Selasa, 31 Januari 2017

Peranan Pemuda Dalam Jemaah


Ucapan Perasmian Himpunan 1K Anak Muda Marang (HIKAM) Oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul hadi Awang - 27 Januari 2017 - Rhu Muda, Marang, Terengganu

Isnin, 23 Januari 2017

PAS Tidak Pernah Berganjak Dari Dasar Dan Prinsip


Oleh : Nasrudin bin Hassan

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi, pemimpin PAS dan seluruh ahli PAS telah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap dasar dan prinsip perjuangan PAS iaitu berjuang untuk menegakkan sebuah negara yang sejahtera dan selamat berasaskan keadilan yang sirna dari perlaksanaan Syariat Islam.

PAS tidak pernah berganjak dari dasar dan prinsip ini. Berjuang untuk membina negara yang bebas penyelewengan, korupsi, penindasan dan penyalahgunaan kuasa. YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi selaku Presiden PAS tidak pernah mengheret PAS dan ahlinya lari dari landasan perjuangan suci ini.

Malah kerana mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan inilah DAP lari meninggalkan PAS, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, DAP menyerang PAS tanpa henti dengan semangat anti Islam yang tebal dan melampau.

Inilah fokus perjuangan PAS, Iaitu melakukan perubahan secara total dan menyeluruh. Bukan memimpin agenda individu tertentu yang mabuk kuasa. Bukan sekadar ingin melampiaskan dendam kepada individu tertentu untuk dijatuhkan.

Fokus perjuangan PAS ialah memimpin gerakan perubahan secara total. Meruntuhkan jahiliah dan membina kesejahteraan, keadilan dan kedamaian dibawah pedoman dan petunjuk wahyu Allah swt Tuhan Yang Maha Mencipta manusia dan alam semesta ini.

PAS senantiasa berlapang dada dan membuka pintu untuk bekerjasama dengan semua pihak, selama mana mereka menghormati dan tidak menentang dasar dan prinsip perjuangannya.

Justeru itulah, PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). Malangnya, sikap tidak jujur dan tidak sabar DAP membuatkan dua kali mereka meninggalkan PAS malah menikam dan menyerang PAS. (Sekali semasa bersama BA dan kali kedua ketika bersama PR)

Kali ini, sekali lagi DAP mahu menghulurkan salam kerjasama ? Kenapa ? Apakah DAP benar-benar terdesak ?

PAS tidak akan teruja dengan wayang opera bernilai murah yang sedang dipersembahkan oleh DAP hari ini. Cukuplah pengalaman dua kali diperlakukan DAP sedemikian rupa.

PAS telah siap berjuang mencapai cita-cita perjuangan tanpa DAP yang dikenali hari ini. PAS telah merangka roadmap menuju gerbang jaya PRU 14 tanpa DAP yang telah mengkhianati PAS.

PAS punya harga diri dan maruah yang tidak mungkin sesiapa lagi boleh memperdaya dan memperkotak-katikkannya.

Namun dalam masa yang sama, sekali lagi saya tegaskan bahawa PAS senantiasa bersedia membina kerjasama dengan pelbagai pihak yang sedia memahami, menghormati dan tidak menentang dasar serta prinsip perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Sampaikan salam perjuangan kami buat YB Lim Kit Siang bahawa prinsip dan dasar perjuangan PAS bukan kostum untuk diperagakan di pentas opera DAP.

Sabtu, 21 Januari 2017

[LIVE] HIMPUNAN MUSLIMAT MUDA 5K



[LIVE] HIMPUNAN MUSLIMAT MUDA 5K

Tarikh : 21 Januari 2017

Masa : 8.00 Pagi - 5 petang

Rabu, 18 Januari 2017

Mencari Keredhaan Allah


بِسْــــــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Abi Abbas r.a telah berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hndak mencari keredaan manusia, Allah akan memurkainya dan Allah akan menjadikan setiap yang diredainya itu benci terhadapnya. Dan orang yang mencari keredhaan Allah, walaupun dibenci oleh manusia nescaya Allah akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu redha terhadapnya sehingga keredaan Allah itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya, nescaya ia mendapat perhatian Allah (Diriwayatkan oleh al-Tabrani)

Mukadimah Hadis..

Setiap manusia hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan keredaan Allah kerana keredaan Allah itu adalah kemuncak pengharapan manusia yang hidup di muka bumi. Ini boleh dicapai dngan melakukan segala perinta-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Huraian Hadis..

1. Keredhaan Allah dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Asas keredhaan itu ialah berdasarkan kepada perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan ajaran Allah walaupun ianya bertentangan dengan kemahuan manusia.

2. Kemurkaan Allah bergantung kepada amalan buruk manusia. Kemurkaan Allah adalah hasil daripada perbuatan manusia yang melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka yang berkelakuan sedemikian tidak mendapat petunjuk dan hidayah serta akan mendapat balasan buruk di dunia atau akhirat.

3. Allah memberi sebab menentukan keredaan-Nya dan kemurkaan-Nya, bermaksud Allah memperkenankan usaha-usaha yang dibuat bagi tujuan mencapai apa yang dikehendaki oleh seseorang sama ada keredhaan atau kemurkaan daripada Allah dan rasul-Nya atau kebencian dan keredhaan manusia.

4. Dihiasi dirinya, perkataannya dan perbuatannya bererti Allah memberi petunjuk dan taufik kepada sesiapa yang diredhai hinggalah perkataan dan perbuatan yang dilakukan semuanya elok, cantik lagi indah mengikut pandangan manusia dan pandangan Allah.

5. Keredhaan Allah dan rasulnya itulah sahaja yang boleh menentukan kedudukan seseorang mukmin, yang menangkat atau menjatuhkan darjat mereka, menghina atau memuliakannya. Makhluk Allah itu termasuk manusia adalah makhluk yang lemah dan sentiasa memerlukan perlindungan Allah lantaran itu tidak wajar seseorang mukmin itu menentang hukum Allah SWT.

6. Oleh kerana kelemahan manusia yang sering terpedaya dengan keindahan dunia maka terdapat dikalangan mereka yang suka mencari peluang mendapatkan kuasa, pengaruh, pangkat, harta sebagainya sehingga sanggup melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah. Sedang Allah dan rasulnya itulah yang mesti dibesarkan dan dimuliakan serta diharap keredaan-Nya. Maksud firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 62;

"Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, pada hal Allah dan rasulnya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaannya, jika betul mereka orang yang beriman"

7. Sikap dan perbuatan mengutamakan makhluk itu banyak berlaku dihadapan mata kita sehingga ada yang sanggup melakukan kerosakan, menganiaya, penindasan dan kekerasan semata-mata untuk mendapatkan kepuasan nafsu dan keredaan makhluk. Sanggup mengampu, bermuka-muka, berpura-pura dan sebagainya asalkan mendapat apa yang dihajatkan biar apa pun yang berlaku kepada orang lain.

Pengajaran..

1. Tanda kesempurnaan Iman ialah sanggup melakukan sesuatu sesuai dengan keredaan Allah dengan mengikut pengajaran al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah, sekalipun tidak disukai oleh orang lain.

2. Sesiapa yang berusaha mendapatkan keradaan Allah maka Allah akan menolong dan memeliharanya serta mendapat perhatian-Nya. Akan tetapi sesiapa yang mengharapkan keredaan makhluk dengan membuat perkara-perkara yang di murkai Allah. Maka Allah tidak akan memberinya pertunjuk dan hidayah, tidak akan selamat di dunia dan di akhirat.

3. Kita hendaklah sentiasa mengharapkan pertunjuk Allah bagi memperkuatkan iman dan keyakinan yang akan menjadi kuasa pendorong kepada kebajikan dan menghalang daripada melakukan kerosakan dan kejahatan.

Kesimpulan..

Seseorang mukmin hendaklah sentiasa berusaha mencari keredhaan Allah dan rasulnya lebih daripada yang lain kerana itulah sahaja yang akan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat..

Rabu, 11 Januari 2017

Wajib bergabung dengan Jamaah Islam - Ust Nasaruddin Daud



Islam meletakkan kepentingan jemaah sebagai antara yang perkara yang wajar diberi keutamaan oleh para penganutnya.Kepentingan menyertai jemaah ini dilakarkan melalui hadis Nabi s.a.w:

Dari Umar Al-Khattab r.a,bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda,

”Barangsiapa di antara kamu yang menginginkan syurga,hendaklah dia melazimkan diri (menyertai) jemaah,kerana syaitan selalunya suka dengan orang perseorangan,dan selalu menjauhkan diri dari kumpulan orang berdua ke atas”

Terdapat sekurang-kurangnya 4 versi hadis ini yang mempunyai lafaz berbeza tetapi maknanya tetap sama.

Firman Allah:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya. (Ali-Imran : 104)

Akhirnya,akan timbul persoalan.Apakah yang dimaksudkan dengan jemaah?Dan apakah jenis jemaah yang wajar disertai oleh umat Islam dan yang haram disertai?.Maklum dalam dunia yang serba luas ini,pelbagai jenis jemaah telah wujud dan mempunyai motif tersendiri.Jadi sudah tentu satu panduan atau guide line perlu diketahui umat Islam agar mereka tidak tersasar dari garisan syariat Islam lantaran tersilap memilih jemaah.

Jemaah adalah perkumpulan atau golongan.Berasal dari kata akar (masdar) ‘jamak’ yang bermakna ramai.Dalam menilai jemaah yang ingin disertai, Sheikh Mustafa Mashyur, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin telah mengeluarkan 20 ciri jemaah Islam yang sepatutnya disertai.Penulis senaraikan seperti di bawah:

1- Menggunakan Al Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan, dan menjaga jemaah agar ia tidak tunduk melutut dibawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwah.

2- Jemaah ditubuhkan kerana Allah,demi keredhaannya bukan mencari kemasyhuran dan keduniaan.Jemaah juga mesti menjauhi kegiatan assabiyyah (perkauman) atau nasionalisme kerana faktor ini adalah punca kegagalan jemaah untuk berkembang dan berjaya.Contoh,jemaah Melayu yang ditubuhkan untuk menolong Melayu semata-mata,dan meminggirkan kaum lain.

3- Tujuan jemaah atau pertubuhan yang dibina adalah demi menegakkan Islam dan mendirikan daulah Islamiyyah.Caranya adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan syariat.Jemaah juga mesti bersifat universal,tidak terkongkong pada sesetengah bidang sahaja seperti politik,ekonomi ataupun ibadat.

4-Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang dibawa mesti bertepatan dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw),dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.

5- Jemaah ini mestilah bersifat universal dan tidak terhad pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja.

6-Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah),beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli, melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta mengambil kira faktor persekitaran (waqi'). Baginda mementingkan perkara-perkara seperti kemantapan aqidah, iman dan ibadah,mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain lagi. Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).

7-Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah.

Firman Allah swt, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain itu adalah lebih baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau mengunjing orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu yang telah mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan perempuan, bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu" (Surah Hujurat:11-13)

8- Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga, dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.

9- Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan kan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.

10- Jemaah tidak sekali-kali meninggi diri serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain atau melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerja sama. Hendaklah dia sentiasa berusaha kearah penyatuan (wahdatul ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.

11-Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.

12- Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.

13-Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan.

14- Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa,tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang jelas. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur sedikitpun..

15-Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama member sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama-sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.

16-Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam,sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.

17- Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar, didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Hadid: 28:

"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan mengampunimu".

18-Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan,ekonomi,perundangan, dakwah, kesihatan,ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.

19- Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah,ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.

20)-Jemaah ini terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. Dan ingatlah,sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka".

Seperti kata-kata Saidina Ali (r.a):

"Janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya".

Samalah dengan jemaah,kenalilah dan fahami terlebih dahulu cirri-ciri jemaah sebelum menyertai jemaah tersebut.

Dr. Yusuf Al-Qardawi pernah meyebut dalam kitabnya, Wajibu syabab' islami, terdapat 4 kewajiban remaja islam iaitu:

1-Berilmu
2-Beramal
3-Berjemaah
4-Melaksanakan.

Antara kepentingan menyertai jemaah adalah penambahan ilmu dan sentiasa dapat melakukan perbincangan dengan mereka yang lebih arif.Dengan itu,kekeliruan terhadap sesuatu perkara dapat dihindarkan dan seseorang itu akan dapat membetulkan kembali jalannya,fikrahnya andai ia tersasar.

Bagi mereka yang enggan menyertai jemaah,Rasulullah menyebutkan melalui 2 hadis baginda:

"Tangan (atau pertolongan) Allah itu bersama jemaah. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpisah (dari kumpulannya)".

Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a katanya: "Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan. Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu. Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu ? . Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu ? . Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu ? . Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka . Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin ? . Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian"

Wallahua’lam.Semoga tulisan ini sedikit sebanyak dapat membantu umat Islam dalam menilai dan memilih jemaah yang ingin disertai.Maka dengan itu Islam akan kembali gemilang insyaAllah.

Ahad, 8 Januari 2017

Syarahan Perdana: Asia Barat Yang Bergolak. Ke mana kita



Oleh: YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
(Presiden PAS/Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia)
Tarikh : 7 Januari 2017 DARAH UMAT ISLAM KORBAN LAKAR PETA TAJAAN PENJAJAH

SHAH ALAM: Percaturan hingga menimbulkan pergolakan politik dan peperangan melibatkan negara-negara umat Islam di Asia Barat perlu difahami antaranya berpunca dari peta umat Islam yang 'dilakar' dengan darah.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, nyawa dan darah umat Islam menjadi mangsa penjajah kuasa Barat yang bertindak untuk kepentingan mereka.

Beliau berkata demikian dalam Syarahan Perdana "Asia Barat Yang Bergolak: Ke Mana Kita?" di Auditorium MBSA, di sini hari ini.

Terangnya, Iran dimomokkan sebagai 'Negara Syiah' oleh Barat untuk dilihat sebagai ancaman, hakikatnya mengalihkan ancaman dicetuskan Israel.

Menurut beliau, kekacauan dan krisis ditimbulkan Barat disamping tidak dinafikan akibat kezaliman pemerintahan dan kelemahan yang ada.

Malah, Barat juga menimbulkan tekanan kepada Negara-negara Arab yang enggan menyokong Perjanjian Madrid dan Oslo iaitu untuk memisahkan Palestin dan Israel sebagai dua negara.

Manakala jelasnya, negara menyokong pula diberi balasan tertentu kerana sanggup menuruti agenda Barat.

Begitu juga terang Tuan Guru, Arab Spring cuba dicetus Barat kononnya untuk kebangkitan demokrasi, namun kemudiannya dilihat memberi keuntungan kepada Islam.

Maka katanya, ditimbulkan pelbagai kekacauan terutamanya di laluan ekonomi dunia kerana negara-negara umat Islam itu juga memiliki banyak sumber tenaga uranium, petroleum dan sebagainya.

Sedang Syria pula ujar beliau, menjadi sasaran kerana bersempadan dengan Israel, selain menjadi pangkalan kepada HAMAS, Hizbullah dan Jihad Islami yang menjadi benteng mendepani Israel.

Sementara terangnya, ISIS dan Daesh ditaja Barat untuk terus mencetuskan persengketaan, namun semakin melemah.

Pun begitu nasihatnya, perlu berwaspada kerana apabila kumpulan ini pulang ke negara masing-masing berpotensi menimbulkan bencana.

"Bukan masalah kaum dan mazhab. Kaum dan mazhab sekadar dijadikan sumbu untuk menyalakan api berdasarkan peta dilakar. Kita baca kitab dan kita baca politik, bukan baca kitab sahaja. Tetapi keadaan sangat sulit untuk diselesaikan.

"Pun begitu ada hikmahnya. Kebangkitan Islam ini umpama ibu mengandung yang mengeluarkan darah terlebih dahulu sebelum bayi yang segar," ujarnya optimis.

(Transkrip penuh ucapan pembentangan akan menyusul kemudian)

Sabtu, 7 Januari 2017

Rahsia Daun Belalai Gajah



Daun belalai gajah atau yang dikenal pula dengan SSG (Sabah snake Grass) telah lama dikenal sebagai obat yang ampuh dalam mengatasi kanker. Tidak hanya itu, namun daun ini juga dikenal sebagai salah satu obat herbal bagi beragam jenis penyakit. Daun belalai gajah terkadang dimanfaatkan sebagai tumbuhan hias pada pekarangan rumah dan dapat tumbuh dengan baik di lingkungan. Daun belalai gajah memiliki kandungan manfaat antioksidan yang cukup tinggi sehingga, mampu mengatasi sel-sel kanker di dalam tubuh supaya tidak tumbuh dan akhirnya menyebar.

Kegunaan lain dari antioksidan adalah melawan radikal bebas penyebab penyakit yang kini telah banyak tersebar di lingkungan sekitar. Daun belalai gajah mengandung mineral, vitamin serta flavonoid yang tinggi. Walau berguna untuk mengatasi banyak penyakit, namun daun ini lebih dikenal sebagai obat penghalau penyakit kanker.

Ada banyak manfaat daun belalai gajah bagi kesehatan seperti halnya:

melawan berbagai jenis kanker
mengatasi aliran darah yang tersumbat
membuang toksin dari tubuh
mengatasi radang prostat
mengatasi kencing manis
mengatasi nyeri pada pinggang
mengatasi tekanan darah tinggi
mengurangi keletihan

Daun Belalai Gajah untuk Pengobatan Kanker

Pada zaman dahulu, daun belalai gajah banyak diperjual belikan untuk mengatasi masalah kesehatan. Bagi mereka yang mengidap penyakit kanker, umumnya mereka diharuskan mengonsumsi daun belalai gajah minimal perhari 100 helai dan dapat berbeda tergantung tingkat seberapa bahayanya kanker yang tengah diderita.

Untuk memperoleh daun belalai gajah, sekarang terbilang tidak mudah mengingat tanaman yang satu ini tidak lagi sepopuler dulu. Sehingga tidak heran jika anda akan mengalami kesulitan saat mencarinya dalam keperluan pengobatan. Bagi penderita kanker, ada baiknya jika anda menanam sendiri daun belalai gajah untuk kepentingan penyembuhan pribadi.

Hingga saat ini telah banyak dilaporkan betapa berkhasiatnya tanaman belalai gajah dalam menghadapi kanker. Ada beberapa dari penderita kanker yang mengaku sembuh setelah mengonsumsi daun belalai gajah yang bahkan menurut dokter umurnya sudah tidak lagi panjang.

Khamis, 5 Januari 2017

Membetulkan Salah Faham Hukum Ulamak Mendatangi Pemimpin yang Zalim.


1. Terdapat pihak yang berhujjah dengan mengambil pandangan Imam Al Ghazali tentang sejahat jahat keadaan ialah ulamak yang mendatangi pemerintah yang zalim kerana bimbang akan terdedah kepada dosanya.

Tiada salah pada pandangan Al Imam Ghazali rhm. Malah apa yang disebut oleh Imam Al Ghazali itu adalah benar. Namun apa yang dimaksudkan oleh Al Imam Ghazali rhm ialah "ulamak yang masuk bersama menyertai kezaliman pemerintah atau masuk dan duduk mendampingi pemerintah yang zalim.

Maka kedua dua situasi ini sememangnya mendedahkan ulamak tersebut kepada dosa pemerintah yang zalim itu.

Justeru itu, perkataan yang digunakan ialah :

وهي شرها أن تدخل عليهم dan الداخل على السلطان ....
تدخل atau الداخل

bukan bermaksud datang bertemu pemimpin yang zalim semata - mata bertemu tetapi membawa maksud "masuk menyertai kezaliman atau pun masuk dalam jabatan pemerintah lalu mengiringi pemerintah yang zalim itu ...."

2. Adapun para alim ulamak yang datang bertemu pemimpin yang zalim untuk meluruskan mereka malah membimbing mereka ke jalan yang lurus dengan pedoman agama adalah sebaik-baik keadaan dan semulia-mulia ulamak.

Terdapat beberapa petunjuk syariat yang menjelaskan situasi ini.

a) Sabda Nabi saw :

ألا لاَ يَمْنَعَنَّ رجلاً مَهَابَةُ الناسِ أنْ يَتَكَلَّمَ بالحقِّ إذا عَلِمَهُ أَلاَ إِنَّ أَفْضَلَ الجِهادِ كَلِمَةًُحقٍّ عندَ سلطانٍ جَائِرٍ

Ketahuilah ! Jangan sampai seorang lelaki terhalang untuk menyampaikan kebenaran yang ia ketahui kerana takut kepada manusia. Ketahuilah ! Bahawa seafdhal afdhal Jihad ialah perkataan yang benar dihadapan pemimpin yang zalim.
Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya.

b) Sabda Nabi saw :

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :
الدِّیْنُ النَّصِيْحَة قُلْنَا: لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ، وَعَامَّتِهِمْ .
رواه مسلم.

Agama adalah Nasihat. Lalu kami bertanya, Nasihat untuk siapa ? Jawab Rasulullah saw : Nasihat untuk Allah swt (beriman kepada Allah), untuk Kitabnya (beriman kepada KitabNya), untuk RasulNya (beriman kepada RasulNya), untuk pemimpin orang Islam (membimbing dan menasihati pemimpin) dan untuk keseluruhan ummat Islam (nasihat menasihati sesama muslim)_

Riwayat Imam Muslim.

c) Firman Allah swt :

اذْهَبَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ قَالَا رَبَّنَا إِنَّنَا نَخَافُ أَن يَفْرُطَ عَلَيْنَا أَوْ أَن يَطْغَىٰ قَالَ لَا تَخَافَا إِنَّنِي مَعَكُمَا أَسْمَعُ وَأَرَىٰ

"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut". Mereka berdua berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami, atau ia akan melampau batas". Allah berfirman: "Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya._
Surah Taha : 43 -46

3. Semua petunjuk syariat di atas menegaskan bahawa :

i - mereka yang tahu kebenaran (alim ulamak) jangan sampai terhalang untuk menyatakan kebenaran sekalipun di hadapan pemimpin yang zalim bahkan itulah jihad yang paling afdhal.

ii - tampillah di hadapan pemerintah setiap kali berpeluang, meskipun pemerintah itu zalim untuk menegur, menasihati dan mengkritiknya dengan baik. Jangan takut kepada mereka sebaliknya hanya takut kepada Allah swt.

4. Larangan cenderung kepada orang yang zalim oleh Allah swt sebagaimana termaktub dalam ayat 113 surah Hud, adalah larangan yang terpakai kepada semua. Maksud cenderung dalam ayat ini adalah menyokong, mengampu dan bersetuju dengan kezaliman yang dilakukan.

5. Sementara mendekati pemerintah dengan maksud menasihati mereka agar tidak melakukan perkara mungkar adalah dibenarkan. Merujuk kitab Tuhfatul Ahwadzi, Al Mutahhir menyebut ;

و مَنْ دَخَلَ على السلطانِ و داهِنَهُ وَقَعَ في الفتنةِ و أما مَنْ لم يُداهن و نصحَهُ و أَمَرهُ بالمعروفِ و نَهاهُ عن المنكرِ فكان دخولُهُ عليه أفضل الجهاد.

Siapa yang masuk ke Jabatan Pemerintah dan mengampu (menjilat) maka ia pasti jatuh dalam fitnah. Adapun jika ia tidak mengampu sebaliknya ia memberi nasihat dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegahnya dari perkara mungkar, maka kedatangannya termasuk dalam jihad yang paling afdhal (utama).

6. Hukum asal ulamak mendatangi pemerintahan adalah harus selama mana ia bukan bermaksud mengampu pemerintah dan membenarkan kezaliman yang dilakukan oleh mereka. Malah hukumnya menjadi wajib jika kedatangan ulamak itu adalah untuk menyekat kezaliman dan memberi tunjuk ajar kepada pemerintah agar tidak melakukan kezaliman.

7. Sabda Rasulullah saw :

عن معاذ بن جبل قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : "خمسٌ منَ فعلَ واحدةٌ مِنْهُنَّ كان ضامِناً على الله: مَنْ عادَ مرَيضاً، أو خَرجَ مع جنازةٍ، أو خَرجَ غازِياً، أو دَخل على إمامِهِ يُريدُ تَعْزِيرَهُ وتَوْقِيرَهُ، أو قَعَدَ في بيتِه فسَلِمَ النَّاس مِنه وسَلِمَ من الناس

Dari Muaz ibn Jabal Rha telah berkata : Rasulullah saw bersabda : 5 perkara, barangsiapa yang melakukan satu daripadanya, maka ia berada dalam jaminan Allah swt.

a) barangsiapa yang ziarah orang sakit

b) atau keluar menghantar jenazah

c) atau keluar berperang di jalan Allah

d) atau mendatangi pemimpin dengan maksud menguatkan dan memuliakannya dengan Islam

e) atau tinggal di rumahnya sehingga orang lain selamat dari gangguannya dan ia pun selamat dari gangguan orang lain.

Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya.

8. Sebagaimana ulamak yang membenarkan kezaliman pemerintah itu dicela dan diharamkan oleh syara' maka ulamak yang menolak kezaliman dan kebathilan pemerintah itu pula dimuliakan oleh syara'

Sabda Rasulullah saw :

عن كعب بن عجرة قال : قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم : أُعيذُكَ بالله يا كعبَ بنَ عُجْرَةَ مِنْ أُمَراءَ يَكونونَ مِن بعدي فَمَن غَشِيَ أبوابَهُم فَصَدَّقَهُم في كَذِبِهِم وأَعانَهُم على ظُلْمِهِم فليس مني ولسْتُ مِنهُ ولا يَرِدُ عليَّ اْلحَوْضَ ومَن غَشِيَ أبوابَهم أو لَمْ يَغْشَ فَلَمْ يُصَدِّقْهُمْ في كَذِبِهمْ ولَمْ يُعِنْهُمْ على ظُلْمِهِم فهو مِنِّي وأنا مِنْهُ وسَيَرِدُ عليَّ اْلحَوْضَ

Dari Kaab bin Ujrah telah berkata: Telah berkata kepadaku oleh Rasulullah saw : Wahai Kaab, saya memohon perlindungan kepada Allah swt untukmu dari perbuatan para penguasa selepasku.

Barangsiapa yang mendatangi mereka lalu mempercayai pendustaan mereka serta membantu mereka dalam berbuat zalim maka ia bukan dari golonganku , juga tidak dapat melewati telagaku.

Dan barangsiapa yang mendatangi mereka dan TIDAK membenarkan pendustaan mereka juga TIDAK membantu mereka dalam melakukan kezaliman, maka ia termasuk dalam golonganku dan saya termasuk dari golongannya serta dapat mendatangi telagaku kelak.
Riwayat Imam At Tirmidzi

Selasa, 3 Januari 2017

Perjuangan Gerakan Islam


Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya. Oleh kerana perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dn persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam dah dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.

Mahu tidak mahu, setiap Muslim terpaksa menghadapi realiti perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang. Demikianlah, sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah lagi, umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian. 

Perjuangan Dan Jihad

Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdar) yang berasal dari perkataan "JAHADA" bererti bersungguh-sungguh dan tekun mengerjakan sesuatu. "Jahada" pula bererti memerah tenaga. Jahada al-'aduww, bererti memerangi musuh. Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.

Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak berisiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadith Rasulullah S.A.W yang berbunyi; Daripada Abu Sa'id al-Khudri katanya, Rasulullah telah bersabda; "Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim."

Sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silan lebih merujuk kepada aspek peperangan. Contohnya, ulama' Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam. Manakala ulama’ Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.

Imam Hassan al-Banna pula menyatakan bahawa, "Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap Muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran."Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelusuk dunia. Lalu, di dalam usaha berdakwah itu, mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.

Di dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman dari musuh dakwah. Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja. Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihanraya, penulisan dan sebagainya. Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan tentangan dari musuh yang merupakan sebahagian dari ujian Allah Taala. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan.

Aqidah Asas Perjuangan

Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan aqidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen. Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada aqidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid. Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan besar-besaran di dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang diserahkan hanya kepada Allah.

Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup manusia. Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah. Sebaliknya Islam menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah selaras dengan pengertian kalimah Islam sendiri.

Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi di dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan, "Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada."

Dalam perkara ini, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36 :

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya."

Peranan utama Para Rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada hamba-Nya. Ia terdiri dari dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan dan menyempurnakan di antara satu sama lain iaitu :

Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah Yang Maha Esa.
Menyeru supaya menjauhi taghut.

Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaati-Nya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.

Matlamat Perjuangan Islam

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariat-Nya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran yang lain. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud; Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy'ari bahawa sesungguhnya seorang lelaki Badwi datang menemui Baginda Nabi S.A.W dan bertanya, "Wahai RasulAllah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejaguhannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?"

Rasulullah S.A.W menjawab, "Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah." - Riwayat Muslim

Allah Taala menuntut agar agama-Nya ini diletakkan mengatasi segala ajaran yang lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan oleh Allah ketika menjelaskan tentang matlamat pengutusan Rasulullah S.A.W kepada manusia. Firman Allah Taala :

"Dialah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya dengan hidayah petunjuk dan agama yang sebenar supaya dimenangkan-Nya atas segala agama walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin." (al-Saff:9)

Imam Abu A'la Al-Maududi menyatakan, "Sebagaimana halnya dengan din-din (agama) lainnya, din Allah ini juga menuntut bahawa seluruh wewenang mesti diserahkan kepadaNya semata-mata. Sedangkan semua din yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana dalau din ini telah berlaku, maka tidak akan ada lagi din kerakyatan, kerajaan atau din kaum komunis."

Tuntutan ini tidak bererti bahawa Islam bertindak memaksa manusia memeluk Islam dan menghapuskan terus ajaran lain secara kekerasan kerana kekerasan dan paksaan tidak akan menghapuskan apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia. Ini dijelaskan dalam konsep dan etika peperangan dalam Islam antaranya ialah larangan manakut-nakutkan orang ramai, melampau, membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua yang sudah kabur pandangan, paderi-paderi, penjaga gereja, membakar pokok dan membunuh haiwan tanpa maslahah. Demikian juga difahami dari ayat ke 40 Surah al-Hajj:

"Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata; Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."Tuntutan itu sebenarnya adalah supaya Islam mendominasikan seluruh suasana dan kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai pemerintahan yang adil dengan secara rela.

Firman Allah di dalam Surah at-Taubah, ayat 40 :

"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya; Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."Tuntutan menzahirkan agama ini dijelaskan sehinggalah dalam soal peperangan. Tujuan peperangan dalam Islam sendiri adalah untuk memastikan bahawa Islam menjadi penentu dalam percaturan politik dan hidup manusia. Firman Allah :

"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan." - Surah al-Anfal:39

Perjuangan Tidak Bernoktah

Islam sentiasa menghadapi tentangan. Hasil daripada dua faktor di atas, lalu timbul pula reaksi di kalangan manusia yang enggan tunduk kepada seruan dakwah Islam. Reaksi itulah yang menyemarakkan lagi pertentangan di antara Islam dengan musuh-musuhnya. Contoh yang paling ketara daripada sirah Rasulullah S.A.W ialah apabila Baginda berdakwah dengan orang ramai tentang Islam supaya mengucap syahadah, dua orang lelaki Badwi dari kalangan yang hadir berkata, "Ini adalah perkara yang dibenci oleh raja-raja (pemerintah). Kerana inilah kamu akan diperangi oleh orang-orang Arab dan orang-orang 'Ajam (bukan Arab)."

Peristiwa ini menggambarkan bahawa penentangan terhadap Islam adalah perkara yang sentiasa berlaku sebagaimana ia telah berlaku ke atas Para Nabi yang terdahulu. Namun faktor utama penentangan itu bukanlah kerana faktor batang tubuh individu atau golongan yang menyeru, tetapi kerana seruan Islam itu sendiri. Sebagaimana Rasulullah S.A.W sendiri ditentang bukan kerana peribadi Baginda yang sudah terkenal sebagai al-Amin dan pernah diberi kepercayaan menjadi hakim menyelesaikan masalah perletakan Hajar al-Aswad dalam peristiwa banjir besar di Makkah sebelum kenabian Baginda S.A.W.

Rasulullah S.A.W bersabda (bermaksud), "Jihad itu berterusan sejak aku dibangkitkan sehingga umatku yang terakhir membunuh Dajjal."

Konsep Kemenangan Islam Yang Hakiki

Kemenangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar (haq) atau batil, pejuang itu Muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain. Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah Taala menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al-fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.

Kemenangan dengan istilah "al-falah" melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan "al-fawz" pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan "al-nasr" pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuhNya. "Al fath" pula kejayaan yang diperolehi setelah melalui pelbagai jenis ujian seperti kekalahan, kelemahan, kesedihan dan kesengsaraan.

Kemenangan di Dunia

Di dalam al-Quran, golongan yang memperolehi kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirun. Ghalibun memberi maksud orang-orang yang mengalahkan, manakaladzahirun bermaksud orang yang menang. Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Contohnya, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Fath ayat 1 :

"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata."

Ulama' sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran dari al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya. Kemenangan di dunia dapat dilihat dari beberapa aspek sebagaimana dinyatakan di dalam Surah al-Nur ayat 55 :

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)."Tiga bentuk kemenangan al-nasr yang dijanjikan itu adalah :

Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendukung-pendukung ke atas negara atau wilayah dan memegang tampuk pimpinan.

Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya kewibawaan untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.

Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.

Kemenangan Di Akhirat

Kemenangan di akhirat (al-fawz) adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam. Allah Taala menawarkan kemenangan di dalam firmanNya dalam Surah al-Saff ayat 10-12 :

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"

"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar."Berdasarkan ayat di atas, kemenangan di akhirat itu meliputi empat perkara :

Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat.

Mendapat keampunan dari Allah Taala di atas segala dosa yang telah dilakukan.

Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai yang mengalir.

Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di yurga yang bernama 'Adn.

Kemenangan Adalah Janji Allah

Di dalam Islam, kemenangan adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh setiap Muslim. Mereka perlu mengimani masa hadapan yang baik dan gemilang untuk Islam. Ini kerana terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadith yang memberitakan bahawa Islam akan berjaya pada suatu hari kelak. Ayat 55 Surah al-Nur di atas tadi dimulakan dengan lafaz - wa'ada - bermaksud "telah menjanjikan", di mana kemenangan di dunia (al-nasr) telah dijanjikan oleh Allah sebagai satu kemestian kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh apabila tiba masanya.

Janji ini bukan sahaja dikhususkan buat umat Muhammad S.A.W, bahkan ia telah dinyatakan oleh Allah Taala sejak zaman Nabi Daud A.S lagi. Firman Allah Taala dalam ayat ke 105 Surah al-Anbiya' :

"Sesungguhnya telah kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh."Janji Allah Taala ini disebut pula dalam hadith Rasulullah S.A.W (maksudnya); Dari Tamim al-Dari katanya; Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, "Akan sampai urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan Allah tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di bandar dan perkampungan mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkanNya agama ini melalui kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran."

Tamim al-Dari menyatakan bahawa aku telah mengalami perkara itu dalam keluargaku, yang Islam mendapat kebaikan, kemuliaan dan kehebatan, manakala yang kafir mendapat kehinaan, merasa kerdil dan membayar jizyah.

Hadith ini menerangkan bahawa agama Islam akan berkembang seluas-luasnya ke setiap penjuru dunia. Janji Allah dan RasulNya ini telah berlaku untuk peringkat pertamanya dengan berlakunya peristiwa pembukaan-pembukaan negara Islam dan berkembangnya wilayah taklukan Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W hingga kurun ke-14 Hijrah.

Kemenangan Adalah Pertolongan Allah

Persoalan pokok dan perkara penting yang membezakan konsep Islam terhadap kemenangan dengan konsep-konsep agama, ideologi dan fahaman lain adalah unsur pertolongan Allah, Islam amat menitik-beratkan hubung-kait manusia Islam dengan Tuhannya dalam perjuangan bahkan dalam setiap aspek kehidupan. Para pendukung perjuangan Islam sentiasa diingatkan tentang peri pentingnya bergantung kepada Allah dan menyakini bahawa kemenangan hanya datang dari Allah apabila dikehendakiNya. Allah Taala berfirman dalam ayat 160 Surah al-Imran :

"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri."Al-Nasr dalam ayat ini memberi pengertian pertolongan dan kemenangan di dalam perjuangan. Allah Taala mengaitkan persoalan kemenangan dalam ayat ini dengan pernyataan bahawa Allah Yang Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dia-lah yang berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman sekalipun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan. Manakala pernyataan bahawa Allah Maha Bijaksana menegaskan bahawa Dia-lah yang lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan dan sebab apakah kemenangan itu tidak diberikan dalam semua keadaan.

Setiap pejuang Islam perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Dia (Allah) boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain. Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan.