Hindarilah Kezaliman Allah Benci kepada Kezaliman
"Dan apabila Kami (Allah) mahu memusnahkan sesuatu negeri, (terlebih dahulu) Kami perentahkan golongan atasannya (untuk melakukan ketaaatan), lalu mereka mendurhakainya, maka berlakulah ke atasnya (negeri tersebut) ketetapan (yakni kemusnahan itu) , lalu Kami binasakannya sebinasa-binasanya. (16) Dan berapa banyak Kami binasakan generasi selepas Nuh, serta memadailah pengetahuan dan penglihatan Tuhan engkau tentang dosa-dosa hamba-Nya (17) Sesiapa yang mengkehendaki keuntungan yang segera (di dunia ini), maka Kami segerakan baginya apa yang Kami kehendaki, kepada sesiapa yang Kami mahu, Kemudian Kami jadikan baginya (balasan) jahannam, dia memasukki neraka secara terhina dan terhalau" (al-Isra;16-18)
Ayat ini memperingatkan kita tentang punca-punca kemusnahan sesuatu masyarakat, sesuatu tamaddun, sesuatu negara juga sesuatu kerajaan.
Allah menghantar peringatan kepada golongan atasan (yang hidup secara mewah dan melampau), semada golongan itu adalah golongan yang berkuasa atau golongan yang berharta atau golongan berpengaruh agar kembali mentaati Allah dan kembali berlaku adil, tetapi mereka engkar. Keengkaran itulah yang membuka lubang kemusnahan kepada masyarakat tersebut.
Ayat ini mengaitkan bahawa manusia melakukan sebagai-mana yang mereka lakukan, merencana sebagai yang mereka rencanakan adalah kerana mereka mahukan dan bermatlamatkan 'keuntungan yang segera' di dunia ini. Serta Allah membenarkan sebahagian matlamat-matlamat duniawi yang mereka rencanakan itu dapat dicapai mereka, dalam perkara yang berbetulan dengan apa yang Allah tentukan dan sesuai dengan siapa yang Allah tentukan. Yang menentukan natijah kepada rencana-rencana mereka yang mereka aturkan itu pada hakikatnya adalah Allah semata-mata, tetapi mereka terlindung daripada memahami hakikat ini. Dan mereka berkeyakinan rencana dan usaha merekalah yang akan menentukan natijah yang mereka akan tempuh. Untuk itu, mereka melupai nasib mereka di Akhirat kelak, mereka yakini hasil yang segera sepenuhnya berada di tangan-tangan perencanaan mereka, lalu disebabkan rencana mereka yang jahat dan buruk itulah Allah akan membalas mereka di Akhirat kelak dengan kehinaan dan terusir di dalam azab Neraka.
Mereka yang diperingatkan Allah ini adalah golongan yang berpengaruh, golongan yang mampu membuat rencana besar untuk melakukan kefasadan dalam masyarakat. Rencana mereka itulah yang menjadi penyebab sehingga menukarkan keamanan kepada huru-hara, kemakmuran kepada kesengsaraan, kasih-sayang kepada saling membenci. Rencana mereka yang menukarkan nilai-nilai serta amalan baik dalam masyarakat berubah menjadi nilai dan amalan buruk. Allah menyebut pada ar-Ra'du:11
إِنَّ ٱللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوْمٍ سُوۤءًا فَلاَ مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ
Sesungguhnya Allah tidak merubah apa yang ada pada sesuatu kaum (daripada rahmat dan nikmat) sehingga mereka sendiri yang merubahnya (dengan kesyirikan, kemaksiatan serta kezaliman) , dan apabila Allah mengkehendaki keburukan (bala-bencana serta azab) pada sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menahannya, dan tiada bagi mereka (kaum tersebut) selain daripada Allah yang menjadi penolong"
Allah menyebut dalam banyak tempat di dalam al-Quran, yang Allah memusnahkan sesuatu masyarakat kerana perbuatan zalim mereka sendiri. Kezaliman merupakan seakan-akan kata kunci kepada kemusnahan sesuatu masyarakat. Atau dalam lain perkataan kezaliman yang terdapat dalam sesuatu masyarakat itulah yang mengundang kemusnahan masyarakat tersebut. Antaranya ayat al-Qasas:59-60
وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ حَتَّىٰ يَبْعَثَ فِيۤ أُمِّهَا رَسُولاً يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي ٱلْقُرَىٰ إِلاَّ وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ *وَمَآ أُوتِيتُم مِّن شَيْءٍ فَمَتَاعُ ٱلْحَيَاةِ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتُهَا وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ
Dan tiadalah Tuhan engkau memusnahkan sesuatu negeri sehingga Dia mengutuskan kepada ibu-negeri itu seoarang utusan, yang membacakan ayat-ayat Kami , dan tiadalah Kami memusnahkan sesuatu negeri kecuali penduduk-penduduknya merupakan orang-orang yang zalim. Dan apa-apa yang dianugerahkan kepada kamu dari sesuatu, maka itu hanyalah sekadar kesukaan kehidupan duniawi dan perhiasaannya. Sedangkan apa yang terdapat di sisi Allah (balasan dan pahala kebajikan) adalah lebih baik serta lebih kekal, Kenapakah engkau tiada memikirkannya?
Sudah tentu kezaliman itu mancakupi kezaliman syirik, kezaliman maksiat serta kefasikan dan juga kezaliman dalam perundangan. Kezaliman dalam perundangan disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ' Nasihatu al-Muluk', antara lainnya kerajaan Parsi Purba adalah Dinasti yang beragama Majusi , tetapi mereka berlaku adil dalam pemerentahan mereka, maka dengan keadilan itulah Allah membenarkan dinasti tersebut kekal untuk demikian lama. Mereka berbangga antara lain dengan Maharaja mereka yang terkenal sebagai tersangat adil , umpama Anusyirwan, Keadilan pihak berkuasa dalam melaksanakan perundangan tersangat penting bagi kelestarian kuasa mereka sendiri.
Kita kembali kepada ayat yang terawal kita sebut (al-Isra:16-18). Terdapat sebahagian ulama memahami ayat ini dengan maksud 'dijadikan pemimpin-pemimpin mereka itu daripada golongan yang jahat", bermewah dengan harta , serta kuasa dengan secara yang tidak sewajarnya. Atau sebahagian ulama memahami dijadikan kebanyakan daripada penduduknya golongan yang rosak secara yang tidak sewajarnya (atau paling kurang orang ramai menerima amalan buruk tersebut sebagai norms dalam bermasyarakat). Allah menyebut dalam surat al-An'am :123
{ وَكَذٰلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَٰبِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُواْ فِيهَا وَمَا يَمْكُرُونَ إِلاَّ بِأَنْفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ }
Dan demikian Kami jadikan pada setiap negeri pemimpin-pemimpin utama bagi penjahat-penjahatnya , untuk mereka melakukan tipu-daya pada negeri itu, tiadalah mereka memperdayakan kecuali diri mereka sendiri.
Imam Baghawi menyebut dalam menafsirkan ayat ini sebagai biasanya orang-orang jahat itu terdiri daripada orang-orang besar, sementara pengikut para rasul pula terdiri daripada golongan du 'afa' ,seumpama di Makkah pembesar-pembesar kafir Quraish akan duduk di setiap jalan masuk ke Makkah dalam kumpulan seramai 4 orang, mereka akan melakukan propaganda kepada setiap orang yang mendatangi Makkah agar "berwaspada dengan orang ini (Saiyyidina Muhammad), dia adalah seorang tukang tilik, tukang sihir dan seorang pendusta". Tetapi Allah menyebut tipu-daya pemimpin-pemimpin penjahat ini hanya akan mengena diri mereka sendiri.
Tidak semua propaganda memburukkan seseorang itu akan mencapai matlamat akhirnya sebagaimana yang direncanakan oleh yang merencanakannya bahkan hasil terakhirnya menguntungkan orang yang kena tuduh, Allah menyebut secara khusus tentang tuduhan terhadap seseorang melakukan zina tanpa bukti secara syari'ie sebagaimana dalam Surah an-Nur :11-13
إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُوا بِٱلإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنْكُمْ لاَ تَحْسَبُوهُ شَرّاً لَّكُمْ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ لِكُلِّ ٱمْرِىءٍ مِّنْهُمْ مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلإِثْمِ وَٱلَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ * لَّوْلاۤ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْراً وَقَالُواْ هَـٰذَآ إِفْكٌ مُّبِينٌ * لَّوْلاَ جَآءُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ فَإِذْ لَمْ يَأْتُواْ بِالشُّهَدَآءِ فَأُوْلَـٰئِكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلْكَاذِبُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan tuduhan (terhadap seseorang) melakukan zina secara palsu (ifik) adalah sekumpulan daripada kamu (ummat Islam sendiri), janganlah kamu mengira ianya buruk bagi kamu, bahkan ianya akan membawa kebaikan untuk kamu, bagi setiap orang daripada mereka ada mendapat bahagian daripada dosa yang mereka kerjakan, dan untuk yang mempunyai peranan utama dari kalangan mereka , baginya azab yang besar. Kenapa tidak ketika mendengarnya (tuduhan bohong itu), orang-orang mukmin dan mukminat bersangka baik terhadap diri (sebahagian daripada) mereka (yakni terhadap yang kena tuduh) dan (sepatutnya) mereka berkata :"ini adalah tuduhan jahat yang nyata". Kenapakah mereka tidak mendatang 4 orang saksi-saksi dalam tuduhan ini , maka sekiranya mereka tidak mendatang saksi-saksi tersebut, maka mereka di sisi Allah adalah pembohong
Pemimpin yang jahat akan menggunakan mekanisma propagandanya secara se-efficient mungkin menyebabkan ramai daripada orang biasa akan terpedaya sehingga tersekat daripada melihat kebenaran, membenar kezaliman mereka bahkan menyertai mereka dalam kemaksiatan. Hanyalah di Akhirat kelak , orang biasa yang telah menjadi pak turut ini ketika terhumban di dalam neraka akan mengadu kepada Allah :
يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يٰلَيْتَنَآ أَطَعْنَا ٱللَّهَ وَأَطَعْنَا ٱلرَّسُولاَ * وَقَالُواْ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلاْ * رَبَّنَآ آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ ٱلْعَذَابِ وَٱلْعَنْهُمْ لَعْناً كَبِيراً
Pada hari muka mereka dibalik-balikkan di dalam neraka, mereka berkata:"aduhai kiranya, kami telah mentaati Allah dan kami mentatati Rasul". (Lalu )mereka mengadu :"Wahai Tuhan kami, kami telah mematuhi ketua-ketua kami dan pembesar-pembesar kami, maka mereka telah menyesatkan kami, Wahai Tuhan kami berilah kepada mereka azab yang berganda serta laknatlah mereka dengan laknat yang besar" (al-Ahzab:66-68)
هٱحْشُرُواْ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ وَأَزْوَاجَهُمْ وَمَا كَانُواْ يَعْبُدُونَ * مِن دُونِ ٱللَّهِ فَٱهْدُوهُمْ إِلَىٰ صِرَاطِ ٱلْجَحِيمِ * وَقِفُوهُمْ إِنَّهُمْ مَّسْئُولُونَ * مَا لَكُمْ لاَ تَنَاصَرُونَ * بَلْ هُمُ ٱلْيَوْمَ مُسْتَسْلِمُونَ * وَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ يَتَسَآءَلُونَ * قَالُوۤاْ إِنَّكُمْ كُنتُمْ تَأْتُونَنَا عَنِ ٱلْيَمِينِ * قَالُواْ بَلْ لَّمْ تَكُونُواْ مُؤْمِنِينَ * وَمَا كَانَ لَنَا عَلَيْكُمْ مِّن سُلْطَانٍ بَلْ كُنتُمْ قَوْماً طَاغِينَ * فَحَقَّ عَلَيْنَا قَوْلُ رَبِّنَآ إِنَّا لَذَآئِقُونَ * فَأَغْوَيْنَاكُمْ إِنَّا كُنَّا غَاوِينَ * فَإِنَّهُمْ يَوْمَئِذٍ فِي ٱلْعَذَابِ مُشْتَرِكُونَ * إِنَّا كَذَلِكَ نَفْعَلُ بِٱلْمُجْرِمِينَ
(Allah memerentah malaikat):"himpunkanlah mereka yang zalim beserta rakan kongsi mereka dan sembahan-sembahan yang mereka sembahi, selain daripada Allah, maka tunjuki mereka jalan ke neraka. Dan tahanlah mereka, untuk mereka disoal. "kenapa kamu (sekarang) tidak bantu membantu?". "Bahkan kamu pada hari ini hanya menyerah diri?" Dan mereka hadap menghadap saling menyoal. (Golongan pengikut) mereka berkata: "sesungguhnya kamu adalah dulunya mendatangi kami dari sebelah kanan (menggunakan kekuasaan yang kamu ada)". (Golongan pemimpin) menjawab:"bahkan kamu (juga) bukannya daripada golongan yang beriman" (yakni jangan salahkan kami). "Dan kami tiada mempunyai ke atas kamu penguasaan sekali-kali, bahkan kamu sendiri adalah golongan yang melampaui batasan". "maka terjadilah ke atas kita semua ketentuan Tuhan kita, sesungguhnya kita (terpaksa) merasai azab tersebut". "Maka kami telah menyesatkan kamu, (kerana) sesungguhnya kami sendiri telah tersesat." Maka mereka (pemimpin dan pengikut) pada Hari ini berkongsi azab. Sesungguhnya demikianlah Kami (Allah) berbuat terhadap golongan yang jahat. As-Soffat:22-24
هَـٰذَا فَوْجٌ مُّقْتَحِمٌ مَّعَكُمْ لاَ مَرْحَباً بِهِمْ إِنَّهُمْ صَالُواْ ٱلنَّارِ * قَالُواْ بَلْ أَنتُمْ لاَ مَرْحَباً بِكُمْ أَنتُمْ قَدَّمْتُمُوهُ لَنَا فَبِئْسَ ٱلْقَرَارُ * قَالُواْ رَبَّنَا مَن قَدَّمَ لَنَا هَـٰذَا فَزِدْهُ عَذَاباً ضِعْفاً فِي ٱلنَّارِ * وَقَالُواْ مَا لَنَا لاَ نَرَىٰ رِجَالاً كُنَّا نَعُدُّهُمْ مِّنَ ٱلأَشْرَارِ * أَتَّخَذْنَاهُمْ سِخْرِيّاً أَمْ زَاغَتْ عَنْهُمُ ٱلأَبْصَار * إِنَّ ذَلِكَ لَحَقٌّ تَخَاصُمُ أَهْلِ ٱلنَّارِ
(Di katakan kepada para pemimpin jahat itu): "ini lah gerombolan pengikut kamu yang berdesak-desak bersama kamu (untuk dihumban dalam neraka)". Pemimpin-pemimpin tersebut mengatakan :"Tiada ucapan selamat datang bagi mereka kerana sesungguhnya mereka akan dihumban ke neraka". (Para pengikut) mereka menjawab: : "bahkan bagi kamulah tiada ucapan selamat datang , kamulah yang mencampakkan kami ke dalamnya (neraka)",maka neraka itu adalah seburuk-buruk kediaman. (Para Pengikut mengadu kepada Tuhan) berkata: "wahai Tuhan kami, sesiapa yang menjerumuskan kami ke dalam (azab) ini, maka Engkau gandakan azab baginya di dalam neraka". Mereka berkata: "kenapa kami tidak melihat lelaki-lelaki yang kami anggap (di dunia dahulunya) sebagai orang-orang yang hina (yakni orang-orang yang beriman dan melakukan kebajikan berada bersama di dalam neraka ini)?"Bukankah mereka dahulunya kami olok-olokan,, atau mereka sahaja tidak kelihatan pada pandangan kami (bersama mereka dalam neraka)". Sesungguhnya (demikian) itu adalah yang pasti terjadi, (iaitu) pertengkaran di kalangan penghuni neraka' Sad: 59-64
Kita mengharapkan rahmat Tuhan agar kita belum lagi berada dalam suasana yang telah disebut oleh Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam :
"Dengarlah oleh kamu sekelian, akan ada selepas aku ini penguasa-penguasa: yang barang siapa masuk menjumpai mereka dan mengiyakan mereka dalam pembohongan mereka, dan menolong mereka ke atas kezaliman mereka, maka dia bukan daripada aku, dan aku bukan daripadanya, dan tiadalah aku memberi minum kepadanya di kolam Haudh. barang siapa yang tidak masuk menemuinya, tidak menolong mereka atas kezaliman mereka, tidak mengiyakan pembohongan mereka, maka dia daripada aku dan aku daripadanya, dan akau akan memberi minum kepadanya di kolam Haudh" (Riwayat Imam an-Nisai dan Imam at-Tarmizi dan beliau berkata hadith ini hasan lagi sahih). Imam al-Hafiz Syarafuddin ad-Damyati (w:705H) telah mendatangkan 4 hadith yang lafaznya hampir semakna denganm hadith yang telah tersebut dalam kitabnya :al-Matju ar-Rabihu fi Thawabi al-'amali as-Solehi.
Hadith-hadith tersebut secara jelas melarang kita daripada mendampingi apa lagi menyokong penguasa-penguasa yang berbohong dan melakuklan kezaliman. Sehingga Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam tidak mengaku mereka yang berbuat perbuatan yang terlarang itu sebagai ummat
Dalam sebuah hadith riwayat Imam at-Tabrani :
"Akan datang pada akhir zaman : penguasa-penguasa yang zalim, menteri-menteri yang fasiq , hakim-hakim yang curang, ulama yang berbohong, maka sesiapa daripada kamu mendapati zaman itu, maka janganlah bertugas dengan mereka itu sebagai pengutip hasil (jaliyan), jangan sebagai pengawai atasan ('arifan), dan sebagai soldadu (Syartiyan)". (hadith ini disebut oleh Imam at-Tabrani di dalam Mu'jamu al-Kabir; kemudian dipetik oleh Muhammad Waliyullah Abdul Rahman an-Nadwi dalam Nuba atu ar-Rasul)
Kita mungkin sahaja menerima bahawa kezaliman ke atas seseorang secara khusus masih boleh diterima , asalkan kezaliman itu tidak menjadi sebahagian amalan resmi masyarakat kita. Kita terkhayal mungkin terdapat ruang untuk menzalimi orang tertentu, asalkan kita bukan menzalimi semua orang. Bagaimanapun Allah mengajar kita tentang ketetapan-Nya yang telah menafi dan menolak anggapan tersebut. Tidakkah kita takut kepada balasan dari Allah? :
مِنْ أَجْلِ ذٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِيۤ إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْساً بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي ٱلأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعاً وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعاً وَلَقَدْ جَآءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِٱلّبَيِّنَٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيراً مِّنْهُمْ بَعْدَ ذٰلِكَ فِي ٱلأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ
Oleh yang demikian, Kami (Allah) tetapkan ke atas Bani Israel sesungguhnya barang siapa membunuh suatu jiwa bukan (sebagai balasan terhadap pembunuhan) jiwa (yang lain) atau kerana (hukuman) melakukan kerosakan di bumi, maka sesungguhnya serupalah dia membunuh manusia keseluruhannya, barang siapa yang memberi kehidupan pada satu jiwa serupalah dia menghidupkan manusia seluruhnya, Dan sesungguhnya telah datng kepada mereka para rasul Kami dengan penjelasan, kemudian selepas ( penjelasaan )itu mereka bersikap keterlaluan di bumi (al-Maidah:32)
Kita berkewajiban secara agamanya untuk mencegah kezaliman secara khusus terhadap seseorang sebagaimana kita berkewajiban menentang kezaliman terhadap manusia seluruhnya. Tidak layak sekali bagi orang beriman untuk meredai dan membiarkan kezaliman berakar dan mencengkam urat-saraf masyarakat kita.
Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam memperingatkan kita tentang akibat kezaliman:
"Bertaqwalah daripada (terlibat dengan) kezaliman, maka sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada Hari Qiyamat" (riwayat Imam Muslim di petik daripada Riyadu as-Solihin : hadith 210 )
Sehingga baginda bersabda yang bukan sahaja kita perlu takutkan kegelitaan nasib kita di Akhirat , bahkan kita perlu takut kepada doa mereka yang kita zalimi, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Bertaqwalah daripada doa-doa mangsa kezaliman, maka sesungguhnya tiada hijab antara doa tersebut dengan Allah" (muttafaqun 'alaihi: dipetik daripada Riyadu as-Solihin : hadith 215)
Antara yang mendorong pihak berkuasa untuk bertindak secara zalim terhadap orang lain tanpa mengenal batasan halal-haram, tanpa menghiraukan adab susila adalah kekhuatiran mereka akan kehilangan kuasa, rasa terancam kekuatan mereka, bimbang keburukan mereka akan terbongkar dan lain-lain pertimbangan paras sebab-musabbab di peringkat manusiawi semata-mata . Obsesiti ini perlu dirawat dengan mengingatkan firman Allah:
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَالِكَ ٱلْمُلْكِ تُؤْتِي ٱلْمُلْكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ بِيَدِكَ ٱلْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Katakan Allahumma, (yang menjadi)Penguasa kerajaan ! Engkau (Allah) memberi kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau melucutkan kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki, Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki, Di Tangan (kekuasaan) Engkaulah kebaikan, sesungguhnya Engkau di atas setiap sesuatu Maha Berkuasa (ali-'Imran:26)
Hendaknya janganlah pihak yang masih berkuasa sanggup melakukan kezaliman atas alasan mahu mempertankan kekuasaan mereka, begitu juga pihak yang mengangan-angankan kekuasaan juga hendaklah menghindari kezaliman. Masing-masing pihak hanya akan mendapat hasil serta natijah dari usaha-usaha mereka, walaupun sehebat dan serapi mana sekalipun perencanaannya , natijah yang akan mereka perolehi akan berdasarkan ketentuan taqdir yang telah Allah putuskan, tiada lebih dan tiada kurang. Bahkan yang lebih tentunya kita semua dari pihak mana sekalipun, semada di pihak yang sedang berkuasa mahupun yang tidak berkuasa akan berdepan dengan Pengadilan Allah yang Maha Adil, Maha Pemurah dan Maha Keras hukuman-Nya untuk diputuskan balasan yang setimpal dengan keburukan kita, dan digandakan ganjarannya untuk kebajikan yang kita lakukan. Bukankah kita pernah bertemu hadith-hadith yang menyebut cerita tentang seorang perempuan jalang menolong memberi minum kepada anjing yang dahaga telah ditilik Allah dengan rahmat dan dimasukkan ke dalam syurga- atau cerita seorang itu mendapat murka kerana kezalimannya yang mengurung seekor kucing di dalam rumah tanpa memberi makan sehingga kucing itu mati kelaparan?. Sekarang ini kita bukan setakat berdepan cerita anjing dan kucing- tetapi kita berdepan dengan cerita tentang manusia: apakah tindakan yang akan diambil akan mengundang rahmat daripada Allah atau sebaliknya kemurkaan daripada Allah.
Kita wajib menolak kemungkaran, kita wajib mencegahkan kefasadan. Termasuklah kita wajib menyediakan sistem kehakiman kita yang menghukum kemaksiatan, kemungkaran dan kefasadan agar kebaikan akan terserlah. Bagaimanapun dalam menghukumi kefasadan, kemaksiatan itu , sistem kehakiman kita perlu adil, perlu bertindak secara objektif tanpa senget ke mana-mana. Sebenar-benarnya tidak ada kebaikan kecuali keburukan apabila kezaliman digunakan atas nama menghapuskan kemaksiatan. Ketidak-adilan itu sendiri adalah kezaliman, kemaksiatan dan mengundang murka Allah. Kita perlu tegas dalam meroboh kemungkaran tetapi kita diharamkan daripada melakukan kezaliman. Perlaksanaan hukuman mestilah berdasarkan keadilan dan kesaksamaan bukan berdasarkan kepentingan dan tekanan.Antara lain allah memperingatkan kita:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلإحْسَانِ وَإِيتَآءِ ذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَاءِ وَٱلْمُنْكَرِ وَٱلْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُو
Sesungguhnya Allah memerentah agar ditegakkan keadilan, membuat kebajikan, menunaikan tanggung-jawab terhadap kerabat, serta mencegah kejelekan , kemungkaran dan kezaliman. Dia memberi penerangan kepada kamu moga-moga kamu mendapat peringatan (an-Nahl:90)
Ada di kalangan kita yang berfikir: "bagaimana mungkin hukuman yang adil dibuat dalam sistem perundangan yang pincang ". Sebenarnya dalam apa bentuk suasana dan sistempun kita wajib menengakkan keadilan semampu mungkin. Kekuatan cintakan kebenaran dan keadilan itu akan mendorong kita membuat keputusan dan penghakiman yang seadil mungkin. Imam Hassan al-Banna menyebut dalam rencana 'Fikratu al-Iqtisadiyyatu fi Kitabilah" (yang dimuatkan dalam buku Hadithu al-Thulathah':m/s:402):
"Sesungguhnya hakim yang adil, wahai saudara, di depannya perundangan yang curang, bagaimanapun jiwanya yang luhur serta keikhlasannya untuk keadilan dan kecintaannya terhadap keadilan akan mendorong dia (hakim tersebut) untuk manipulasi teks undang-undang yang curang itu bagi memutuskan hukuman yang adil... mungkin juga ada seorang hakim yang berjiwa fasid (jahat) serta mengikut hawa-nafsu berada di dalam perundangan yang adil , bagaimanapun jiwanya yang fasid itu akan mendorong dia untuk manipulasi teks undang-undang yang adil itu bagi memutuskan hukaman yang zalim yang muafakat" dengan hawa-nafsunya"
Semua yang terlibat memegang amanah dan kuasa hendaklah melaksanakan amanah dan keadilan walaupun terhadap sanak-saudara tanpa membenarkan perasaan kasih mempengaruhi tugasan, begitu juga terhadap mereka yang dimusuhi tanpa membenarkan perasaan benci mempengaruhi tugasan. Allah berfirman:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ ٱلأَمَانَاتِ إِلَىۤ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِٱلْعَدْلِ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعاً بَصِيراً
Sesungguhnya Allah memerentahkan kamu agar menunaikan amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu berhukum, hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi peringatan yang sebaik-baik kepada kamu, sesungguhnya Allah Maha Mendengar Maha Melihat (an-Nisa':58)
يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ بِٱلْقِسْطِ شُهَدَآءَ للَّهِ وَلَوْ عَلَىۤ أَنْفُسِكُمْ أَوِ ٱلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلأَقْرَبِينَ إِن يَكُنْ غَنِيّاً أَوْ فَقِيراً فَٱللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا فَلاَ تَتَّبِعُواْ ٱلْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُواْ وَإِن تَلْوُواْ أَوْ تُعْرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيراً
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu benar-benar tegakkan keadilan sebagai i saksi bagi Allah, meskipun atas diri kamu sendiri atau ibu-bapa kamu atau kaum-kerabat kamu. (sekiranya) jika dia (yang kena dakwa itu) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih (tahu kemaslahatan) keduanya. Janganlah kamu mengikut hawa-nafsu (sehingga terhalang) daripada berlaku adil. Dan jika kamu memutar-balikkan atau menolak (dberlaku adil), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan
يَا أَيُّهَآ ٱلَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ للَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىۤ أَلاَّ تَعْدِلُواْ ٱعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu benar-benar menjadi saksi kepada Allah dalam menegakkan keadilan . Janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu memesongkan kamu daripada berlaku adil, Hendaklah kmau berlaku adil (kepada siapa jua pun), ia (perbuatan adil itu) terlebih hampir kepafa taqwa, maka bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang kamu lakukan (al- Maidah:8)
Kita hendaklah dengan insafnya mengaku yang masyarakat dan diri kita sentiasa terdedah kepada kebinasaan, kita tidak mempunyai apa-apa pendinding dari murka Allah kecuali dengan apa yang telah disebut oleh Allah dan Rasul-Nya. Allah telah memperingatkan kita:
وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِّن قَرْنٍ هُمْ أَشَدُّ مِنْهُم بَطْشاً فَنَقَّبُواْ فِي ٱلْبِلاَدِ هَلْ مِن مَّحِيصٍ *
إِنَّ فِي ذَلِكَ لَذِكْرَىٰ لِمَن كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى ٱلسَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ
Dan berapa banyak (masyarakat) dari generasi yang lalu Kami telah binasakan (kerana kedurhakaan mereka) , mereka itu lebih perkasa daripada mereka (yang ada sekarang). Maka (kemudiannya) kaum itu telah mencari perlindungan di merata negeri, adakah terdapat tempat yang mereka dapat menyelamatkan diri?. Sesunguhnya pada yang demikian itu merupakan peringatan bagi sesiapa yang mempunyai hati atau yang dengan bersungguh-sungguh menggunakan pendengarannya sedangkan dia menjadi saksi (kepada kebenaran kenyataan ters ebut) (al-Qaf:36-37)
Moga-moga Allah memberi kita hidayah dengan kebenaran serta ditaufiqkan kita untuk beramal dengan agama-Nya. Kita berdoa agar Allah tidak menyertakan kita dalam golongan yang zalim, serta Allah menilik kita dengan rahmat serta kelembutan sehingga kita dan masyarakat kita tidak terbinasa kerana kezaliman-kezaliman yang kita telah lakukan. Semoga Allah memberi kita kesempatan untuk membetulkan apa-apa yang perlu diperbetulkan, mengampunkan dosa-dosa kita dan memasukkan kita ke dalam keredaan-Nya.
Petikan dari Muqabalah Blog .......