suara Anak Muda Kedah atau Bongkar 403 juta yang akan membuat pendedahan terhadap 11 penyelewengan yang dilakukan oleh BN sebelum ini.
"Pendedahan yang kita lakukan ini perlu dijelaskan oleh BN, kerana kita mahu seluruh rakyat Kedah mengetahui penyelewengan yang dilakukan oleh mereka," jelas beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Agung PAS.
Mohd Firdaus memberitahu pembongkaran 11 penyelewengan yang melibatkan RM403 juta itu akan diadakan pada 23 Februari malam di Taman Melawar.
Beliau yang turut berkongsi penyelewengan yang dilakukan oleh BN adalah berkenaan dengan loji air Padang Sanai dan Lubuk Buntar yang melibatkan kerugian RM145 juta.
"Kerajaan negeri di zaman BN telah menolak status geran membina loji pembersihan air di Lubuk Buntar dan Padang Sanai yang diberikan oleh kerajaan pusat, dengan memilih untuk mengambil status pinjaman.
"Pembinaan loji pembersihan air Lubuk Buntar yang berkapasiti 25 juta liter sepatutnya bernilai RM25 juta, tetapi harganya menjadi RM65 juta apabila ditukar status pinjaman," katanya.
Manakala loji pembersihan air Padang Sanai yang sepatutnya bernilai RM50 juta untuk kapasiti 50 juta liter air tetapi dengan sentuhan tangan BN harganya melonjak menjadi RM155 juta, jelas beliau lagi.
Beliau yang mempersoalkan mengapa kerajaan negeri sebelum ini beriya-iya menolak geran peruntukan pusat, sehingga samggup menerima pinjaman yang berlipat kali ganda kosnya.
Ahli Parlimen Jerai itu juga berharap kepimpinan BN Kedah yang sebelum ini tampil menyerang kerajaan Pakatan di Kedah tampil dengan segera untuk membuat penjelasan berhubung penyelewengan tersebut.
Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Pengerusi Persatuan Anak Kedah di Perantauan (Pakar), Mohd Amin Othman.