Sabtu, 9 Oktober 2021

Perangai Keji Mengaibkan Orang Lain dan Diri Sendiri

Aib yang sifatnya merupakan kejadian Allah seperti kecacatan pancaindera, atau perbuatan yang mengaibkan atau kesalahan yang dilakukan, atau ciptaan yang direka bertujuan mengaibkan dan menjadi aib bagi dirinya, tidak boleh dibicarakan dan disebarkan, lebih-lebih dengan niat jahat dan buruk kerana pandangan majoriti ulama berpendapat bahawa perbuatan itu merupakan satu dosa. Apabila kita menyebarkannya bererti menghina Penciptanya. (Al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din). Lebih teruk lagi ia bersifat menfirnah, berbohong atas dasar mahu menghina, mengeji, sakit hati dan sebagainya.

Mungkin berniat baik, dengan mengatakan Allah lebih tahu, niat dan matlamat, Allah lebih tahu, niat untuk memberi nasihat dan sebagainya. Namun, apakah hukuman dilaksanakan terhadap sesuatu yang tidak nampak atau hukuman dilaksanakan pada sesuatu yang zahir? Islam memberitahu, sekali niat yang baik walau tidak dilakukan, maka beroleh satu kebaikan. Tetapi niat jahat, hanya memperoleh satu keburukan apabila dilakukan. Walau ada yang berniat baik, namun mereka sangat keji dari segi akhlak.

Imam al-Syafi’i berkata, “Sesiapa yang menasihati saudaranya dengan tetap menjaga rahsianya bererti dia benar-benar menasihatinya dan memperbaikinya. Sedangkan yang menasihati tanpa menjaga rahsianya, bererti telah membuka aib dan mengkhianati saudaranya.” (Syarh Sahih Muslim)

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat".

Kefahaman daripada hadis ini ialah, sesiapa yang menghemburkan kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya nescaya Allah memasukkan ke dalam api neraka pada hari kiamat.

Firman Allah swt: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah (menyiarkan) tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat.” (Surah an-Nûr: 19)

Allah swt mengecam orang yang menyiarkan berita buruk agar diketahui oleh orang mukmin lain, bahkan bagi mereka azab pedih di dunia dan di akhirat. Ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar dalam kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nur 24:19)

Memerli, memperolok-olok, mengejek, menghina, mengeji, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan dan mengaibkan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah. Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sesiapa yang melakukan perbutan buruk kepada orang lain, dengan niat sengaja buruk tanpa paksaaan pihak lain, hakikatnya dia sedang menempah keburukan dan melakukan kejahatan terhadap dirinya sendiri.

Firman Allah swt: "Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji," (Surah al-Humazah:1)

Dari Jabir dan Abi Said, Rasulullah SAW bersabda: “Awaslah daripada mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina. Sesungguhnya seseorang terkadang ia berzina dan bertaubat, maka diterima Allah swt akan taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampun dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpatnya itu.”  Seseorang yang melakukan keburukan dan kejahatan ke atas diri orang lain, kesalahan tersebut tiada kemaafan dan keampunan melainkan dimaafkan oleh orang yang menjadi mangsa keburukan tadi.

Pelbagai cara dan jalan keburukan yang boleh dilakukan oleh seseorang terhadap orang lain. Daripada Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu dia berkata, aku berkata, “Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama? Baginda menjawab, “Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Ada yang memburukkan orang alain dengan kelantangan lidahnya menyembur kata-kata makian dan mengaibkan, ada juga yang menggunakan tangan sebagai wasilah daripada dendam kesumat di dalam hatinya.

Firman Allah swt: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12)

Orang yang mengumpat diibarat memakan daging saudaranya yang lain. Apatah lagi mengaibkan?

Apa yang sedang membarah kini ialah sikap yang suka mengaibkan orang lain. Dalam kata lain suka mendedahkan keburukan orang lain secara terang-terangan, sebar kepada orang lain dengan niat jahat dan tanpa pengetahuan orang yang diaibkan. Islam tidak pernah mengajar perlakuan jahat dan buruk terhadap orang lain bersandarkan tujuan yang baik. Di dalam sebuah hadith, Nabi saw bersabda, "Tiada mudharat dan tiada memudharatkan."

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka barangsiapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya dan sesiapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Seandainya keaiban tadi adalah keaiban orang lain pula, maka itu sudah masuk ke dalam kategori mengumpat dan seperti yang Allah fimankan tadi, perbuatan itu diumpamakan seperti memakan daging saudara muslim yang telah mati. 

Semua orang ada melakukan kesilapan dalam hidup dan lazimnya mereka akan merahsiakan kesilapan itu bagi mengelakkan rasa malu jika ia diketahui umum. Sedangkan seorang kanak-kanak pun tahu malu jika silapnya ditegur di khalayak ramai, inikan pula orang dewasa. Maka, biasanya kita akan merahsiakan kesilapan itu agar ia tidak mengaibkan diri kira sendiri. Ia sama keadaan dengan aib pada kecacatan dan kekurangan diri.

Keaiban yang dilarang untuk diceritakan itu bukan cuma keaiban orang lain. Keaiban diri sendiri juga harus dan perlu ditutup oleh setiap orang. 

Rasulullah SAW bersabda: "Semua umatku selamat, kecuali orang yang terang-terangan melakukan dosa. Dan termasuk terang-terangan itu adalah seseorang yang melakukan dosa di waktu malam gelap, mendadak pagi-pagi diceritakan kepada orang lain. Padahal semalam Allah telah menutupi dosanya itu tetapi setelah paginya dia membuka apa yang Allah tutup itu" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang pun yang terlepas dari melakukan kesalahan. Rasulullah saw bersabda: "Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat." ( HR Ahmad).

Maka, selagi mana perbuatannya itu tidak dilakukan secara terang-terangan, maka perlakuan itu haruslah dirahsiakan dan dia tidak dihukum disebabkan dosanya itu.

Aib sendiri merupakan satu rahsia. Ada orang yang berbangga dengan maksiat dan keburukan yang dilakukan. Islam mengajar kita supaya menutup aib sendiri, sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Sesiapa yang melakukan dosa sedemikian (syirik, mencuri dan zina) dan dihukum keranannya, maka hukuman itu adalah kifarah baginya. Dan sesiapa yang melakukan dosa sedemikian lalu Allah menutupinya, maka terpulang kepada Allah sama ada untuk mengampunkannya atau mengazabnya.” (Riwayat Bukhari)

Kalaulah Allah ingin membuka aib kita, memang tidak tertanggung malunya. Allah Maha Pengasih, sebanyak mana pun dosa yang kita lakukan, Allah tidak mendedahkannya. Oleh sebab itu, janganlah kita sendiri pula yang mendedahkan keaiban kita. Menutup aib ialah perbuatan yang dianjurkan oleh Islam, sekalipun dosa itu besar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tahukah kamu siapa orang yang muflis?”

Jawab mereka, “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan harta.”

Sabda baginda memberikan perspektif berbeza bagi perkataan muflis, “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah sesiapa yang datang pada hari kiamat kelak bersama pahala solat, puasa dan zakat, namun dia juga pernah memaki dan menuduh seseorang, memakan harta, menumpahkan darah serta memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dan dicampakkan ke atasnya, lantas dia dicampakkan ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang pun yang terlepas dari melakukan kesalahan. Rasulullah saw bersabda, “Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad)

Sabda Nabi saw: “Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” (Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi)

Sabda Nabi saw: “Jangan buka aib orang kerana Allah akan membuka aibmu walaupun di dalam rumahmu sendiri "

Sabda Nabi saw: "Barangsiapa yang menutup aib saudara muslimnya, nescaya Allah swt akan menutup keaibannya di akhirat kelak." 

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: “Barangsiapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat." (Riwayat Tirmidzi)

Sabda Nabi saw: "Tiada seorang yang menutupi aurat (keaiban) orang di dunia, melainkan Allah akan menutupi keaibannya di hari kiamat." (Riwayat Muslim)

Tidaklah seseorang itu banyak bercakap akan aib orang lain, menyebutkan kesalahan dan mendedahkan aib mereka melainkan orang itu orang munafiq yang terhina.

Hidup dalam mencari..

 

Rabu, 6 Oktober 2021